Home Minda Presiden

Perpaduan berdasarkan petunjuk Allah

266
SHARE

Minda Presiden PAS
[Bil: 6 / 2024]
PERPADUAN BERDASARKAN PETUNJUK ALLAH


Ajaran Islam yang sempurna menetapkan petunjuk khusus dalam aspek perpaduan yang diwajibkan bagi menyempurnakan peranan manusia. Dengan itu, manusia boleh melaksanakan tujuan mereka diciptakan oleh Allah dalam urusan ibadat, khilafah (mentadbir) dan amanah untuk menegakkan hukum yang adil kepada semua.

Islam mewajibkan solat Jumaat, pada masa yang sama menggalakkan sembahyang berjemaah dan secara berjemaah berusaha menegakkan hukum Allah seperti perhimpunan haji. Tujuannya adalah untuk meneguhkan perpaduan umat melalui ibadat roh, jasad dan harta.

Allah sebagai Pencipta alam telah menetapkan sempadan tugas kepada seluruh makhluk-Nya, termasuk manusia. Khususnya tugas dalam perkara yang berkait dengan kepentingan umum, bukan sahaja kepentingan dirinya. Secara khusus lagi, ia berkait dengan aspek tujuan manusia diciptakan oleh Allah untuk menjadi makhluk yang mentadbir urusan dunia yang mewajibkan mereka bersatu dalam perkara berkonsepkan kebajikan dan taqwa. Sebaliknya, haram sekiranya mereka bersatu dalam perkara dosa dan pencerobohan. Firman Allah SWT:

﴿…وَتَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡبِرِّ وَٱلتَّقۡوَىٰۖ وَلَا تَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡإِثۡمِ وَٱلۡعُدۡوَٰنِۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۖ إِنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلۡعِقَابِ٢﴾

“…Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan taqwa, dan janganlah kamu tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah. Sesungguhnya, Allah amat berat seksa-Nya.” [Surah al-Ma’idah: 2]

Kini, aspek perpaduan menjadi perbincangan. Ia dilihat penting oleh semua pihak, sehingga menjadikan semua pihak menguar-uarkan perpaduan, sama ada perpaduan umat seluruh manusia yang terbesar ataupun perpaduan rakyat sekelompok dalam satu bangsa dan satu negara atau kerajaan perpaduan.

Dalam kalangan makhluk-Nya, Allah menciptakan manusia menjadi satu umat, walaupun terdiri daripada berbagai-bagai bangsa, berbeza kebolehan dan berlainan kemampuan kerana peranan masing-masing yang tidak sama. Namun begitu, semua manusia bersatu dalam bermasyarakat dan bertamadun secara fitrah.

Adanya perbezaan bertujuan untuk melaksanakan hikmah mereka diciptakan iaitu menjadi hamba Allah yang diamanahkan mentadbir urusan dunia dan makhluknya. Hal ini sekali gus mewajibkan mereka berlainan dan berbeza dalam pembahagian tugas, mempunyai banyak kebolehan, berada dalam situasi yang berlainan, namun tetap berhubungan dalam masyarakat majmuk yang bersatu menjadi fitrah manusia, hamba kepada Tuhan yang Maha Esa, Pencipta yang Mentadbir seluruh alam (Rab al-‘Alamin).

Maka, manusia dibentuk daripada satu keluarga besar. Firman Allah SWT:

﴿يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ ٱتَّقُواْ رَبَّكُمُ ٱلَّذِي خَلَقَكُم مِّن نَّفۡسٖ وَٰحِدَةٖ وَخَلَقَ مِنۡهَا زَوۡجَهَا وَبَثَّ مِنۡهُمَا رِجَالٗا كَثِيرٗا وَنِسَآءٗۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ ٱلَّذِي تَسَآءَلُونَ بِهِۦ وَٱلۡأَرۡحَامَۚ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ عَلَيۡكُمۡ رَقِيبٗا١﴾

“Wahai sekalian manusia, bertaqwalah kepada Tuhanmu yang telah menciptakan kamu daripada seorang diri, dan daripadanya Allah menciptakan isterinya; dan daripada kedua-duanya Allah mengembangbiakkan lelaki dan perempuan yang banyak. Dan bertaqwalah kepada Allah yang dengan (mempergunakan) nama-Nya kamu saling meminta satu sama lain, dan (peliharalah) hubungan silaturahim. Sesungguhnya, Allah selalu menjaga dan mengawasi kamu.” [Surah al-Nisa’: 1]

