Home Berita PAS Terengganu

POLITIK BOHONG DAN KEBENDAAN TETAP MENJADI PILIHAN UMNO-PH

63
SHARE

Minda Presiden PAS

Penganut Islam diajar menghadapi fitnah Dajjal yang menjadi tanda besar dunia akhir zaman sebagaimana yang telah diberitahu oleh Rasulullah SAW. Betapa bahayanya godaan Dajjal, sehingga setiap orang rasul mengingatkan umat masing-masing akan bahaya godaan fitnahnya.

Rasulullah SAW berdoa memohon perlindungan Allah bagi menghadapi fitnah tersebut dalam setiap solatnya sebelum ditutup dengan salam. Bahkan, Rasulullah SAW juga mewasiatkan umatnya agar berdoa supaya Allah melindungi diri masing-masing daripada fitnah Dajjal.

Telah dihuraikan bahawa sebelum kemunculan Dajjal, terdapat bala tenteranya dahulu yang akan disebarkan ke seluruh pelosok dunia. Mengikut kepercayaan agama Yahudi, Dajjal yang dinamakan al-Masih itu dinantikan oleh kaum Yahudi yang juga disebut al-Masyyah. Ia berasal daripada bangsa Yahudi yang menjadi pemimpin agung negara yang besar dengan menakluki seluruh dunia selepas berlakunya perang dunia yang besar.

Kini, kumpulan pelampau Yahudi paling tegas menolak usaha perdamaian kerana mereka ingin meneruskan peperangan. Perkembangan ini menjadi tanda besar akan kedatangan al-Masih yang akan memimpin mereka menakluk dunia. Umat Islam menamakan al-Masih yang ditunggu-tunggu oleh kaum Yahudi dengan nama al-Masih al-Dajjal (pembohong besar yang menyesatkan).

Al-Masih al-Dajjal akan datang dengan membawa prinsip kebendaan supaya manusia bertuhankannya dengan diberikan kesenangan kepada sesiapa yang bersamanya. Jika menentangnya, maka golongan itu akan dihumban ke dalam neraka yang menyusah dan menyeksakan. Kedatangannya menjadi tanda besar kepada hampirnya kiamat yang akan menamatkan alam kini dan digantikan dengan alam akhirat yang kekal buat selama-lamanya.

Rasulullah SAW juga memberitahu bahawa akan adanya beberapa dajjal sebelum kemunculan Dajjal yang besar.

Al-Masih yang sebenar mengikut Islam ialah Nabi ‘Isa AS yang datang membunuh Dajjal ketika hampirnya kiamat. Baginda AS akan memerintah dengan syariat Islam yang adil pada akhir umur dunia, setelah berjaya mengalahkan kaum Yahudi.

Aqidah perjuangan Dajjal ialah kebendaan dan harta kesenangan dunia yang menjadi tuhan yang dipuja-puja. Maka, Dajjal Yahudi yang bermata satu itu hanya menjadi simbol dunia sahaja tanpa akhirat.

Kita dapat menyaksikan betapa semua ahli falsafah yang mencipta ideologi politik dan ekonomi, sama ada ideologi yang paling kiri seperti Karl Marx atau paling kanan seperti Adam Smith, kedua-duanya berasal daripada kaum Yahudi.

Malah, kita juga dapat menyaksikan penguasaan Yahudi Zionis terhadap politik dan ekonomi negara-negara besar dan negara kecil. Negara-negara ini berada di bawah naungan ideologi tersebut sehinggakan Bank Dunia (World Bank) dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) juga turut bersamanya.

Maka, semua parti dan calon ketua negara-negara besar berusaha mendapat sokongan Zionis dalam setiap pilihan raya umum dan pilihan raya kecil. Caranya dengan menunjukkan mereka itulah kumpulan yang paling kuat menyokong Israel walaupun telah disaksikan keganasannya, tetapi semua itu ditutupi dengan politik wang atau harta dan media bohong yang dikuasai oleh Zionis.

Keadaan ini dapat disaksikan dengan jelas dalam Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat (AS), begitu juga di England dan negara-negara Eropah yang lain.

