KUALA TERENGGANU – Skuad menembak Terengganu menyasarkan sekurang-kurangnya satu pingat emas dalam Sukan Malaysia (SUKMA) ke-21 yang akan berlangsung di Sarawak bermula 17 hingga 24 Ogos depan.
Ketua jurulatih, Nazihan Harun berkata, beliau yakin sasaran berkenaan boleh dicapai berdasarkan prestasi semasa penembak yang mempamerkan persembahan baik dan konsisten ketika menjalani latihan.
“Kita menghantar 17 atlet iaitu lapan lelaki dan sembilan wanita untuk bertanding dalam 14 acara dan sasaran emas disandarkan pada Adam Firdaus Azrul menerusi acara 50 meter Rifle tiga posisi (individu lelaki).
“Kami percaya dengan latihan yang begitu bersungguh-sungguh selama dua tahun, jika mereka beraksi sehabis baik mungkin akan membuahkan pingat lebih daripada itu,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Temu Mesra Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Muhammad Khalil Abdul Hadi Bersama Pasukan Menembak SUKMA Terengganu dan Jabatan Angkat (Pejabat Pengarah Tanah Dan Galian Terengganu) di Sumai Hotel, semalam.
Nazihan berkata, selain sasaran pingat emas, pasukannya turut mengintai peluang untuk meraih podium dalam beberapa acara lain.
“Untuk SUKMA Sarawak ini kita sasarkan satu pingat emas, satu perak dan enam gangsa dapat disumbangkan oleh skuad menembak Terengganu.
“Majoriti atlet pada tahun ini adalah muka baru, cuma empat atlet pernah beraksi pada SUKMA edisi ke-20 di Kuala Lumpur dua tahun lalu,” ujarnya.
Katanya, Negeri Sembilan dan Pahang menjadi ancaman utama Terengganu untuk meraih keputusan positif tetapi beliau tetap yakin atlet negeri ini mampu untuk melaksanakan tanggungjawab.
“Semua atlet dalam keadaan baik dan bersedia untuk bertanding di kejohanan SUKMA yang akan bermula beberapa hari lagi.
“Harapan kami adalah untuk membawa balik seberapa banyak pingat dari bumi kenyalang,” ujarnya.
Dalam pada itu, kapten skuad menembak, Muhammad Naufal Mohamed Nasir berkata, dia dan rakan sepasukan sudah mencapai dalam 95 peratus kemajuan.
“Kami kini dalam fasa akhir jalani latihan dan sekarang lebih kepada latihan untuk gilap semula dari segi sasaran dan mengekalkan prestasi dan juga kecergasan untuk bertanding di sana nanti,” ujarnya.