Home Berita PAS Pahang

Luahan hati seorang ibu sempena Hari Ibu

342
SHARE

Oleh : HABSAH ALI

KUANTAN, 13 Mei – “Arwah sempat membawa saya Solat Tarawih di masjid negeri kerana dia tahu saya suka solat berjemaah di situ, dia anak yang baik” kata Romana Ram kepada Wartawan Rakyat Harakah semasa berkunjung ke rumahnya di Balok Makmur bersempena Hari Ibu baru-baru ini.

Anaknya Muhammad Zharif Abd. Aziz (23) telah meninggal dunia di tempat kejadian akibat kemalangan jalan raya pada 27 Ramadan yang lepas di Taman Dato Rashid di sini.

“Pada hari kemalangan tu, dia telah sempat memulangkan pakaian kerja yang dipinjam dari teman sekerjanya dan berbuka puasa bersama dengan kawan-kawan yang akan pulang bercuti raya.

“Almarhum seolah-olah macam telah tahu dia akan meninggalkan saya, dia pernah kata perlukan banyak masa untuk bersama dengan saya, kerja tempat sekarang pergi pagi balik dah malam, ibu dah tidur, jadi dia telah berhenti kerja dan bercadang cari kerja lain selepas Hari Raya nanti, tetapi hasratnya tidak kesampaian” katanya dengan linangan air mata.

Almarhum adalah anak kelima dari enam adik beradik telah menyambung pelajarannya di Politeknik Metro Kuantan dalam jurusan Perkhidmatan Makanan Halal.

Selepas menamatkan pengajiannya selama tiga tahun, almarhum bekerja dengan sebuah syarikat yang mengeluarkan bahan makanan keju di Kuantan.

“Almarhum adalah anak yang sangat baik, dia tidak akan keluar rumah selagi tidak bersalam dengan saya, kalau saya tengah solat, dia akan tunggu sehingga saya selesai solat.

“Ramai guru, pensyarah yang datang semasa hari pengkebumiannya termasuk pekerja kantin, mereka mengatakan arwah sangat baik akhlaknya, baik setara mana saya tak tahu.

“Kehilangan anak adalah ujian yang paling berat bagi saya yang bergelar ibu, tidak peliklah ada ibu yang berdoa minta diambil nyawanya dahulu kerana tidak mampu menempuh keperitan kehilangan jantung hati.

“Anak adalah anugerah dari Allah, kehadirannya membahagiakan dan kehilangannya menimbulkan rasa kesedihan yang mendalam, apatah lagi pergi untuk selama-lamanya.

“Namun sebagai seorang Islam kita kena reda di atas ketentuan Allah SWT, dan Insya-Allah setiap penderitaan dan kesedihan yang dirasai, Allah akan memberi pahala, itulah yang saya ingat dan pujuk hati untuk mendapat ketenangan” ujarnya lagi.