KUALA NERUS – Sebagai farmaseutikal yang telah berdiri selama empat dekad di Terengganu, Farmasi Lautan menyokong usaha kerajaan negeri dalam merintis pembudayaan gaya hidup sihat melalui pengamalan pemakanan baik dan aktiviti kecergasan di semua entiti kerajaan negeri sebagaimana yang dibentang dalam Belanjawan Terengganu 2026, baru-baru ini.
Pengasasnya, Dato’ Lau Tiam Kwee berkongsi pendapat bahawa gaya hidup sihat merupakan satu aspek penting yang perlu diketengahkan dalam masyarakat.
“Kita, kalau amalkan gaya hidup sihat, aset yang paling beruntung ialah kita sendiri. Sebab sebagai manusia, badan kita yang sihat yang akan membawa kita sampai akhir hayat.

“Kalau badan kita tak sihat, makna akhir hayat kita pun susah dan derita, sebab kos kewangan tu akan makan diri kita. Baik kita jaga kesihatan dulu supaya kita kekal sihat dan hidup sihat dan jimatkan kos.”Kos bukan untuk kita sendiri tanggung. Kerajaan pun tanggung untuk banyak ubat-ubatan. Semuanya kos meningkat kerana masyarakat tak kawal makanan, penyakit kronik pun lebih.
“Macam Kementerian Kesihatanlah tak cukup bajet, selalunya tambah bajet sebab penyakit kronik lebih. Jadi, kesedaran tu sangat pentinglah,” nasihatnya ketika ditemui dalam Majlis Makan Malam sempena sambutan ulang tahun ke-40 Farmasi Lautan, yang berlangsung di Raia Hotel & Convention Center, di sini semalam.
Majlis berkenaan dirasmikan Yang Di Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin yang berkenan mencemar duli berangkat tiba diiringi Tengku Sri Setia Mahkota Raja.
Hadir sama ialah Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Nara Setia dan Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Mohd Azmi Mohamad Daham.

Dalam majlis yang dihadiri lebih 350 staf Farmasi Lautan itu, Lau menambah bahawa pembudayaan gaya hidup sihat turut diterapkan kepada kakitangan di lebih 46 cawangan farmaseutikal miliknya.”Saya suka amalan hidup sihat. Pada saya sendiri dan To’ Puan, tiap-tiap hari kita senaman lebih daripada satu jam. Jadi, saya sentiasa pastikan badan saya tak melebihi berat badan, kolesterol saya dikawal, gula saya terkawal.
“Semua yang parameter yang patut sihat tu, kita kawal, kita uji, kita saring. Jadi sentiasa kita ikut piawai-piawai yang diperlukan supaya kita sihat. Jadi, selepas kita sihat, kita share pada staf-staf pula.
“Pekerja saya, saya pastikan dia orang sihat juga. Apabila pekerja saya pula dia sihat, dia akan menyebarkan, semarak pula gaya hidup sihat ada pada pelanggan-pelanggan.
Jadi dia melalui usaha kita sendiri dan usaha pasukan saya dan kita sebar ke masyarakat. Saya gembira nampak pelanggan-pelanggan yang datang ke Farmasi Lautan tu semakin sihat. Jadi kegembiraan tu datang bila kita tengok dia sihat,” tambahnya.