Namun, mereka wajib berhubungan dalam kehidupan bermasyarakat. Firman Allah SWT:

﴿يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقۡنَٰكُم مِّن ذَكَرٖ وَأُنثَىٰ وَجَعَلۡنَٰكُمۡ شُعُوبٗا وَقَبَآئِلَ لِتَعَارَفُوٓاْۚ إِنَّ أَكۡرَمَكُمۡ عِندَ ٱللَّهِ أَتۡقَىٰكُمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٞ١٣﴾

“Wahai manusia, sesungguhnya, Kami menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan, serta menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling mengenal! Sesungguhnya, orang yang paling mulia antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa antara kamu. Sesungguhnya, Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.” [Surah al-Hujurat: 13]

Allah menetapkan sempadan dengan petunjuk-Nya yang sempurna supaya mencapai tujuan peranan masing-masing, walaupun diciptakan dengan kemampuan yang berbeza namun adanya perpaduan dalam titik persamaan. Oleh itu, diwajibkan para hamba-Nya dalam semua keadaan mengikuti sempadan Allah dan ketetapan-Nya yang Maha Mengetahui, Adil dan Bijaksana, yang membawa kebaikan dan manfaat kepada manusia. Tanpanya, ia akan membawa bencana dan kemusnahan di dunia dan akhirat yang seterusnya menyebabkan kemurkaan Allah.

Firman Allah SWT:

﴿وَهُوَ ٱلَّذِي جَعَلَكُمۡ خَلَـٰٓئِفَ ٱلۡأَرۡضِ وَرَفَعَ بَعۡضَكُمۡ فَوۡقَ بَعۡضٖ دَرَجَٰتٖ لِّيَبۡلُوَكُمۡ فِي مَآ ءَاتَىٰكُمۡۗ إِنَّ رَبَّكَ سَرِيعُ ٱلۡعِقَابِ وَإِنَّهُۥ لَغَفُورٞ رَّحِيمُۢ١٦٥﴾

“Dan Dialah yang menjadikan kamu penguasa-penguasa di bumi dan Dia meninggikan sebahagian daripada kamu atas sebahagian (yang lain) beberapa darjat, untuk mengujimu tentang apa yang diberikan-Nya kepadamu. Sesungguhnya, Tuhanmu amat cepat seksaan-Nya dan sesungguhnya Dia Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” [Surah al-An‘am: 165]

Firman Allah SWT:

﴿أَهُمۡ يَقۡسِمُونَ رَحۡمَتَ رَبِّكَۚ نَحۡنُ قَسَمۡنَا بَيۡنَهُم مَّعِيشَتَهُمۡ فِي ٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَاۚ وَرَفَعۡنَا بَعۡضَهُمۡ فَوۡقَ بَعۡضٖ دَرَجَٰتٖ لِّيَتَّخِذَ بَعۡضُهُم بَعۡضٗا سُخۡرِيّٗاۗ وَرَحۡمَتُ رَبِّكَ خَيۡرٞ مِّمَّا يَجۡمَعُونَ٣٢﴾

“Adakah mereka berkuasa untuk membahagi-bahagikan rahmat Tuhanmu (wahai Muhammad)? Kami telah menentukan bagi mereka segala keperluan hidup mereka dalam kehidupan dunia ini (sebahagiannya Kami jadikan kaya-raya dan sebahagiannya miskin menderita); dan juga Kami telah meninggikan darjat sebahagian daripada mereka daripada darjat sebahagian yang lain dengan beberapa darjat; (semuanya itu) supaya sebahagian daripada mereka mendapat manfaat daripada sebahagiannya yang lain. Dan rahmat Tuhanmu (yang meliputi kebahagiaan dunia dan akhirat) itu lebih baik daripada perkara yang mereka kumpulkan.” [Surah al-Zukhruf: 32]

Firman Allah SWT:

