Oleh MUHAMMAD HADI
KANGAR, 12 Mei : Jasa dan pengorbanan yang dicurahkan oleh para guru PASTI amatlah besar dan tidak ternilai.
Demikian dijelaskan oleh Yang Dipertua PAS Kawasan Arau, Solahuddin Azmi ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Guru PASTI Kawasan Arau yang berlangsung di Dewan Residensi, Kediaman Rasmi Menteri Besar Perlis hari ini.
Menurutnya lagi, biarpun berkhidmat dalam keadaan serba kekurangan, para guru PASTI tidak pernah merungut sebaliknya tetap gigih menyempurnakan tugas mendidik yang telah diamanahkan kepada mereka.
“Alhamdulillah, para guru yang ada di sini sanggup tinggalkan gaji yang mahal untuk duduk (berkhidmat) dengan PASTI.
“Sebenarnya, inilah tugas (mendidik kanak-kanak) yang paling berat sekali yang tak sanggup dibuat oleh kebanyakan orang lain tetapi berjaya dilaksanakan oleh para guru PASTI sekalian,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut memuji keikhlasan dan kesabaran para guru dalam menghadapi cabaran mendidik sambil mengingatkan mereka bahawa apa yang mereka lakukan itu sebenarnya adalah menyambung tugas para nabi dan rasul terdahulu.
“Jadi nak beritahu di sini bahawa tugas para guru PASTI ni memang hebat dan dahsyat untuk mendidik anak-anak untuk mengenal Nabi, kenal Allah SWT.
“Inilah kerja nabi-nabi dan rasul-rasul iaitu mendidik dan mengajak umatnya untuk menyembahkan diri kepada Allah SWT.,” katanya.