Home Berita PAS Pahang

Memorandum Rakyat dipersembah kepada Pemangku Raja Pahang

1567
SHARE

Oleh: AZAHARI B.A.

PEKAN, 25 Jan : Ekoran satu memorandum rakyat yang telah dipersembahkan kepada Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara pagi kelmarin, memorandum serupa turut dipersembahkan kepada KDYMM Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Pejabat KDYMM Sultan Pahang di sini petang semalam.

Memorandum tersebut dipersembahkan oleh lima orang wakil pertubuhan Ikatan Muslim Malaysia (ISMA) diketuai Muhamad Rahimi Ali.

Hampir 100 orang penyokong berhimpun secara aman di pintu masuk ke perkarangan pejabat tersebut mengiringi Muhamad Rahimi menyerahkan memorandum itu.

Lima orang wakil telah dibenarkan masuk ke pejabat untuk menyerahkan sendiri warkah itu yang diterima oleh Pengelola Bijaya Diraja Dato’ Haji Ahmad Khirrizal bin Haji Ab. Rahman.

Memorandum Rakyat itu dipercayai mengandungi pelbagai tuntutan membabitkan isu semasa negara ketika ini.

Difahamkan juga bahawa memorandum serupa turut dipersembahkan kepada semua sembilan Raja-Raja Melayu di seluruh negara.