Home Berita PAS Terengganu

UMT terima 2,060 pelajar baharu

23
SHARE

KUALA NERUS – Seramai 2,060 pelajar baharu program Sarjana Muda bagi Sesi Akademik 2024/2025 mendaftar di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) mulai hari ini.

Naib Canselor UMT, Profesor Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim, berkata daripada jumlah tersebut, seramai 238 pelajar adalah lepasan Asasi Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) yang merupakan ‘produk’ UMT.

Menurutnya, pihak pengurusan UMT komited dan memberi jaminan dalam memastikan pelajar dapat mengikuti alam kampus dengan baik serta dapat menghabiskan pembelajaran dengan cemerlang di UMT, seterusnya melahirkan graduan yang berdaya saing.

“Seawal 7.30 pagi para pelajar bersama keluarga telah bersedia untuk sesi pendaftaran di Dewan Sultan Mizan (DSM) dan disambut oleh para petugas seramai 350 orang, semuanya berjalan lancar.

“Minggu Jalinan Mesra (MJM) akan berlangsung pada 1 hingga 5 Oktober, di mana pelajar akan mengikuti sesi taklimat di Dewan Sultan Mizan serta di Kolej Kediaman yang merangkumi sesi pengenalan berkaitan akademik dan hal ehwal pelajar.

“Mereka juga akan terlibat dengan pelbagai aktiviti antaranya sukan dan kesenian serta dibawa melawat fakulti masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau juga berharap para pelajar cepat menyesuaikan diri di alam kampus dan dapat meneroka lebih banyak peluang dalam bidang kokurikulum.

“Ia bagi melahirkan pelajar yang bukan hanya cemerlang dalam bidang akademik semata-mata malah dapat melahirkan graduan yang holistik serta bersedia untuk berada di alam pekerjaan kelak.

“Justeru itu, semua pelajar perlu memanfaatkan peluang tersebut untuk mencapai kejayaan akademik dan menyumbang kepada negara serta mengucapkan tahniah kepada pelajar dan semua ibu bapa kerana memilih UMT sebagai universiti pilihan utama,” ujarnya lagi.

Tambah beliau, UMT turut menawarkan program pengajian baharu untuk pengambilan sesi Akademik 2024/2025 iaitu Sarjana Muda Kewangan dengan Kepujian.

“Kita  menerima pelajar sulungnya seramai 82 orang untuk program tersebut manakala terdapat 33 program sarjana muda yang telah ditawarkan UMT setakat ini,” jelasnya.