KENYATAAN MEDIA PAS NEGERI PERLIS
ISU SIASATAN SPRM, RAKYAT DISERU DOAKAN YANG TERBAIK
PAS Negeri Perlis menyambut baik kenyataan Menteri Besar Perlis, YAB Mohd. Shukri Ramli yang memberi jaminan akan memberikan kerjasama penuh kepada SPRM dalam siasatan mereka berhubung isu rasuah yang melibatkan beberapa individu di negeri ini.
Walaupun timbul pelbagai spekulasi berhubung isu tersebut, PAS Negeri Perlis tetap menaruh keyakinan bahawa siasatan yang berlaku dilaksanakan secara adil dan telus serta bebas daripada sebarang pengaruh politik.
Pada masa yang sama, PAS Negeri Perlis mengajak seluruh rakyat di negeri ini supaya mendoakan yang terbaik buat YAB Menteri Besar Perlis dalam menghadapi saat-saat yang mencabar ini.
Rakyat juga diminta agar kekal bertenang di samping mendapatkan maklumat daripada sumber-sumber yang sahih serta sentiasa patuh kepada undang-undang negara.
PAS Negeri Perlis turut menyeru semua pihak agar memperbanyakkan doa serta munajat agar kerajaan negeri Perlis dan seluruh rakyatnya sentiasa berada dalam lindungan Allah SWT.
“Adil, Prihatin dan Berkebajikan”
USTAZ ASRUL AIMRAN ABD JALIL
Ketua Penerangan PAS Negeri Perlis