Home Berita PAS Terengganu

Epic Dekati Dunia Austisme, Lakar Senyuman 30 Anak Istimewa

4
SHARE

KUALA TERENGGANU – Gelak tawa dan keriuhan anak-anak autisme menceriakan Pusat Autisme Sejahtera Terengganu hari ini apabila EPIC Berhad turun padang meraikan kira-kira 30 peserta cilik melalui program EPIC Raikan Senyuman 2025.

Pengurus Besar Komunikasi Korporat & HSSEQ EPIC Berhad,  Rusdi Ngah, berkata  program yang penuh warna-warni itu bukan sekadar hiburan, malah sarat dengan aktiviti rangsangan deria, permainan berstruktur dan sesi bimbingan ringan yang direka khas untuk membantu perkembangan komunikasi serta kemahiran motor anak-anak istimewa berkenaan.

Menurutnya, program itu memberi impak besar kepada kedua-dua pihak iaitu peserta dan sukarelawan.

“Kami amat berbesar hati dapat bersama anak-anak istimewa ini. Sukarelawan kami dapat belajar secara dekat mengenai autisme, pendekatan pembelajaran serta cabaran yang dihadapi anak dan penjaga.

“Ia benar-benar membuka mata dan mengukuhkan komitmen kami,” katanya ketika ditemui di pusat tersebut di sini hari ini.

Lebih mencuit hati, anak-anak autisme turut menerima saguhati dan menikmati lunch box Marrybrown tajaan EPIC Berhad yang membuatkan keceriaan mereka berlipat ganda.

Tambah beliau,  pihaknya turut menyampaikan sumbangan kepada pusat tersebut sebagai tanda sokongan terhadap usaha berterusan mereka menyediakan suasana pembelajaran kondusif untuk anak-anak autisme.

“Epic berharap untuk meneruskan kerjasama dengan lebih banyak program akan datang, terutama dalam meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai autisme dan membantu keluarga serta penjaga,” ujarnya lagi.

Dalam masa sama, menjelang musim banjir yang dijangka melanda Terengganu tidak lama lagi, EPIC Berhad turut menunjukkan komitmen kemanusiaan apabila sudah memperuntukkan lebih RM100,000 bagi bantuan banjir, termasuk barangan keperluan asas dan penglibatan pasukan sukarelawan.

“Semua inisiatif itu merupakan sebahagian daripada peruntukan RM2.8 juta CSR EPIC Berhad tahun ini yang memberi fokus kepada pendidikan, kebajikan komuniti, sukan, pembangunan sosial dan bantuan kemanusiaan.” jelas Rusdi.