Home Berita PAS Terengganu

Yusuf dikec boleh dijadikan inspirasi skuad menembak- Khalil

11
SHARE

KUALA TERENGGANU – Komitmen dan keyakinan atlet menembak Turkiye, Yusuf Dikec sehingga berjaya meraih pingat perak di Sukan Olimpik 2024 boleh dijadikan inspirasi kepada skuad menembak Terengganu untuk mempamerkan aksi cemerlang dalam Sukan Malaysia (SUKMA) ke-21 di Sarawak.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Terengganu, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, sebagai ‘bapa angkat’ kepada skuad menembak negeri, beliau ingin melihat semangat juang yang ditunjukkan Yusuf Dikec ketika beraksi di pentas dunia itu dapat dicontohi para atlet bagi merealisasikan sasaran satu pingat emas, satu perak dan enam gangsa.

“Ambil semangat beliau itu (Yusuf Dikec) walaupun dengan gaya bersahaja beliau mencapai satu prestasi dan kejayaan yang begitu hebat dengan memperolehi pingat perak.

“Satu perkara yang boleh menjadi inspirasi kepada atlet kita untuk mencapai kejayaan dalam SUKMA yang akan berlangsung beberapa hari lagi,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Ramah Mesra Bersama Pasukan Menembak SUKMA Terengganu dan Jabatan Angkat (Pejabat Pengarah Tanah Dan Galian Terengganu) di Sumai Hotel, semalam.

Terengganu menghantar seramai 17 atlet menembak iaitu lapan lelaki dan sembilan wanita untuk bertanding dalam 14 acara.

Terdahulu, Yusuf Dikec, menjadi tular di media sosial kerana sikapnya yang kelihatan santai ketika menembak untuk meraih pingat perak di Sukan Olimpik 2024.

Gambar yang banyak dikongsi menunjukkan Dikec menembak dalam baju-T dengan satu tangan di dalam poket, memakai sepasang cermin mata biasa dan ekspresi wajah yang tenang.