Home Berita PAS Terengganu

Kerjasama Strategik JPW Dan USWa Perkasakan Wanita

12
SHARE

KUALA TERENGGANU – Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) dan Urus Setia Wanita Terengganu (USWa) mengorak langkah strategik dalam usaha merangka program-program yang lebih fokus kepada pemerkasaan wanita di semua peringkat, termasuk peringkat kampung dan komuniti luar bandar.

Pengarah Pembangunan Wanita Negeri Terengganu, Ezlin Sakinah Mat Sepin berkata, kunjungan hormat yang diadakan antara kedua-dua pihak menjadi titik tolak kepada perbincangan lebih mendalam tentang usaha kolaborasi itu, yang dijangka akan melibatkan pelbagai agensi dan badan bukan kerajaan (NGO).

“Cadangan kerjasama ini membolehkan kita memberi fokus yang lebih tepat kepada kumpulan sasaran dan menyesuaikan program-program dijalankan agar lebih relevan dengan keperluan kumpulan tersebut.

“Sebagai contoh, jika kumpulan sasar  adalah golongan suri rumah, kita akan merangka program yang sesuai dan memberikan pendedahan tentang kepentingan pemerkasaan wanita kepada mereka.

“Bagi golongan wanita berkerjaya pula, program akan difokuskan kepada aspek yang lebih terbuka,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi pihak media hari ini, mengulas mengenai kunjungan hormat ke Pejabat USWa, khamis lalu.

Justeru itu, Elin turut mengalu-alukan penglibatan NGO untuk sama-sama dengan JPW dan USWa untuk menyokong serta memberi pelbagai sumbangan untuk  mempergiatkan lagi usaha pembangunan pemerkasaan wanita.

“Harapan saya adalah agar kunjungan hormat ini dapat menghasilkan pelbagai program di mana kita boleh merangka kolaborasi bukan sahaja dengan pihak USWa, tetapi juga melibatkan pihak-pihak atau jabatan-jabatan yang mempunyai kepentingan terhadap masyarakat wanita.

“Ini bertujuan supaya kita dapat turun padang bersama-sama untuk memberikan pendedahan yang lebih mendalam berkaitan dengan isu-isu wanita,” tambah beliau.

Sementara itu, Pengarah USWa, Wan Nur Sakinah Din berkata, pertemuan dan kerjasama dengan agensi-agensi lain untuk merancang serta melaksanakan program pembangunan wanita adalah satu langkah yang bijak dan bermanfaat untuk masyarakat.

“Insya Allah kita akan susunkan  beberapa pertemuan dengan beberapa agensi-agensi lain untuk  terus merancang dan melaksanakn program pembangunan wanita  yang melibatkan pelbagai sasaran iaitu suri rumah, ibu tunggal, penjawat awam serta  sebagainya.

“Kita tak  akan meninggalkan mana-mana jabatan untuk kita bekerjasama.

“Pihak kita bersetuju rancang dan melaksanakan  program sama-sama untuk bangunkan masyarakat di bawah skop pembangunan wanita,” katanya.