Oleh : HABSAH ALI
INDERA MAHKOTA, 18 Apr – “Siapa bil airnya naik mendadak cuba tengok jumlah penggunaan, banyak tak beza dengan bulan-bulan sebelumnya,” kata Ahli Dewan Negeri (ADN) Beserah Andansura Rabu melalui laman sosialnya hari ini.
Beliau berkata demikian setelah mendapat beberapa aduan dari penduduk di kawasannya mengenai kenaikan bil air yang naik secara mendadak selepas penggantian meter baharu.
“Memang ada kenaikan pada bil air sejak bulan Mac sebab tarif air sudah dinaikkan.
“Tapi kalau kadar penggunaan lebih kurang sama, ia tak sepatutnya naik hingga tak masuk akal, naik antara tiga ke empat kali ganda hingga hampir 200 ringgit,” kata beliau.
Melalui laman sosialnya juga beliau telah mengeluarkan panduan sama ada kenaikan bil tersebut berpunca dari kenaikan tarif, kebocoran paip atau masalah teknikal lain yang perlu dilapurkan segera kepada pihak PAIP.
Rujukan https://www.facebook.com/share/p/tXYymBn9V7QBg9zY/?mibextid=oFDknk
Beliau memohon agar pihak PAIP dapat meningkatkan mutu perkhidmatannya seiring dengan kenaikan tarif terutamanya yang melibatkan urusan khidmat pelanggan dan menangani aduan.
“Berikan perhatian segera kepada aduan-aduan yang sudah lama tertangguh atau tertunggak, begitu juga isu-isu bekalan yang sudah berlarutan terlalu lama,” ujar beliau lagi.
Sementara itu Pengurus PASTI Chengal Lempong Balok, Azmoni Mohamad ketika ditemui berkata, beliau terkejut melihat bil di sekolahnya telah naik sehingga RM197.
Pada kebiasaan bil yang dibayar antara RM50 ke RM70 sebulan, sedangkan dalam tempuh tersebut sekolahnya sedang bercuti.