KUALA TERENGGANU – Pelaksanaan solat hajat pada program Karnival Indahnya Hidup bersyariat diharap mampu melembutkan hati pihak yang menzalimi hak rakyat Terengganu dalam isu royalti petroleum.
Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pihak yang sedang memegang tampuk pemerintahan negara perlu menyedari bahawa tindakan itu telah mengakibatkan segala perancangan dan agenda kebajikan rakyat di negeri ini terganggu.
“Tidakkah mereka di nun sana mempunyai sedikit perasaan ihsan? sebagaimana yang dilaung-laungkan dengan tindakan mereka menyusahkan bayaran royalti terencatnya beberapa projek dan program di negeri Terengganu.
“Lihatlah kesannya kepada perojek pembangunan seperti pembinaan kluster perumahan rakyat, bantuan kepada mereka yang ingin meneruskan perniagaan, pembangunan sukan dan belia, bengkel kemahiran termasuk bantuan kesihatan kepada pesakit kronik.
“Bantuan kepada golongan OKU (orang kelainan upaya), program pendidikan dan lain-lain lagi yang ingin kita laksanakan termasuk Pusat Tafaqquh Fiddin yang telah terencat dan terganggu akibat perbuatan mereka ini.
“Tidakkah ada perasaan ehsan dan sedar akan kelemahan yang mereka ciptakan ini, semoga dibukakan pintu hati dan sedar akan kelemahan serta kembalilah ke jalan yang benar dan sepatutnya,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan acara penutup program Karnival Indahnya Hidup Bersyariat ‘Munajat Terengganu Sejahtera’, di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, di sini, semalam.
Mengulas lebih lanjut, Ahmad Samsuri berkata sejak tahun 2023 Terengganu menerima royalti secara tersekat-sekat dan ia amat menyusahkan kerajaan negeri untuk menjayakan program serta agenda kebaikan untuk rakyat.
“Pesanan kasih sayang daripada saya kepada mereka di luar sana ingatlah bahawa kita semua bernafas udara milik Allah, berpijak di atas bumi milik Allah, kuasa yang dianugerahkan adalah kepunyaan-Nya.
“Akan sampai waktu dan ketika kita akan menghadap Allah serta akan dintanya kerja buat kita sebagai pemimpin sama ada di peringkat negeri, nasional ataupun antarabangsa.
“Pada waktu itu jawablah kita di hadapan Allah atas segala apa jua kecurangan dan kelemahan sepanjang melaksanakana amanah kepada rakyat yang kita pimpin,” katanya.