Allah menyebut suatu cerita benar dalam al-Quran mengenai konsep perjuangan Yahudi Bani Isra’il yang dilaknat oleh-Nya, sebagaimana firman-Nya:

أَلَمۡ تَرَ إِلَى ٱلۡمَلَإِ مِنۢ بَنِيٓ إِسۡرَٰٓءِيلَ مِنۢ بَعۡدِ مُوسَىٰٓ إِذۡ قَالُواْ لِنَبِيّٖ لَّهُمُ ٱبۡعَثۡ لَنَا مَلِكٗا نُّقَٰتِلۡ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِۖ قَالَ هَلۡ عَسَيۡتُمۡ إِن كُتِبَ عَلَيۡكُمُ ٱلۡقِتَالُ أَلَّا تُقَٰتِلُواْۖ قَالُواْ وَمَا لَنَآ أَلَّا نُقَٰتِلَ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ وَقَدۡ أُخۡرِجۡنَا مِن دِيَٰرِنَا وَأَبۡنَآئِنَاۖ فَلَمَّا كُتِبَ عَلَيۡهِمُ ٱلۡقِتَالُ تَوَلَّوۡاْ إِلَّا قَلِيلٗا مِّنۡهُمۡۚ وَٱللَّهُ عَلِيمُۢ بِٱلظَّـٰلِمِينَ ٢٤٦ وَقَالَ لَهُمۡ نَبِيُّهُمۡ إِنَّ ٱللَّهَ قَدۡ بَعَثَ لَكُمۡ طَالُوتَ مَلِكٗاۚ قَالُوٓاْ أَنَّىٰ يَكُونُ لَهُ ٱلۡمُلۡكُ عَلَيۡنَا وَنَحۡنُ أَحَقُّ بِٱلۡمُلۡكِ مِنۡهُ وَلَمۡ يُؤۡتَ سَعَةٗ مِّنَ ٱلۡمَالِۚ قَالَ إِنَّ ٱللَّهَ ٱصۡطَفَىٰهُ عَلَيۡكُمۡ وَزَادَهُۥ بَسۡطَةٗ فِي ٱلۡعِلۡمِ وَٱلۡجِسۡمِۖ وَٱللَّهُ يُؤۡتِي مُلۡكَهُۥ مَن يَشَآءُۚ وَٱللَّهُ وَٰسِعٌ عَلِيمٞ ٢٤٧

“Apakah kamu tidak memperhatikan para pemimpin Bani Isra’il sesudah Nabi Musa, iaitu ketika mereka berkata kepada seorang Nabi mereka, ‘Angkatlah untuk kami seorang raja supaya kami berperang (di bawah pimpinannya) pada jalan Allah.’ Nabi mereka menjawab, ‘Mungkin sekali jika kamu nanti diwajibkan berperang, kamu tidak akan berperang.’ Mereka menjawab, ‘Mengapa kami tidak mahu berperang pada jalan Allah, padahal sesungguhnya kami telah diusir dari kampung dan rumah-rumah dan anak-anak kami?’ Maka, tatkala perang itu diwajibkan atas mereka, mereka pun berpaling, kecuali beberapa orang sahaja antara mereka. Dan Allah Maha Mengetahui siapa orang-orang yang zalim. (246) Nabi mereka mengatakan kepada mereka, ‘Sesungguhnya, Allah telah mengangkat Talut menjadi raja kamu.’ Mereka menjawab, ‘Bagaimana Talut memerintah kami, padahal kami lebih berhak mengendalikan pemerintahan daripadanya, sedang dia tidak diberikan kekayaan yang cukup banyak?’ Nabi (mereka) berkata, ‘Sesungguhnya, Allah telah memilih raja kamu dan menganugerahinya ilmu yang luas dan tubuh yang perkasa.’ Allah memberikan pemerintahan kepada siapa yang dikehendaki-Nya. Dan Allah Maha Luas pemberian-Nya lagi Maha Mengetahui. (247)” [Surah al-Baqarah: 246-247]

Mereka menolak Raja Talut yang telah ditetapkan oleh Allah kerana ilmunya, sebaliknya mahukan seorang yang kaya walaupun seseorang yang tidak berilmu dan jahat. Hal ini menunjukkan bahawa politik kebendaan, termasuklah rasuah politik adalah konsep Yahudi pada zaman dahulu yang menyebabkan kejatuhan kerajaan mereka dalam catatan sejarahnya.

Al-Quran melaporkan cerita benar berkenaan kejatuhan kuasa besar dan kerajaan terdahulu yang berpunca daripada amalan pemujaan kebendaan. Firman Allah SWT:

أَلَمۡ تَرَ كَيۡفَ فَعَلَ رَبُّكَ بِعَادٍ ٦ إِرَمَ ذَاتِ ٱلۡعِمَادِ ٧ ٱلَّتِي لَمۡ يُخۡلَقۡ مِثۡلُهَا فِي ٱلۡبِلَٰدِ ٨ وَثَمُودَ ٱلَّذِينَ جَابُواْ ٱلصَّخۡرَ بِٱلۡوَادِ ٩ وَفِرۡعَوۡنَ ذِي ٱلۡأَوۡتَادِ ١٠ ٱلَّذِينَ طَغَوۡاْ فِي ٱلۡبِلَٰدِ ١١ فَأَكۡثَرُواْ فِيهَا ٱلۡفَسَادَ ١٢ فَصَبَّ عَلَيۡهِمۡ رَبُّكَ سَوۡطَ عَذَابٍ ١٣ إِنَّ رَبَّكَ لَبِٱلۡمِرۡصَادِ ١٤