﴿وَلَوۡ شَآءَ رَبُّكَ لَجَعَلَ ٱلنَّاسَ أُمَّةٗ وَٰحِدَةٗۖ وَلَا يَزَالُونَ مُخۡتَلِفِينَ١١٨ إِلَّا مَن رَّحِمَ رَبُّكَۚ وَلِذَٰلِكَ خَلَقَهُمۡۗ وَتَمَّتۡ كَلِمَةُ رَبِّكَ لَأَمۡلَأَنَّ جَهَنَّمَ مِنَ ٱلۡجِنَّةِ وَٱلنَّاسِ أَجۡمَعِينَ١١٩﴾

“Jikalau Tuhanmu menghendaki, tentu Dia menjadikan manusia umat yang satu, tetapi mereka sentiasa berselisih pendapat. (118) Kecuali orang-orang yang diberi rahmat oleh Tuhanmu. Dan untuk itulah Allah menciptakan mereka. Kalimat Tuhanmu (keputusan-Nya) telah ditetapkan; sesungguhnya, Aku akan memenuhi neraka jahanam dengan jin dan manusia (yang derhaka) semuanya. (119)” [Surah Hud: 118-119]

Ini merupakan amaran terhadap mereka yang berpecah belah daripada jalan Allah yang lurus.

Allah Maha Rahmat yang rahmat-Nya melimpah-ruah tidak terhingga dengan memberikan petunjuk kepada manusia dalam kehidupan dunia dan tidak membiarkan manusia bersendirian. Maka, diberikan petunjuk dan dilantik para rasul daripada kalangan mereka supaya membawa petunjuk Allah dalam semua urusan, serta diberi amaran keras kalau menyalahi petunjuk-Nya.

Firman Allah SWT:

﴿كَانَ ٱلنَّاسُ أُمَّةٗ وَٰحِدَةٗ فَبَعَثَ ٱللَّهُ ٱلنَّبِيِّ‍ۧنَ مُبَشِّرِينَ وَمُنذِرِينَ وَأَنزَلَ مَعَهُمُ ٱلۡكِتَٰبَ بِٱلۡحَقِّ لِيَحۡكُمَ بَيۡنَ ٱلنَّاسِ فِيمَا ٱخۡتَلَفُواْ فِيهِۚ وَمَا ٱخۡتَلَفَ فِيهِ إِلَّا ٱلَّذِينَ أُوتُوهُ مِنۢ بَعۡدِ مَا جَآءَتۡهُمُ ٱلۡبَيِّنَٰتُ بَغۡيَۢا بَيۡنَهُمۡۖ فَهَدَى ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لِمَا ٱخۡتَلَفُواْ فِيهِ مِنَ ٱلۡحَقِّ بِإِذۡنِهِۦۗ وَٱللَّهُ يَهۡدِي مَن يَشَآءُ إِلَىٰ صِرَٰطٖ مُّسۡتَقِيمٍ٢١٣﴾

“Manusia itu ialah umat yang satu (setelah timbul perselisihan), maka Allah mengutus para nabi, sebagai pemberi peringatan, dan Allah menurunkan bersama mereka Kitab yang benar, untuk memberi keputusan antara manusia tentang perkara yang mereka perselisihkan. Tidaklah berselisih tentang Kitab itu melainkan orang yang telah didatangkan kepada mereka Kitab, iaitu setelah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang nyata, kerana melampau (sempadan Allah) antara mereka sendiri. Maka, Allah memberi petunjuk kepada orang-orang yang beriman ke arah kebenaran tentang hal yang mereka perselisihkan itu dengan kehendak-Nya. Dan Allah sentiasa memberi petunjuk kepada orang yang dikehendaki-Nya ke jalan yang lurus.” [Surah al-Baqarah: 213]

Firman Allah SWT:

﴿لَمۡ يَكُنِ ٱلَّذِينَ كَفَرُواْ مِنۡ أَهۡلِ ٱلۡكِتَٰبِ وَٱلۡمُشۡرِكِينَ مُنفَكِّينَ حَتَّىٰ تَأۡتِيَهُمُ ٱلۡبَيِّنَةُ١ رَسُولٞ مِّنَ ٱللَّهِ يَتۡلُواْ صُحُفٗا مُّطَهَّرَةٗ٢ فِيهَا كُتُبٞ قَيِّمَةٞ٣ وَمَا تَفَرَّقَ ٱلَّذِينَ أُوتُواْ ٱلۡكِتَٰبَ إِلَّا مِنۢ بَعۡدِ مَا جَآءَتۡهُمُ ٱلۡبَيِّنَةُ٤﴾

