Home Berita PAS Terengganu

Jambori Peringkat Antarabangsa Dijangka Himpun 13,000 Peserta Di Terengganu

9
SHARE

KUALA NERUS – Terengganu bakal menjadi tumpuan dunia pengakap apabila Terengganu International Jamboree (TIJ 100) yang dijadual berlangsung pada 17 hingga 21 Disember 2026 dijangka menghimpunkan lebih 13,000 dari seluruh Malaysia serta negara-negara Asia Pasifik.

Perkara itu diumumkan Pengerusi Majlis Pengakap Negeri Terengganu, Tan Sri Dato’ Abdullah Taib pada Majlis Perasmian Program Tanam Buluh@KPTMI di Kem Pengakap Tengku Muhammad Ismail, Pantai Teluk Ketapang, pagi tadi.

Menurut beliau, TIJ 100 merupakan acara kemuncak sambutan 100 tahun penubuhan Pengakap Negeri Terengganu yang diraikan melalui siri program sepanjang tahun ini shingga tahun hadapan.”Jambori ini akan menjadi pentas besar memperlihatkan keupayaan dan kekuatan pengakap Terengganu di persada antarabangsa.

“Dengan sokongan kerajaan negeri, pemimpin pengakap dan komuniti setempat, kita yakin mampu menjayakannya dengan cemerlang,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa penyertaan melibatkan delegasi luar negara dijangka meningkat berikutan reputasi penganjuran Terengganu dalam program kepengakapan terdahulu serta kemudahan latihan di Kem Pengakap Tengku Muhammad Ismail.

Program pagi itu tadi turut dihadiri Duli Yang Amat Mulia Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin yang berkenan mencemar duli merasmikan program Tanam Buluh@KPTMI di premis berkenaan.

Dalam pada itu, Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri Terengganu, Shahrul Azwan Mohamad@Endut berkata, program penanaman 100 anak buluh itu bukan sahaja sebagai usaha kelestarian, malah simbol persiapan awal – batu penanda menuju TIJ 100 pada tahun hadapan.

Menariknya, menurut Azwan anak buluh yang telah ditanam itu tadi boleh dituai seawal enam bulan dari tempoh ia ditanam untuk mencapai tempoh matang.

“Projek ini, untuk kumpulan pertama ini lebih kurang 100 anak buluh yang saya difahamkan adalah buluh hybrid.

“Yang mana enam bulan kita boleh tuai dah buluh itu. Jadi buluh ini sepanjang bulan kita akan guna (untuk) aktiviti pengakap dan kita tanam baru pula. Maknanya proses penanaman dia akan berterusan,” jelasnya kepada pemberita.

Tambah beliau, antara faktor membawa kepada inisiatif lestari tersebut adalah kekurangan bekalan buluh yang menyukarkan aktiviti kepengakapan untuk dijalankan.

“Pengakap aktiviti dia memang sinonin dengan buluh. Kita berkhemah, kita buat gajet, jadi sekarang ini nak dapat buluh cukup susah sekarang.

“Kalau ada pun harga yang tinggilah. Jadi kita dah kerjasama dengan pihak Jabatan Perhutanan untuk menanam buluh sendiri,” tambahnya.