Home Berita PAS Terengganu

74 Bekas pulut kuning teruskan tradisi rai hari guru

10
SHARE

DUNGUN – Tradisi meraikan warga pendidik sempena Hari Guru diteruskan setiap tahun dengan penyampaian 74 bekas pulut kuning di pelbagai pusat pengajian di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau Abang.

Pengarah Majlis Tindakan Dewan Undangan Negeri (MTD) Rantau Abang, Ustaz Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli berkata, bahawa tanggal 16 Mei merupakan satu tarikh yang memberi pengiktirafan kepada para pendidik yang bergelar guru.

“Nampak sedap pulut kuning kita bagi ni, tapi ada orang suruh tinggal kat pagar sahaja.

“Terima kasih guru-guru yang sudi menerima kehadiran kami,” ujarnya dipetik daripada laman sosialnya, pada 16 Mei lalu.

Menurutnya lagi, program ini bukan sahaja untuk menunjukkan penghargaan, tetapi juga untuk mengukuhkan silaturahim antara pendidik dan masyarakat setempat.

Dalam usaha mengekalkan tradisi ini, pihak DUN Rantau Abang telah membentuk 12 kumpulan yang diketuai Ahli Jawatankuasa MTD dan Harian Muslimat DUN mengaturkan pengagihan pulut kuning kepada sekolah-sekolah dan institusi pendidikan di kawasan tersebut.

“Jadi buah tangan tidak seberapa ini disampaikan termasuk di enam buah Sekolah Menengah Kebangsaan, 15 buah Sekolah Kebangsaan.

“12 Pusat Asuhan Tunas-Tunas Islam (PASTI), 36 Tadika, sebuah Kelas Jahitan Komuniti, dua Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) dan sebuah Madrasah,” katanya.

Justeru itu beliau berharap, tradisi dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai tanda penghormatan dan penghargaan kepada jasa dan pengorbanan para guru yang tidak ternilai.

“Guru diibarat sebatang lilin yang membakar dirinya demi ingin memberi sinar untuk orang lain, penat dan lelahnya mereka tidak pernah diungkit mahupun dibualkan.

“Selamat hari guru 2024 saya ucapkan kepada semua guru termasuklah guru di DUN Rantau Abang,” katanya lagi.