Home Berita PAS Pahang

Tubuh jawatankuasa khas perkasakan enakmen jenayah syariah di Pahang

64
SHARE

Oleh : HABSAH ALI

KUANTAN, 18 Feb – PAS Pahang melahirkan rasa kebimbangan perkara yang sama akan berlaku di negeri Pahang rentetan dari terbatalnya 16 peruntukan kesalahan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 oleh Mahkamah Persekutuan baru-baru ini tidak berulang di Pahang.

“Sebelum peruntukan enakmen itu dicabar, kita menggesa agar kerajaan negeri Pahang cepat bertindak untuk membentuk jawatankuasa khas bagi memperkasakan enakmen jenayah syariah di negeri Pahang.

“Tujuan persidangan akhbar ini diadakan agar kerajaan memberi maklum balas kepada kita walaupun satu patah perkataan kerana isu ini isu besar, bukan kecil.

“Kami tidak kisah berlakunya pindaan sekiranya pindaan itu bertepatan dan juga bersesuaian dengan rakyat,”

Begitulah antara kata-kata Pesuruhjaya PAS Pahang Ustaz Rosli Abdul Jabar dalam satu sidang akhbar di sini kelmarin.

Menurut beliau lagi, sehingga kini masih tiada ulasan dari pihak Exco Agama berkaitan dengan perkara tersebut di negeri Pahang.

PAS mengharapkan supaya ada maklumbalas yang tegas atau satu penetapan supaya enakmen jenayah syariah di negeri Pahang ini terpelihara.

Sementara itu Ahli Dewan Negeri (ADN) Beserah Andansura Rabu dalam persidangan tersebut berkata PAS bersedia untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri dalam perkara ini sama ada memberi cadangan atau pandangan.

“Kita berharap kerajaan negeri bersikap terbuka dalam menangani perkara ini dengan melibatkan semua pihak yang ada pengetahuan dan kepakaran supaya perkara ini dapat diselesaikan dengan segera.

“Implikasinya kalau terlalu lama atau lambat untuk bertindak ianya akan memberi kesan kepada perjalanan kes-kes yang sedang berjalan, adakah ianya masih diteruskan, atau ditunda atau ditangguhkan,” tambahnya lagi.

Turut hadir dalam persidangan ini adalah Pengerusi Lajnah Undang-undang dan Hak Asasi Manusia Pas Pahang Mohd Zamri Ibrahim dan Ketua Penerangan PAS Pahang Ustaz Aireroshairi Roslan.