Home Berita PAS Perak

Munaqasyah medan mendalami ucapan dasar Presiden PAS

94
SHARE


Oleh: NurAsilah Noor

28 Januari 2024

TELUK INTAN: Lajnah Penerangan dan Media Baru (LPMB) Kawasan Teluk Intan telah menganjurkan munaqasyah bagi memahami dan mendalami Ucapan Dasar Presiden PAS semasa Muktamar Tahunan PAS Pusat Kali Ke-69, bertempat di Kompleks PAS Teluk Intan (KOMPASTI) di sini baru-baru ini.

Pada jam 8 malam, Dewan Wak Johar KOMPASTI suda mula dipenuhi dengan kehadiran para tetamu daripada pelbagai cawangan dan majlis dimulai dengan jamuan makan dan solat Isyak secara berjamaah sebelum acara seterusnya bermula.

Ketua Lajnah Penerangan dan Media Baru (LPMB) Muslimat Perak, Hamisah Abas yang hadir sebagai wakil daripada Badan Perhubungan PAS Perak, diberi penghormatan untuk berucap terlebih dahulu dan menyampaikan matlamat LPMB PAS Perak.

Menurut beliau, LPMB PAS Perak telah menggariskan 10 tindakan yang perlu dicapai oleh setiap PAS kawasan dengan akronim ‘PERAK HEBAT’ antaranya, Perkemas organisasi, Endah isu semasa, Rancang program, Aktifkan platform media sosial dan Kemaskini jentera sebaran.

Majlis disempurnakan dengan agenda utama yang disampaikan oleh Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Ahli Parlimen Parit Buntar, YB Misbahul Munir Masduki dengan tema “Adil, Prihatin dan Berkebajikan”.

“Maksud adil dalam konteks Islam yang sebenar adalah meletakkan sesuatu sesuai pada tempat yang sepatutnya dengan mengambil kira keadilan pelbagai situasi.

“Konsep prihatin atau mengambil berat khususnya tujuan manusia diciptakan untuk beribadah dan berkhilafah perlu dihadam oleh semua ahli.

“Dalam menjuarai isu kebajikan, aspek akidah dan sosial merangkumi kehidupan berkeluarga dan bermasyarakat (malahan) dari aspek rohani dan kebendaan ibarat mata rantai yang tidak putus antara satu sama lain,” jelasnya lagi yang juga merupakan Yang Dipertua PAS Kawasan Bagan Datoh.

Turut hadir, Yang DiPertua PAS Teluk Intan, Mohd Azhar Rafiei, Timbalan Yang DiPertua, Rostam Malek, Ketua LPMB, Mat Zin Boestamam serta ahli jawatankuasa yang lain.