“Orang-orang kafir yakni ahli Kitab dan orang-orang Musyrik (mengatakan bahawa mereka) tidak akan meninggalkan (agamanya) sebelum datang kepada mereka bukti yang nyata. (1) (Iaitu) seorang Rasul dari Allah (Muhammad) yang membacakan lembaran-lembaran yang disucikan (al-Quran). (2) Di dalamnya terdapat (isi) Kitab-kitab yang lurus. (3) Dan tidaklah berpecah belah orang-orang yang didatangkan al-Kitab (kepada mereka) melainkan sesudah datang kepada mereka bukti yang nyata. (4)” [Surah al-Bayyinah: 1-4]

Allah Pencipta alam termasuk manusia, telah menunjukkan wajibnya perpaduan mengikut petunjuk Allah dan jangan melakukan sebab perpecahan yang diharamkan oleh Allah melakukannya. Di sana ada hikmah yang telah disebutkan di atas iaitu berlakunya perbezaan dan kelainan dalam kalangan manusia kerana adanya pembahagian peranan, keadaan yang berbeza dan tugas tersebut yang ada berlainannya. Maka, berlakunya pembahagian.

Disebabkan itu, adanya perpaduan yang diwajibkan dan ada perpaduan yang diharamkan. Begitu juga perpecahan yang diharamkan dan perpecahan yang diwajibkan. Di sana ada pula perbezaan yang diharuskan dan diizinkan dalam kalangan manusia.

Walau bagaimanapun, manusia wajib bersatu dalam perkara dasar dan rukun yang menjadi ketetapan Allah dan Rasulullah SAW yang menjadi Maqasid al-Syari‘ah. Firman Allah SWT:

﴿وَمَا كَانَ لِمُؤۡمِنٖ وَلَا مُؤۡمِنَةٍ إِذَا قَضَى ٱللَّهُ وَرَسُولُهُۥٓ أَمۡرًا أَن يَكُونَ لَهُمُ ٱلۡخِيَرَةُ مِنۡ أَمۡرِهِمۡۗ وَمَن يَعۡصِ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ فَقَدۡ ضَلَّ ضَلَٰلٗا مُّبِينٗا٣٦﴾

“Dan tidaklah patut bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, apabila Allah dan Rasul-Nya telah menetapkan suatu ketetapan, (dan tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri (yang lain) mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang menderhaka kepada Allah dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya dirinya telah tersesat dengan kesesatan yang nyata.” [Surah al-Ahzab: 36]

Islam mengharamkan perpecahan dalam perkara dasar dan rukun yang diwajibkan dalam semua urusan tersebut. Islam juga mengharamkan bersatu menentang dasar dan rukun tersebut.

Adapun manusia boleh berbeza dalam perkara cabang kehidupan yang diberikan pilihan kerana keadaan yang berbeza, tugas dan kemampuan yang berlainan, khususnya dalam perkara harus dan sebab atau situasi yang berlainan. Maka, dibenarkan berijtihad kepada mereka yang layak melahirkan mazhab dalam perkara cabang agama.

Dalam aspek perpaduan, Allah telah menetapkan ‘Road Map’ Perpaduan kepada Rasulullah SAW bersama generasi awal yang berjaya menjadi teladan dengan firman-Nya:

﴿وَٱعۡتَصِمُواْ بِحَبۡلِ ٱللَّهِ جَمِيعٗا وَلَا تَفَرَّقُواْۚ وَٱذۡكُرُواْ نِعۡمَتَ ٱللَّهِ عَلَيۡكُمۡ إِذۡ كُنتُمۡ أَعۡدَآءٗ فَأَلَّفَ بَيۡنَ قُلُوبِكُمۡ فَأَصۡبَحۡتُم بِنِعۡمَتِهِۦٓ إِخۡوَٰنٗا وَكُنتُمۡ عَلَىٰ شَفَا حُفۡرَةٖ مِّنَ ٱلنَّارِ فَأَنقَذَكُم مِّنۡهَاۗ كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ ٱللَّهُ لَكُمۡ ءَايَٰتِهِۦ لَعَلَّكُمۡ تَهۡتَدُونَ١٠٣﴾

“Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai-berai, dan ingatlah akan ni‘mat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (semasa jahiliah) saling bermusuh-musuhan, maka Allah menyatukan hatimu, lalu menjadilah kamu kerana ni‘mat Allah, orang-orang yang bersaudara; dan kamu telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu daripadanya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu, agar kamu mendapat petunjuk.” [Surah Ali ‘Imran: 103]

Sejarah generasi terdahulu membuktikan bahawa Islam berjaya menyatukan masyarakat Arab jahiliah yang sentiasa berperang dan menceroboh. Perpaduan yang diikat dengan tali Allah (Islam) berkonsepkan adil kepada seluruh manusia yang diperintah oleh Islam, sepertimana firman Allah SWT:

﴿۞إِنَّ ٱللَّهَ يَأۡمُرُكُمۡ أَن تُؤَدُّواْ ٱلۡأَمَٰنَٰتِ إِلَىٰٓ أَهۡلِهَا وَإِذَا حَكَمۡتُم بَيۡنَ ٱلنَّاسِ أَن تَحۡكُمُواْ بِٱلۡعَدۡلِۚ إِنَّ ٱللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُم بِهِۦٓۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ سَمِيعَۢا بَصِيرٗا٥٨ يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ أَطِيعُواْ ٱللَّهَ وَأَطِيعُواْ ٱلرَّسُولَ وَأُوْلِي ٱلۡأَمۡرِ مِنكُمۡۖ فَإِن تَنَٰزَعۡتُمۡ فِي شَيۡءٖ فَرُدُّوهُ إِلَى ٱللَّهِ وَٱلرَّسُولِ إِن كُنتُمۡ تُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأٓخِرِۚ ذَٰلِكَ خَيۡرٞ وَأَحۡسَنُ تَأۡوِيلًا٥٩﴾

“Sesungguhnya, Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menetapkan hukum antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya, Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberikan pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya, Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat. (58); Wahai, orang-orang yang beriman! Taatilah kamu kepada Allah, taatilah kamu kepada Rasulullah dan kepada Ulu al-Amri (orang-orang yang berkuasa) daripada kalangan kamu. Kemudian, jika kamu saling berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (al-Quran) dan (Sunnah) Rasul-Nya, jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan Hari Akhirat. Oleh yang demikian, perkara itu adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya. (59)” [Surah al-Nisa: 58-59]

Islam melaksanakan konsep adil kepada semua manusia, dan Islam berkuasa memerintah negara oleh Ulu al-Amri (para umara’ yang memimpin dan para ulama’ yang menjaga ilmu). Mereka semua adalah para pemimpin yang beriman, berilmu dan berakhlak mulia.

Maka, Rasulullah SAW telah melakukan hijrah ke Madinah dengan mengumpulkan penganut Islam yang terdiri daripada golongan Muhajirin dan Ansar dalam kalangan bangsa Arab yang mendominasi kuasa. Bermula dengan perpaduan umat Islam, seterusnya perpaduan semua rakyat dengan mengadakan tahaluf dengan kalangan bukan Islam yang tidak ekstrem yang telah dirakamkan dalam Piagam Madinah:

وَإِنَّهُ مَا كَانَ بَيْنَ أَهْلِ هَذِهِ الصَّحِيفَةِ مِنْ حَدَثٍ أَوْ اشْتِجَارٍ يُخَافُ فَسَادُهُ، فَإِنَّ مَرَدَّهُ إلَى اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ، وَإِلَى مُحَمَّدٍ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَإِنَّ اللَّهَ عَلَى أَتْقَى مَا فِي هَذِهِ الصَّحِيفَةِ وَأَبَرِّهِ. 

