KEMAMAN – Kerajaan negeri melancarkan Biasiswa Terengganu Sejahtera buat anak Terengganu yang berpotensi tetapi menghadapi kekangan kewangan untuk melanjutkan pengajian di Universiti College (UC) TATI.
Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata inisiatif hampir RM1.6 juta itu adalah satu langkah yang amat terpuji kerana ia bukan sekadar bantuan kewangan tetapi adalah sebuah pelaburan strategik dalam pembangunan modal insan negeri Terengganu.
“Dengan memberikan peluang kepada pelajar-pelajar cemerlang dari keluarga yang kurang mampu untuk menimba ilmu di UC TATI, kita sedang mempersiapkan generasi pemimpin masa depan yang akan memacu pembangunan ekonomi, sosial dan intelektual negeri kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Hari Terbuka UC TATI 2025 di Dewan Canselor di sini hari ini.
Justeru itu, beliau berharap agar para penerima biasiswa tersebut akan menggunakan peluang yang diberikan sebaik-baiknya, belajar dengan tekun dan kembali berkhidmat untuk membangunkan Terengganu.
Dalam masa sama, turut dilancarkan maskot baharu UC TATI yang dikenali sebagai “LEO” satu simbol visual menggambarkan nilai, semangat dan
aspirasi UC TATI sebagai institusi TVET unggul.