Home Berita PAS Terengganu

Dr Sam Mahu Ubah Pemikiran ‘Selesa’ Rakyat

39
SHARE

KUALA TERENGGANU – Menteri Besar Terengganu mahu merubah pemikiran rakyat termasuk penjawat awam di negeri ini agar tidak cepat berpuas hati, sentiasa berasa selesa dan kurang motivasi untuk mencipta pencapaian yang lebih tinggi.

Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, walaupun usaha itu agak sukar, beliau kekal fokus dengan tujuan tersebut demi masa depan Terengganu.

Katanya, kewujudan faktor pendesak mampu mempercepatkan proses itu berlaku sebagaimana di Jepun yang berjaya mengangkat pemikiran rakyat ke tahap lebih tinggi apabila tewas dalam peperangan.

“Inilah fokus utama yang kita nak buat, (bukan kita tak nak buat langsung) bangunan atau menara tinggi, tetapi kalau kita buat menara cantik-cantik macam Menara Eiffel, mungkin adalah sedikit keuntungan buat kerajaan, tetapi kebahagiaan rakyat hanya seketika.

“Kita mahu mengangkat pemikiran rakyat, kerana peningkatan pemikiran rakyat bukan hanya meletakkan negeri ke tahap berbeza, tetapi seluruh rakyat turut akan merasai ‘keuntungan’ itu,” katanya dalam Program Townhall Persatuan Mahasiswa Anak Terengganu (PERMATA) di Duyong Marina Resort, di sini, baru-baru ini.

Beliau berkata demikian apabila ditanya mengenai perkara yang paling ingin dibuat tetapi sukar dilaksanakan selama menjadi Menteri Besar selama hampir dua penggal.

Jelas Ahmad Samsuri lagi, contoh perubahan minda yang mahu dilakukan adalah seperti dalam sektor perniagaan.

“Berdasarkan pemerhatian dan tinjauan saya ke dalam masyarakat, ramai peniaga mudah berasa selesa atau ‘cukup dengan apa yang ada’.

“Sebelum ini saya pernah singgah di kedai nasi lemak untuk membeli sarapan, tetapi apabila sampai sekitar 7.30 hingga 8 pagi nasi sudah habis.

“Kemudian saya tanya buat berapa bungkus, peniaga kata buat 50 bungkus sahaja setiap hari, saya kata kenapa tak buat lebih kalau nasi laku, boleh untung lagi, peniaga itu menjawab, dah biasa buat 50 bungkus.

“Inilah contoh minda yang perlu diubah supaya menjadi lebih baik dan akhirnya memberi banyak manfaat kepada rakyat serta masyarakat termasuk dalam perkara-perkara lain,” katanya