“Dan sesungguhnya, apa-apa jua perkara yang berlaku yang membawa perselisihan atau pertelingkahan yang berlaku dalam kalangan ahli piagam ini yang ditakuti merosakkannya, maka penyelesaiannya hendaklah dikembalikan kepada Allah SWT dan kepada Rasulullah SAW, dan Allah berada pada tempat paling tinggi dan paling baik dalam piagam ini.” [Ibn Hisyam, al-Sirah al-Nabawiah, jld. 1, ms. 503]

Rasulullah SAW telah menolak tawaran kuasa kerajaan perpaduan tawaran para pemimpin Makkah, walaupun Baginda Rasulullah SAW ditawarkan menjadi raja paling berkuasa dan paling kaya, dengan bersabda:

يَا عَمُّ، وَاَللَّهِ لَوْ وَضَعُوا ‌الشَّمْسَ ‌فِي ‌يَمِينِي، وَالْقَمَرَ فِي يَسَارِي عَلَى أَنْ أَتْرُكَ هَذَا الْأَمْرَ حَتَّى يُظْهِرَهُ اللَّهُ، أَوْ أَهْلِكَ فِيهِ، مَا تَرَكْتُهُ.

“Wahai bapa saudara kesayanganku! Demi Allah! Sekiranya mereka meletakkan matahari pada kananku, dan bulan pada kiriku agar aku meninggalkan urusan ini (menegakkan Islam) sehingga Allah memenangkannya atau aku mati dalam perjuangan menegakkannya, nescaya aku sekali-kali tidak akan meninggalkan perjuangan ini.” [Ibn Kathir, al-Bidayah wa al-Nihayah, jld. 4, ms. 121-122]

Abu Talib menegaskan:

“Demi Allah anak saudaraku (Muhammad) tidak berbohong.”

Tawaran itu ditolak kerana haram meninggalkan amanah daripada Allah untuk menegakkan hukum yang adil dan petunjuknya yang betul. Tanpanya menyebabkan berlakunya kesilapan yang merosakkan kehidupan manusia, berlakunya kezaliman dan pelbagai salah laku.

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) tetap beristiqamah bersama Islam yang berkuasa, bukan Islam sekular yang tidak berkuasa yang dicacatkan oleh penjajah dengan meninggalkan petunjuk Allah, seterusnya membawa akibat buruk yang dapat disaksikan.

Wajib mengikut petunjuk Allah berpandukan firman-Nya:

﴿وَأَنَّ هَٰذَا صِرَٰطِي مُسۡتَقِيمٗا فَٱتَّبِعُوهُۖ وَلَا تَتَّبِعُواْ ٱلسُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمۡ عَن سَبِيلِهِۦۚ ذَٰلِكُمۡ وَصَّىٰكُم بِهِۦ لَعَلَّكُمۡ تَتَّقُونَ١٥٣﴾

“Dan bahawa (yang Kami perintahkan ini) ialah jalan-Ku (Allah) yang lurus, maka ikutilah ia, dan janganlah kamu mengikuti jalan-jalan (yang lain), kerana jalan-jalan itu mencerai-beraikan kamu dari jalan-Nya. Yang demikian itu diperintahkan Allah agar kamu bertaqwa.” [Surah al-An‘am: 153]

Dinyatakan juga berkenaan hubungan dengan bukan Islam dalam masyarakat majmuk atas sifat kemanusiaan yang sama. Firman Allah SWT:

﴿لَّا يَنۡهَىٰكُمُ ٱللَّهُ عَنِ ٱلَّذِينَ لَمۡ يُقَٰتِلُوكُمۡ فِي ٱلدِّينِ وَلَمۡ يُخۡرِجُوكُم مِّن دِيَٰرِكُمۡ أَن تَبَرُّوهُمۡ وَتُقۡسِطُوٓاْ إِلَيۡهِمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلۡمُقۡسِطِينَ٨ إِنَّمَا يَنۡهَىٰكُمُ ٱللَّهُ عَنِ ٱلَّذِينَ قَٰتَلُوكُمۡ فِي ٱلدِّينِ وَأَخۡرَجُوكُم مِّن دِيَٰرِكُمۡ وَظَٰهَرُواْ عَلَىٰٓ إِخۡرَاجِكُمۡ أَن تَوَلَّوۡهُمۡۚ وَمَن يَتَوَلَّهُمۡ فَأُوْلَٰٓئِكَ هُمُ ٱلظَّٰلِمُونَ٩﴾

“Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tiada memerangimu kerana agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya, Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil.  (8) Sesungguhnya, Allah hanya melarang kamu menjadikan sebagai kawanmu orang-orang yang memerangimu kerana agama dan mengusir kamu dari negerimu, dan membantu (orang lain) untuk mengusirmu. Dan sesiapa menjadikan mereka sebagai kawan, maka mereka itulah orang-orang yang zalim. (9)” [Surah al-Mumtahanah: 8-9]

PAS menolak perpaduan yang sekular dan liberal warisan penjajah yang diharamkan. Hal ini bukan kerana kedegilan, tetapi disebabkan oleh kewajipan menjadi hamba Allah yang beriman dan berjuang mengikut perintah-Nya, serta meninggalkan larangan-Nya bagi menyelamatkan manusia tanpa memaksa menganut Islam.

Tanpa petunjuk Allah, dengan hanya mengikut nafsu boleh merosakkan diri. Firman Allah SWT:

﴿وَأَنِ ٱحۡكُم بَيۡنَهُم بِمَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ وَلَا تَتَّبِعۡ أَهۡوَآءَهُمۡ وَٱحۡذَرۡهُمۡ أَن يَفۡتِنُوكَ عَنۢ بَعۡضِ مَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ إِلَيۡكَۖ فَإِن تَوَلَّوۡاْ فَٱعۡلَمۡ أَنَّمَا يُرِيدُ ٱللَّهُ أَن يُصِيبَهُم بِبَعۡضِ ذُنُوبِهِمۡۗ وَإِنَّ كَثِيرٗا مِّنَ ٱلنَّاسِ لَفَٰسِقُونَ٤٩ أَفَحُكۡمَ ٱلۡجَٰهِلِيَّةِ يَبۡغُونَۚ وَمَنۡ أَحۡسَنُ مِنَ ٱللَّهِ حُكۡمٗا لِّقَوۡمٖ يُوقِنُونَ٥٠﴾

Dan hendaklah kamu memutuskan perkara antara mereka menurut apa-apa yang diturunkan Allah, dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka. Dan berhati-hatilah kamu terhadap mereka, supaya mereka tidak memalingkan kamu daripada sebahagian yang telah diturunkan Allah kepadamu. Jika mereka berpaling (dari hukum yang telah diturunkan Allah), maka ketahuilah bahawa sesungguhnya, Allah menghendaki akan menimpakan musibah kepada mereka disebabkan sebahagian dosa mereka. Dan sesungguhnya, kebanyakan manusia ialah orang-orang yang fasiq. (49) Apakah hukum jahiliah yang mereka kehendaki, dan (hukum) siapakah yang lebih baik daripada (hukum) Allah bagi orang-orang yang yakin? (50)” [Surah al-Ma’idah: 49-50]

Kita menyaksikan dengan nyata kegagalan ideologi dan teori ciptaan manusia sedang berlaku. Firman Allah SWT:

﴿ظَهَرَ ٱلۡفَسَادُ فِي ٱلۡبَرِّ وَٱلۡبَحۡرِ بِمَا كَسَبَتۡ أَيۡدِي ٱلنَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعۡضَ ٱلَّذِي عَمِلُواْ لَعَلَّهُمۡ يَرۡجِعُونَ٤١﴾

“Telah nampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan kerana perbuatan tangan-tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian daripada (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar).” [Surah al-Rum: 41]

Masalahnya ialah masih ramai yang tidak mahu menerima penyelesaian Islam yang ingin dikembalikan oleh PAS kerana masih tegar pegangannya kepada pelaksanaan yang gagal. Pada masa yang sama, mereka tidak memberi peluang kepada PAS dengan melakukan banyak sekatan, sehingga mencabuli konsep demokrasi dan perlembagaan sehingga berlakunya banyak salah laku dan kezaliman.

