Oleh MUHAMMAD HADI
KANGAR, 4 Sept: Kerajaan negeri bakal melaksanakan program ‘Berhenti Dulu Kita Solat’ yang bermula pada 15 September 2024 di semua tapak pasar malam di negeri ini.
Menurut Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pembangunan Sumber Manusia Dan Pembasmian Kemiskinan Negeri Perlis, Asrul Aimran Abd Jalil, program berkenaan merupakan salah satu inisiatif memperkasakan kempen ‘Hayya Ala Solah’ yang sedang dilaksanakan kerajaan negeri.
Jelasnya lagi, menerusi program berkenaan, semua peniaga beragama Islam yang menjalankan aktiviti perniagaan di pasar malam di Perlis diwajibkan memberhentikan operasi perniagaan mereka buat seketika semasa waktu Maghrib bagi membolehkan para peniaga dan pengunjung beragama Islam menunaikan solat.
“Inisiatif ini juga bertujuan menggalakan para pengunjung pasar malam yang beragama Islam supaya tidak membeli-belah ketika masuknya waktu solat Maghrib selain mendidik rakyat menunaikan solat pada awal waktu dan tidak melengah-lengahkan solat,” katanya dalam satu hantaran menerusi Facebook beliau hari ini.
Bagi para peniaga bukan Islam pula ujarnya, mereka diberi pilihan sama ada menutup perniagaan sepanjang tempoh pelaksanaan program berkenaan atau meneruskan aktiviti perniagaan seperti biasa.
Tambahnya lagi, buat permulaan, sebagai langkah mendidik masyarakat, anggota penguatkuasa PBT akan turun padang bagi memastikan kejayaan program ‘Berhenti Dulu Kita Solat’ ini dengan memberi nasihat dan teguran terlebih dahulu.