“Adakah kamu tidak memerhatikan bagaimana Tuhanmu telah berbuat terhadap kaum ‘Ad (yang kufur derhaka). (6) Iaitu penduduk Iram yang mempunyai bangunan-bangunan yang tinggi. (7) Yang belum pernah dibangunkan (suatu kota) sepertinya di negeri-negeri lain (pada zaman itu). (8) Dan (terhadap) kaum Thamud yang memahat batu-batu besar di lembah (Wadi al-Qura iaitu tempat tinggalnya). (9) Dan (terhadap) Firaun yang menguasai pasak-pasak (tentera yang ramai). (10) (Semuanya itu ialah) orang-orang yang telah berbuat sewenang-wenangnya dalam negeri. (11) Lalu mereka melakukan dengan banyaknya kerosakan dan bencana di negeri-negeri itu. (12) Dengan yang demikian, Tuhanmu mencurahkan ke atas mereka pelbagai paluan azab. (13) Sesungguhnya, Tuhanmu benar-benar mengawasi.” [Surah al-Fajr: 6-14]

Allah menyebut secara khusus berkenaan Firaun. Firman Allah SWT:

وَنَادَىٰ فِرۡعَوۡنُ فِي قَوۡمِهِۦ قَالَ يَٰقَوۡمِ أَلَيۡسَ لِي مُلۡكُ مِصۡرَ وَهَٰذِهِ ٱلۡأَنۡهَٰرُ تَجۡرِي مِن تَحۡتِيٓۚ أَفَلَا تُبۡصِرُونَ ٥١ أَمۡ أَنَا۠ خَيۡرٞ مِّنۡ هَٰذَا ٱلَّذِي هُوَ مَهِينٞ وَلَا يَكَادُ يُبِينُ ٥٢ فَلَوۡلَآ أُلۡقِيَ عَلَيۡهِ أَسۡوِرَةٞ مِّن ذَهَبٍ أَوۡ جَآءَ مَعَهُ ٱلۡمَلَـٰٓئِكَةُ مُقۡتَرِنِينَ ٥٣ فَٱسۡتَخَفَّ قَوۡمَهُۥ فَأَطَاعُوهُۚ إِنَّهُمۡ كَانُواْ قَوۡمٗا فَٰسِقِينَ ٥٤

“Dan Firaun berseru kepada kaumnya (seraya) berkata, ‘Wahai kaumku! Bukankah kerajaan Mesir ini kepunyaanku dan (bukankah) sungai-sungai ini mengalir di bawahku (istanaku); maka apakah kamu tidak melihatnya? (51) Bukankah aku lebih baik daripada orang yang hina keadaannya ini, dan yang hampir-hampir tidak dapat menjelaskan (perkataannya)? (52) (Jika benar dia seorang rasul) Mengapa tidak dipakaikan kepadanya gelang daripada emas atau malaikat datang bersama-samanya untuk mengiringinya?’ (53) Maka, Firaun memperbodohkan rakyatnya (dengan perkataan itu), lalu mereka patuh kepadanya. Kerana sesungguhnya mereka ialah kaum yang fasiq. (54)” [Surah al-Zukhruf: 51-54]

Semuanya dimusnahkan kerana menjadikan kebendaan atau harta sebagai aqidah perjuangan, bukannya rukun kesempurnaan kehidupan yang hanya menjadi tambahan sahaja.

Rasulullah SAW telah diwahyukan oleh Allah apabila penentangnya mensyaratkan kebendaan disediakan supaya mereka boleh menerima Islam. Firman Allah SWT:

وَلَقَدۡ صَرَّفۡنَا لِلنَّاسِ فِي هَٰذَا ٱلۡقُرۡءَانِ مِن كُلِّ مَثَلٖ فَأَبَىٰٓ أَكۡثَرُ ٱلنَّاسِ إِلَّا كُفُورٗا ٨٩ وَقَالُواْ لَن نُّؤۡمِنَ لَكَ حَتَّىٰ تَفۡجُرَ لَنَا مِنَ ٱلۡأَرۡضِ يَنۢبُوعًا ٩٠ أَوۡ تَكُونَ لَكَ جَنَّةٞ مِّن نَّخِيلٖ وَعِنَبٖ فَتُفَجِّرَ ٱلۡأَنۡهَٰرَ خِلَٰلَهَا تَفۡجِيرًا ٩١ أَوۡ تُسۡقِطَ ٱلسَّمَآءَ كَمَا زَعَمۡتَ عَلَيۡنَا كِسَفًا أَوۡ تَأۡتِيَ بِٱللَّهِ وَٱلۡمَلَـٰٓئِكَةِ قَبِيلًا ٩٢ أَوۡ يَكُونَ لَكَ بَيۡتٞ مِّن زُخۡرُفٍ أَوۡ تَرۡقَىٰ فِي ٱلسَّمَآءِ وَلَن نُّؤۡمِنَ لِرُقِيِّكَ حَتَّىٰ تُنَزِّلَ عَلَيۡنَا كِتَٰبٗا نَّقۡرَؤُهُۥۗ قُلۡ سُبۡحَانَ رَبِّي هَلۡ كُنتُ إِلَّا بَشَرٗا رَّسُولٗا ٩٣ وَمَا مَنَعَ ٱلنَّاسَ أَن يُؤۡمِنُوٓاْ إِذۡ جَآءَهُمُ ٱلۡهُدَىٰٓ إِلَّآ أَن قَالُوٓاْ أَبَعَثَ ٱللَّهُ بَشَرٗا رَّسُولٗا ٩٤

“Dan sesungguhnya, Kami telah mengulang-ulang kepada manusia dalam al-Quran ini tiap-tiap macam perumpamaan, tetapi kebanyakan manusia tidak menyukai kecuali mengingkarinya. (89) Dan mereka berkata, ‘Kami sekali-kali tidak percaya kepadamu hingga kamu memancarkan mata air dari bumi untuk kami. (90) Atau kamu mempunyai sebuah kebun kurma dan anggur, lalu kamu alirkan sungai-sungai di celah kebun yang deras alirannya. (91) Atau kamu jatuhkan langit berkeping-keping ke atas kami, sebagaimana kamu katakan atau kamu datangkan Allah dan malaikat-malaikat berhadapan muka dengan kami. (92) Atau kamu mempunyai sebuah rumah daripada emas, atau kamu naik ke langit. Dan kami sekali-kali tidak akan mempercayai kenaikanmu itu hingga kamu turunkan ke atas kami sebuah kitab yang kami baca.’ Katakanlah, ‘Maha Suci Tuhanku, bukankah aku ini hanya seorang manusia yang menjadi rasul?’ (93) Dan tidak ada sesuatu yang menghalangi manusia untuk beriman tatkala datang petunjuk kepadanya, kecuali perkataan mereka, ‘Adakah Allah mengutus seorang manusia menjadi rasuI?’ (94)” [Surah al-Isra’: 89-94]

Semua cerita al-Quran adalah benar dan menjadi petunjuk sepanjang jalan. Maka, para ulama’ Islam menetapkan maqasid al-syari‘ah dalam rukun hidup manusia mengikut tertibnya, bermula dari menjaga agama, nyawa, akal, keturunan, maruah dan harta.

Dalam pada itu, harta juga adalah rukun maqasid al-syari‘ah tetapi dalam tertib terakhir, jadi perlu didahului perkara yang lain dari segi kedudukannya. Adapun konsep Dajjal yang meletakkan harta sebagai rukun pertama yang menjadi perjuangan semua ideologi, sehingga harta itu dianggap lebih penting daripada agama, maruah diri, keluarga, bangsa dan negara.

Kita menyaksikan di negara kita betapa politik wang menyebabkan keruntuhan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) yang telah berkuasa sehingga membarah ke dalam pemilihan partinya di semua peringkat. Seterusnya, membawa pula penyakit ini ke dalam masyarakat Melayu yang beragama Islam menjadikan mereka mangsa rasuah politik yang merosakkan agama dan bangsa.

Kini, UMNO yang rosak bersama Pakatan Harapan (PH) meneruskan prinsip dan konsep kebendaan menjadi agenda yang utama bagi menegakkan dan mempertahankan kerajaannya. Ia digunakan sebagai senjata dengan cara yang lebih daripada Dajjal.

Mereka membeli rakyat dengan wang dan kebendaan supaya menyokongnya, pada masa yang sama menindas pembangkang dengan menafikan peruntukan kewangan yang diwajibkan mengikut agama dan amalan demokrasi. Sedangkan mereka telah mengambil cukai daripada semua rakyat, termasuk pembangkang. Maka, terbukti mereka lebih daripada Dajjal yang tidak memungut cukai.