Allah memerintah Rasulullah SAW supaya beristiqamah berpegang kepada perintah Allah dan diharamkan bersekongkol dengan kezaliman. Firman Allah SWT:

﴿فَٱسۡتَقِمۡ كَمَآ أُمِرۡتَ وَمَن تَابَ مَعَكَ وَلَا تَطۡغَوۡاْۚ إِنَّهُۥ بِمَا تَعۡمَلُونَ بَصِيرٞ١١٢ وَلَا تَرۡكَنُوٓاْ إِلَى ٱلَّذِينَ ظَلَمُواْ فَتَمَسَّكُمُ ٱلنَّارُ وَمَا لَكُم مِّن دُونِ ٱللَّهِ مِنۡ أَوۡلِيَآءَ ثُمَّ لَا تُنصَرُونَ١١٣﴾

“Maka, tetaplah kamu di jalan yang benar, sebagaimana diperintahkan kepadamu dan (juga) orang yang telah bertaubat berserta kamu dan janganlah kamu melampaui batas. Sesungguhnya, Dia Maha Melihat apa-apa yang kamu kerjakan. (112) Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang zalim yang menyebabkan kamu disentuh api neraka, dan sekali-kali kamu tiada mempunyai seorang penolong pun selain Allah, kemudian kamu tidak akan diberikan pertolongan. (113)” [Surah Hud: 112-113]

PAS tidak boleh bersatu dengan mereka yang nyata zalimnya bertindak secara terpilih dalam memerintah negara, kerana hukum nafsunya mencari lawan, bukan mencari kawan.

Firman Allah SWT:

﴿يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُونُواْ قَوَّٰمِينَ لِلَّهِ شُهَدَآءَ بِٱلۡقِسۡطِۖ وَلَا يَجۡرِمَنَّكُمۡ شَنَ‍َٔانُ قَوۡمٍ عَلَىٰٓ أَلَّا تَعۡدِلُواْۚ ٱعۡدِلُواْ هُوَ أَقۡرَبُ لِلتَّقۡوَىٰۖ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۚ إِنَّ ٱللَّهَ خَبِيرُۢ بِمَا تَعۡمَلُونَ٨﴾

“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu menjadi orang-orang yang sentiasa menegakkan (kebenaran) kerana Allah, lagi menjadi saksi dengan adil; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu untuk tidak berlaku adil. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.” [Surah al-Ma’idah: 8]

Walaupun PAS cuba digagalkan perjuangannya, namun ia tetap diteruskan juga tanpa putus asa, sambil mengadu kepada Allah apabila dikecewakan dan dizalimi. Hal ini demikian kerana, keyakinan PAS bahawa doa orang yang dizalimi diperkenankan, sepertimana yang disebut melalui firman Allah SWT:

﴿قُلِ ٱللَّهُمَّ مَٰلِكَ ٱلۡمُلۡكِ تُؤۡتِي ٱلۡمُلۡكَ مَن تَشَآءُ وَتَنزِعُ ٱلۡمُلۡكَ مِمَّن تَشَآءُ وَتُعِزُّ مَن تَشَآءُ وَتُذِلُّ مَن تَشَآءُۖ بِيَدِكَ ٱلۡخَيۡرُۖ إِنَّكَ عَلَىٰ كُلِّ شَيۡءٖ قَدِيرٞ٢٦﴾

“Katakanlah (wahai Muhammad), ‘Wahai Tuhan yang mempunyai kerajaan, Engkaulah yang memberikan kerajaan kepada orang yang Engkau kehendaki; dan Engkaulah yang mencabut kerajaan daripada orang yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan orang yang Engkau kehendaki dan Engkaulah yang menghina orang yang Engkau kehendaki. Dalam tangan (kekuasaan) Engkaulah ada segala kebajikan. Sesungguhnya, Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu.” [Surah Ali ‘Imran: 26]

Serta percaya kepada janji Allah:

﴿وَنُرِيدُ أَن نَّمُنَّ عَلَى ٱلَّذِينَ ٱسۡتُضۡعِفُواْ فِي ٱلۡأَرۡضِ وَنَجۡعَلَهُمۡ أَئِمَّةٗ وَنَجۡعَلَهُمُ ٱلۡوَٰرِثِينَ٥﴾

“Dan Kami hendak memberikan kurniaan kepada orang-orang yang lemah (tertindas dan diperbodohkan) di bumi itu dan hendak menjadikan mereka pemimpin dan menjadikan mereka orang-orang yang mewarisi (bumi).” [Surah al-Qasas: 5]

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 25 Rajab 1445 / 6 Februari 2023