Home Berita PAS Perak

Pusat Khidmat DUN Changkat Jong anjur majlis bacaan Yasin

35
SHARE

Oleh: NurAsilah Noor

24 Januari 2024

TELUK INTAN: Pusat Khidmat Masyarakat DUN Changkat Jong bersama Biro Muslimat Masjid Kampung Selabak telah mengadakan majlis bacaan surah Yasin di sini baru-baru ini.

Program yang bermula pada sekitar jam 3 petang dengan kehadiran seramai 60 orang peserta kelihatan ceria bertemakan pakaian serba putih menandakan ketulusan hati peserta yang hadir.

Khalifah bacaan surah Yasin telah dikendalikan dengan baik oleh Ketua Biro Muslimat Masjid Kampung Selabak, Masniah Subuki walaupun dipertengahan majlis hujan turun dengan agak lebat.

“Tiada pertolongan dan bantuan yang dapat kita selitkan untuk anak-anak yang bakal menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia(SPM) khususnya melainkan hanya doa yang berterusan,” kata Ketua Biro Muslimat Pusat Khidmat DUN, Rabi’aton Mohd Abas.

“Sebagai ibu bapa kita juga perlu mengingatkan anak-anak agar memohon taubat kepada Allah serta memohon redha dan kemaafan para guru yang telah menabur ilmu.

“Segala kebaikan yang dilakukan oleh ibu bapa seperti melazimi puasa sunat atau bersedekah juga dapat mengalirkan ketenangan dan kemudahan untuk anak-anak menghadapi ujian mereka,” jelasnya lagi.

Sebagai tanda ingatan, setiap peserta diberikan sebotol air Yasin serta ‘goodies bag’ sebagai tanda awal tautan silaturrahim.

Turut hadir, ADUN Changkat Jong, Yang Berhormat, Nadziruddin Mohamed Bandi serta isteri, Farah Adibah, setiausaha Biro Muslimat Pusat Khidmat DUN, Saadah Abas serta ahli jawatankuasa Muslimat yang lain.