PH menipu dengan slogan Rahmah yang dilaksanakannya, walhal ia merujuk sifat Allah Yang Maha Rahmah yang rahmat-Nya melimpah-ruah. Hal ini demikian kerana, Allah memberi kurniaan kepada hamba-Nya dengan adil kepada semua, sama ada yang taat ataupun yang derhaka. Adapun kesalahan dosanya dibicarakan dengan adil di tempat yang lain.

Firman Allah SWT:

وَمَا خَلَقۡتُ ٱلۡجِنَّ وَٱلۡإِنسَ إِلَّا لِيَعۡبُدُونِ ٥٦ مَآ أُرِيدُ مِنۡهُم مِّن رِّزۡقٖ وَمَآ أُرِيدُ أَن يُطۡعِمُونِ ٥٧ إِنَّ ٱللَّهَ هُوَ ٱلرَّزَّاقُ ذُو ٱلۡقُوَّةِ ٱلۡمَتِينُ ٥٨

“Dan aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdikan diri kepada-Ku. (56) Aku tidak menghendaki rezeki sedikit pun daripada mereka dan Aku tidak menghendaki supaya mereka memberi makan kepada-Ku. (57) Sesungguhnya, Allah Dialah Tuhan Maha Pemberi rezeki yang mempunyai kekuatan lagi sangat kukuh. (58)” [Surah al-Zariyat: 56-58]

Kita menyaksikan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri di Kelantan baru-baru ini, betapa politik Dajjal menjadi senjata lama yang merosakkan UMNO terus digunakan lagi dengan tenaga perasuah dan penerima rasuah. Kini, mereka berkeliaran dalam PH yang menjadi kerajaan berkuasa dan dijadikan tempat pergantungan makhluk perosak sepanjang zaman.

Dua sifat yang ada pada Dajjal dalam dirinya, iaitu pembohong dan menggoda dengan kesenangan hidup dunia tanpa sempadan halal dan haram.

Kedua-dua ciri ini telah merosakkan perjuangan asal UMNO demi agama, bangsa dan tanah airnya, sehingga menyebabkan ramai kepimpinannya telah meninggalkan UMNO. Bahkan, mereka memilih terus bersama PAS atau terus bekerjasama dengan PAS bersama wadah-wadah baharu gerakan politik atau apa sahaja namanya bagi perjuangan agama, bangsa dan tanah air, laksana Muhajirin dan Ansar yang akhirnya bersatu wadahnya yang dinyatakan oleh firman Allah SWT:

إِنَّ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَٱلَّذِينَ هَاجَرُواْ وَجَٰهَدُواْ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ أُوْلَـٰٓئِكَ يَرۡجُونَ رَحۡمَتَ ٱللَّهِۚ وَٱللَّهُ غَفُورٞ رَّحِيمٞ ٢١٨

“Sesungguhnya, orang-orang yang beriman serta orang-orang yang berhijrah dan berjihad di jalan Allah, mereka itu mengharapkan rahmat Allah, dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” [Surah al-Baqarah: 218]

Tinggalkan dan biarkan mereka yang bersama Dajjal kerana mencari jalan mudah untuk mendapatkan keredaan manusia, bukannya keredaan Allah. Hakikatnya, mereka hanya berwawasan dunia tanpa akhirat sehingga bergayut bersama dasar Dajjal yang sesat dan konsepnya yang salah. Ikutilah firman Allah SWT:

وَأَنَّ هَٰذَا صِرَٰطِي مُسۡتَقِيمٗا فَٱتَّبِعُوهُۖ وَلَا تَتَّبِعُواْ ٱلسُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمۡ عَن سَبِيلِهِۦۚ ذَٰلِكُمۡ وَصَّىٰكُم بِهِۦ لَعَلَّكُمۡ تَتَّقُونَ ١٥٣

“Dan bahawa (yang Kami perintahkan ini) adalah jalan-Ku yang lurus, maka ikutilah dia, dan janganlah kamu mengikuti jalan-jalan (yang lain), kerana jalan-jalan itu mencerai-beraikan kamu dari jalan-Nya. Oleh yang demikian, diperintahkan Allah agar kamu bertaqwa.” [Surah al-An‘am: 153]

Jalan Allah yang betul hanya satu sahaja. Adapun jalan-jalan yang banyak yang bercabang-cabang daripadanya adalah jalan yang terpesong dan merosakkan.

Bezakan antara janji benar daripada tawaran Allah kalau bersama-Nya dengan janji bohong, menipu dan menggoda daripada tawaran Dajjal kalau bersamanya.

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 17 Safar 1446 / 22 Ogos 2024

[Bil: 35 / 2024]