Home Berita PAS Terengganu

Walk from Diabetes : KMIKT perkasa Komuniti dengan gaya hidup sihat

6
SHARE

KUALA TERENGGANU, 16 November – KMI Kuala Terengganu Medical Centre (KMIKT) telah menganjurkan satu inisiatif kesihatan komuniti bertajuk ‘Walk from Diabetes’ sempena Hari Diabetes Sedunia 2025, semalam.

KMIKT dalam satu kenyataan memaklumkan, ia sebuah program kesihatan yang bertujuan meningkatkan kesedaran, pencegahan dan pengurusan penyakit diabetes melalui gaya hidup aktif dan sihat.

“Program ini telah menghimpunkan warga kerja KMIKT, pesakit serta orang awam dalam satu aktiviti jalan kaki santai pada waktu pagi bertujuan menggalakkan aktiviti fizikal secara berkala sebagai langkah pencegahan dan kawalan diabetes.

“Inisiatif ini selaras dengan komitmen berterusan KMIKT dalam menyokong komuniti yang lebih sihat dan memperkasakan individu untuk mengambil langkah proaktif ke arah kesejahteraan diri,” ujar kenyataan tersebut.

Sementara itu, Pakar Perubatan Am dan Respiratori KMIKT merangkap Penasihat Program ‘Walk from Diabetes’ berkata, pihaknya percaya bahawa kesihatan yang baik bermula dengan kesedaran.“Program ‘Walk from Diabetes’ mencerminkan usaha berterusan kami dalam mendidik serta memberi inspirasi kepada masyarakat untuk mengamalkan gaya hidup yang lebih sihat.

“Melalui aktiviti seperti ini, kami berharap dapat memupuk tabiat positif yang membantu mencegah diabetes dan meningkatkan kualiti hidup,” ujarnya.

Katanya, selain program kesedaran, KMIKT turut menawarkan perkhidmatan konsultasi diabetes yang dikendalikan oleh Diabetic Educator terlatih. Perkhidmatan ini menyediakan panduan peribadi kepada pesakit merangkumi aspek pemakanan, ubat-ubatan, pemantauan paras gula dalam darah serta penyesuaian gaya hidup bagi mengurus diabetes dengan lebih berkesan dan mencegah komplikasi.

“KMIKT komited dalam mempromosikan kesihatan dan kesejahteraan melalui pendidikan berterusan, penglibatan komuniti serta penyediaan perkhidmatan kesihatan yang mudah diakses.

“Pusat ini menggalakkan semua pihak untuk mengamalkan kehidupan aktif, pemakanan seimbang serta menjalani saringan kesihatan berkala sebagai langkah ke arah kehidupan yang lebih sihat dan bebas diabetes,” ujarnya.