Home Berita PAS Perak

Isu tauliah mengajar oleh ahli politik perlu ditangani dengan teliti dan adil

43
SHARE

IPOH, 10 Julai 2024 – Dalam sidang Dewan Negeri Perak hari ini, isu berkaitan tauliah mengajar di masjid oleh ahli politik menjadi topik hangat perbahasan.

Beberapa Ahli Dewan Negeri membangkitkan persoalan tentang keberadaan bukti bahawa terdapat Ahli Dewan Negeri yang menggunakan tauliah untuk mengajar politik kepartian di masjid.

Isu tauliah ini timbul apabila beberapa Ahli Dewan Negeri mempertikaikan tindakan kerajaan negeri yang mengambil langkah tegas terhadap mereka yang didapati mengajar politik kepartian di masjid.

YB Mohd Akmal Kamarudin, Ahli Dewan Negeri (ADN) PAS-PN Kawasan Selama menegaskan bahawa sehingga kini, tiada bukti konkrit yang menunjukkan bahawa mana-mana ahli Yang Berhormat menggunakan tauliah mereka untuk tujuan tersebut.

“Setakat ini, tiada bukti yang menunjukkan bahawa Ahli Dewan Negeri (ADN) yang bertauliah telah menggunakan platform masjid untuk mengajar politik kepartian,” ujar Mohd Akmal.

Beliau mencadangkan bahawa tindakan hanya perlu diambil jika terdapat bukti jelas tentang penyalahgunaan tauliah tersebut. Ini penting untuk mengelakkan generalisasi yang boleh menjejaskan mereka yang mempunyai kelayakan akademik dalam bidang agama.

Dalam perbahasan tersebut, beliau turut menyebut tentang keperluan bagi pihak kerajaan dan Jabatan Mufti untuk menyediakan pengganti kepada Ahli Yang Berhormat (Ahli Dewan Negeri) yang telah diberhentikan daripada mengajar berikutan larangan dan syarat yang dikeluarkan.

“Ada yang sudah mengajar separuh kitab tetapi terpaksa berhenti dan hingga kini belum ada pengganti. Kerajaan perlu berusaha mencari pengganti untuk memastikan kesinambungan pengajaran agama Islam,” jelas Mohd Akmal.

Isu tauliah mengajar di masjid oleh ahli politik perlu ditangani dengan teliti dan adil. Pihak kerajaan negeri Perak disarankan untuk menyediakan bukti kukuh sebelum mengambil sebarang tindakan dan memastikan pengganti yang sesuai disediakan untuk meneruskan pengajaran agama di masjid.

Diharapkan isu ini dapat diselesaikan dengan cara yang tidak menjejaskan pihak yang tidak bersalah dan memastikan keadilan terjamin.