Home Berita PAS Pahang

Muslimat berbengkel mantapkan organisasi ke arah PAS Teraju Pahang

108
SHARE

Oleh : IDAYU HASHIM

ROMPIN, 29 Feb – “Organisasi yang berjaya dapat memastikan tujuan dan matlamat dapat dicapai dengan adanya pengetahuan dan perkhidmatan yang baik.

“Oleh itu muslimat perlu tahu dan faham apakah matlamat yang perlu dicapai dalam setiap gerakerja kita untuk menang dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 nanti,” kata Ketua Pengarah Pilihanraya Dewan Muslimat PAS Negeri (JPrM DMPN) Pahang Yusma Yusof.

Beliau berkata demikian dalam Program Pemantapan Organisasi anjuran Lajnah Pilihanraya DMP kawasan Rompin di Kampung Sepakat di sini kelmarin.

Tambahnya lagi muslimat perlu bergerak seiring dengan menambah ilmu kerana pengetahuan yang baik dan cekap dapat membantu organisasi mencapai objektifnya sehingga ke akar umbi.

“Hadir diri ke majlis ilmu berniat kerana Allah SWT, kita akan beroleh manfaatnya tetapi kalau niat dapat ilmu untuk berdebat, kita takkan dapat apa-apa,” ujar Yusma lagi.

Sementara itu Ketua DMP kawasan Rompin Ustazah Rosmaria Yusof berharap agar muslimat Rompin akan bergerak dengan lebih mantap dan berkesan hasil dari program tersebut.

Turut hadir dalam program itu adalah Timbalan Pengarah II JPrM DMPN Pahang Hasnah Arshad, Ketua Unit Prihatin JPrM DMP Pahang Rohana Abdullah serta lebih dari 20 orang pimpinan muslimat PAS Dun Tioman.