KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri Terengganu menyambut baik saranan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Datuk Seri Shamsul Azri Abu Bakar supaya meneliti semula dasar, peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) yang lama serta lapuk di agensi kerajaan negeri serta jabatan masing-masing.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja memaklumkan, kerajaan negeri menyambut baik saranan yang diutarakan.
“Kita menyambut baik saranan KSN dan insya-Allah negeri terengganu akan turut bersama-sama dengan saranan itu untuk kita melihat balik SOP yang ada.
“Sebenarnya SOP ini, kita di peringkat negeri memang biasanya akan sentiasa teliti agar dapat perbaharui ataupun pendekkan prosedur yang ada birokrasi untuk mempercepatkan proses,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah Kejohanan Badminton Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-anggota Kerajaan Malaysia (MAKSAK) di sini, hari ini.
Tambahnya, setakat ini Terengganu telah memperkenalkan sistem e-Tanah sebagai salah satu pembaharuan terbaru di peringkat negeri.
“Kita memperkenalkan e-tanah, yang akan mula berjalan pada 17 September serta akan dilancarkan secara ‘go live’ pada 12 September nanti.
“Ia salah satu usaha sama dengan kerajaan Persekutuan untuk kita cuba digitalkan sistem dalam masa sama membuang perkara-perkara tidak perlu, yang paling besar setakat ini ialah SOP isu-isu berkaitan e-tanah apabila diperkenalkan,” katanya.