Oleh : NUR ROY NABILA A.ROZI
BENTONG, 2 Mac – “Sebagai seorang muslim kita percaya dalam rezeki kita ada hak dan bahagian orang lain yang lebih memerlukan sebagaimana yang dinyatakan dalam al-Quran bahawa setiap orang di dunia ini telah ada rezeki masing-masing dan tidak ada satu makhluk yang bergerak di atas bumi ini yang tidak dijamin rezekinya oleh Allah SWT.
“Semoga dengan sumbangan ini dapat meringankan bebanan perbelanjaan persekolahan yang ditanggung oleh mereka yang memerlukan di samping melaksanakan amanah orang ramai yang ingin berkongsi rezeki,” kata Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Khadijah Bentong Yusma Yusof.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Program I Love School kepada 30 orang pelajar yang bakal memasuki persekolahan pada tahun ini.
Program anjuran bersama Pertubuhan Kebajikan Khadijah Bentong dan Pertubuhan Nisa’ Bentong diadakan di salah sebuah inap desa Mempaga di sini kelmarin.
Sementara itu Ketua Nisa’ Bentong Norzahirah Ghazi berkata bulan Ramadhan dan Syawal yang bakal tiba, sudah pasti banyak perbelanjaan yang diperlukan.
Justru tambah beliau bantuan itu bukan sahaja dapat meringankan bebanan keluarga malahan sebagai motivasi dan semangat baru untuk anak-anak memulakan persekolahan mereka.
Sumbangan berupa wang tunai, beg dan peralatan sekolah telah disampaikan kepada pelajar-pelajar berkenaan pada hari tersebut.