Home Berita PAS Pahang

PASTI catat Malaysia Book of Records dengan Penyertaan Hafazan Teramai

23
SHARE

Oleh : HABSAH ALI

INDERA MAHKOTA, 21 Jan – Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) mencipta sejarah apabila berjaya memecahkan Malaysia Book of Records melalui penyertaan sesi hafazan teramai di peringkat prasekolah, melibatkan seramai 121,180 kanak-kanak.

Pencapaian ini dimaklumkan oleh Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS, YB Ustaz Mohd Hafez Sabri, ketika merasmikan Majlis Anugerah Prestasi PASTI Negeri Pahang Tahun 2024 yang berlangsung di Tanah Rata, Cameron Highlands, kelmarin.

“Anak-anak ini merupakan harapan umat dan bakal pemimpin negara yang dibentuk dengan nilai al-Quran, akhlak, dan adab yang sempurna,” katanya.

Tambah beliau yang juga sebagai Ahli Dewan Negeri Manjoi, PASTI kini menjadi pilihan utama ibu bapa, termasuk dalam kalangan golongan profesional, yang mahukan pendidikan berteraskan al-Quran untuk anak-anak mereka.

“Bagi sesi 2025, semua tempat telah penuh, dan ada ibu bapa yang telah membuat tempahan awal untuk kemasukan tahun 2026.

“Bukan sahaja ibu bapa biasa, bahkan mereka yang mampu menghantar anak ke institusi pendidikan mahal juga memilih PASTI kerana yakin dengan sistem pendidikan yang dibawa,” tambah Mohd Hafez.

Majlis telah diserikan dengan persembahan dari pelajar-pelajar PASTI dan penyampaian pelbagai anugerah kecemerlangan kepada guru-guru PASTI, prestasi PASTI di cawangan-cawangan dan kawasan di seluruh negeri Pahang.

Selain dari guru-guru dan pelajar PASTI, turut hadir adalah Pengarah PASTI Negeri Pahang, Mohd Khairul Nizam Che Mustofai dan Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Pahang, Ustaz Mohd Zarimi Abu Zih.