Kenyataan Media
PAS Perak Gesa Siasatan Menyeluruh Skandal Rasuah PMO, Integriti Pentadbiran MADANI Dipersoal
Tarikh: 27 November 2025
PAS Negeri Perak menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat dakwaan rasuah melibatkan bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin, yang didakwa menerima lebih RM600,000 daripada ahli perniagaan Albert Tei tanpa takut dan bimbang walau pun melibatkan orang kanan PM.
Pendedahan yang berlaku hanya beberapa hari sebelum Pilihan Raya Negeri Sabah ini telah menimbulkan persoalan serius mengenai Tadbir Urus dan Integriti di peringkat tertinggi Pejabat Perdana Menteri (PMO).
Letak Jawatan Bukan Jalan Penyelesaian Tetapi Pengakuan Awal
Peletakan jawatan Datuk Seri Shamsul Iskandar tidak boleh dijadikan “jalan keluar” untuk mengelak siasatan penuh. Sebaliknya, ia secara politik dilihat sebagai pengakuan awal terhadap kekeruhan yang berlaku.
PAS Perak menuntut:
1. Siasatan Menyeluruh dan Tuntas: SPRM mesti menyiasat segala bentuk salah laku tanpa pengecualian, termasuk siasatan terhadap dakwaan pembayaran tunai, pengubahsuaian hartanah, dan permintaan wang yang didakwa berlaku. Siasatan tidak boleh terhenti pada bekas Setiausaha Politik sahaja, tetapi mesti menyelidik segala aliran dana, selaras dengan gesaan Ahli Parlimen PN.
2.Tindakan Undang-Undang Segera: Sekiranya dakwaan ini mempunyai asas, tindakan undang-undang tegas perlu dikenakan ke atas kedua-dua pihak, iaitu penerima dan pemberi, selaras dengan peruntukan undang-undang negara.
Sebagai tanda keseriusan dan iltizam dalam menjunjung prinsip Tadbir Urus yang baik dan Integriti, PAS Perak telah mengambil langkah proaktif dengan membuat Laporan Polis pada hari ini, 27 November 2025, di Balai Central Ipoh, Perak
Laporan polis ini dibuat bagi mendesak pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi penguatkuasaan yang berkaitan, terutamanya SPRM, untuk menjalankan siasatan secara segera, adil, dan tanpa berlengah berhubung dakwaan rasuah yang melibatkan seorang pegawai kanan kepada Perdana Menteri.
YB Haji Razman Bin Zakaria, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gunung Semanggol, bersama kepimpinan yang lain telah hadir membuat laporan polis bagi pihak PAS Perak.
Integriti Kerajaan MADANI Tercemar di Peringkat Tertinggi
Skandal ini telah memberikan tamparan hebat kepada Kerajaan Perpaduan, terutamanya kredibiliti Perdana Menteri. Persoalan utama yang dibangkitkan adalah:
1.Kegagalan Perdana Menteri mengambil tindakan tegas ketika kontroversi surat sokongan timbul minggu lalu telah menyebabkan kerosakan yang meluas terhadap kredibiliti kerajaan.
2.Tindakan Perdana Menteri yang pada awalnya menolak gesaan memecat pegawainya menimbulkan persoalan adakah beliau memandang ringan isu rasuah, atau sejauh mana kesalahan ini telah dibiarkan berlaku.
PAS Perak percaya bahawa ini adalah contoh paling buruk ‘mainan politik jijik’ yang telah mencemari PMO. Kerajaan yang bertopengkan slogan MADANI kini terdedah kepada keraguan rakyat.
Peringatan kepada Rakyat Sabah
Dengan Pilihan Raya Negeri Sabah bakal berlangsung, pendedahan ini adalah isyarat jelas kepada 1,784,843 pengundi yang layak.
Rakyat Sabah digesa untuk tidak terpengaruh dengan retorik kosong atau desakan memilih kerajaan yang kononnya selari dengan pusat, kerana pusat kini sendiri dibayangi skandal rasuah yang serius.
Pilih Perikatan Nasional yang hadir dengan iltizam politik yang matang, telus, dan komited membela rakyat, jauh daripada politik kotor.
Sekian, terima kasih.






