Home Berita PAS Terengganu

Mufti Terengganu jawab kritikan Majlis Perundingan pelbagai agama

19
SHARE

KUALA TERENGGANU – Mufti Terengganu, Datuk Dr. Mohamad Sabri Haron menjelaskan bahawa garis panduan berkaitan kehadiran umat Islam ke rumah ibadat agama lain adalah khusus untuk menjaga keharmonian di kalangan umat Islam dan tidak melibatkan agama lain.

Kenyataan ini dibuat sebagai respons terhadap kritikan daripada Majlis Perundingan Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh, dan Tao Malaysia (MCCBCHST) yang mengecam beliau membenarkan dakwah Islam di tempat ibadat bukan Islam.

Mohamad Sabri menyatakan bahawa niat dalam menghadiri tempat-tempat ibadat seperti gereja dan kuil adalah penting untuk mengelakkan timbulnya fitnah dan maksud yang tidak baik, seperti menceroboh, mengebom atau memusnahkan patung.

Beliau menekankan bahawa semua pihak perlu menghormati garis panduan itu untuk memelihara keharmonian di kalangan umat Islam.

Menurutnya, kehadiran ke tempat ibadat agama lain mungkin boleh menimbulkan sangkaan buruk daripada masyarakat Islam sendiri mengenai kemungkinan bertukar agama.

“Sebagai agama yang diiktiraf dalam al-Quran dan perlembagaan negara, niat dakwah dalam Islam haruslah tulus dan berlandaskan kasih sayang untuk menyelamatkan manusia di dunia dan akhirat.

“Ini sesuai dengan kehendak wahyu yang menyeru kebaikan dan mencegah kemungkaran. Mengikut kehendak wahyu, Islam adalah agama yang tertinggi, dan umat Islam tidak boleh meletakkan Islam setaraf dengan agama lain,” katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman pada hari ini.

Tambah Mohamad Sabri, dialog antara agama tidak semestinya dilakukan di tempat ibadat tetapi boleh diadakan di lokasi lain yang sesuai.

“Garis panduan ini penting untuk menjaga keharmonian dengan agama-agama lain dan mengelakkan timbulnya fitnah serta niat yang buruk.

“Kesimpulannya, garis panduan ini bertujuan menjaga keharmonian dan mengelakkan fitnah. Hidayah dan petunjuk adalah milik Allah SWT, dan manusia hanya berusaha untuk kebaikan di dunia dan akhirat,” ujarnya.