Home Berita PAS Terengganu

Seluruh Jeti Dibaik Pulih Sebagai Persediaan Tahun Melawat Terengganu 2027

12
SHARE

SETIU – Kerajaan negeri mengambil langkah membaik pulih jeti serta memperbaiki segala kerosakan sebagai persediaan awal bagi menyambut tahun melawat Terengganu 2027.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, ketika ini semua jeti di setiap pulau di negeri ini sedang dianalisa serta sebahagiannya telah pun selesai bagi menentukan kos perbelanjaan.

“Ini antara struktur terawal kita hendak buat sebelum kita melancarkan tahun melawat Terengganu pada 2027 dan sekarang kita akan bawa ke peringkat Kerajaan Persekutuan untuk mendapat kelulusan.

“Membaik pulih jeti ini adalah sangat penting kerana ia menjadi pemula untuk pelancong datang ke pulau begitu juga dengan insinerator, kita telah melihat untuk memastikan ia berfungsi dengan baik bagi memulihkan sampah yang akhirnya akan bertukar menjadi baja.

“Jadi isu longgokan sampah tidak berlaku dan tidak pelu lagi bawa balik sampah ke darat,” ujarnya kepada pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman, selepas mengadakan lawatan kerja ke Pulau Redang, di sini, semalam.

Turut hadir, Datuk Bandar Kuala Terengganu, Dato’ Rosli Latif dan Pengarah Pelancongan Negeri Terengganu, Ahmad Ridzwan Abdul Rahman.

Mengulas lebih lanjut, Razali berkata setiap pulau juga akan diwujudkan hentian rehat untuk pelancong singgah.

“Sementara pelancong hendak balik ke darat ataupun menunggu kenderaan untuk ke hotel akan ada kemudahan seperti tandas, surau serta pentas kencil yang akan mempersembahkan kesenian dan kebudayaan negeri Terengganu bagi memastikan kunjungan pelancong lebih ramai dan meriah,” katanya.

Dalam pada itu beliau menzahirkan perasan puas hati apabila fasa pertama rancangan mahu mengantikan masjid lama yang tidak digunakan lagi dengan surau dan hentian rehat berjalan dengan baik.

“Sebelum ini kita telah bersetuju dengan peruntukan sebanyak RM23,000 bagi membersihkan dan merobohkan masjid lama ini.

“Tadi kita telah lihat perobohan sedang berlaku walaupun belum siap sepenuhnya dan ‘progress’ sedang berjalan dan insya-Allah pada tahun hadapan kita akan lakukan fasa seterusnya untuk baik pulih dan melalukan pembangunan baru untuk hentian rehat,” ujarnya.