Islam diliberalisasikan: Dua Imam Solat Jumaat
Doktrin liberal kini dilihat semakin rancak. Artikel terbaru bertajuk “Larangan Solat Ketika Haid Satu Penindasan” mengejutkan kita semua. Ungkapan tersebut adalah melalui imam wanita kelahiran Turki, Seyran Ates yang merupakan pengasas rumah ibadah Islam liberal terbaru di Berlin.“Saya rasa didiskriminasi di dalam masjid-masjid di Berlin dan seluruh Jerman kerana tiada solat bersebelahan (lelaki dan wanita), kerana perempuan terpaksa pergi ke bilik yang buruk.
“Perempuan disuruh untuk solat berasingan dengan lelaki dan menutup rambut ketika solat…dan untuk berhenti solat sewaktu datang darah haid… Kesemua larangan ini diletakkan ke atas perempuan kerana ianya cerminan kepercayaan sosial bahawa perempuan tidak lengkap dan tidak sesempurna lelaki,” demikian antara ungkapan yang dizahirkan beliau. Rujuk pautan (https://www.menara.my/larangan-solat-ketika-haid-satu-penindasan-imam-wanita/)
Meneliti kata-kata hinaan terhadap agama ini, beliau sebenarnya sudah mencemarkan kemuliaan Islam. Sesungguhnya Allah S.W.T mengangkat martabat wanita di dalam Islam. Segala larangan dan perintah yang diarahkan terkandung hikmah kepada hambaNya yang beriman. Dari Abu Sai’d, Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,?
“Bukankah bila si wanita haid ia tidak solat dan tidak pula puasa? Itulah kekurangan agama si wanita. (Muttafaqun ‘alaih, Hadis Riwayat Bukhari)
Pengingkaran yang dilafazkan oleh Seyran merupakan bukti jelas bahawa puak liberal kini semakin berani mencabar kesucian agama. Allah S.W.T jelas mengharamkan wanita yang dalam keadaan haid untuk menunaikan solat. Namun perintah tersebut dianggap satu penindasan oleh beliau.
Justeru, kami DMPM melihat penularan doktrin ini perlu dikawal supaya tiada yang terpengaruh. Antara faktor terbesar sehingga menimbulkan kes ini ialah kejahilan yang melanda umat Islam. Agama Islam mula diperkotak-katikkan, dek kerana jahilnya ilmu dan tidak berguru dengan guru yang mahir dalam bidang agama.Kesungguhan untuk mencari ilmu dan penjelasan Islam yang sebenar perlu diperkasakan. Kesedaran perlu dipupuk bersama demi melihat panji Islam tidak lagi diremehkan oleh tangan-tangan yang bencikan kebenaran. Seharusnya umat Islam tidak boleh membiarkan hal ini menjadi nanah kepada generasi akan datang.
Benarlah sabda baginda yang menceritakan perihal umat Islam yang lemah pada akhir zaman.“Setelah aku wafat, setelah lama aku tinggalkan, umat Islam akan lemah. Di atas kelemahan itu, orang kafir akan menindas mereka bagai orang yang menghadapi piring dan mengajak orang lain makan bersama.”Maka para sahabat r.a. pun bertanya, “Apakah ketika itu umat Islam telah lemah dan musuh sangat kuat?”Sabda Baginda SAW:“Bahkan masa itu mereka lebih ramai tetapi tidak berguna, tidak bererti dan tidak menakutkan musuh. Mereka adalah ibarat buih di laut.”
Justeru, langkah drastik perlu disegerakan iaitu peranan semua pihak, khususnya Kementerian Pendidikan seharusnya melihat isu ini sebagai isyarat untuk menjadikan Pendidikan Islam yang syumul mesti dilaksanakan di semua peringkat Institusi Pendidikan sehingga ke Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta.
Kami daripada Dewan Muslimat PAS Malaysia menyarankan agar pihak-pihak yang berkenaan perlu mengambil tindakan yang tegas agar pemikiran liberal ini tidak menular dengan berleluasa dan semua umat Islam sedunia perlu peka dan terus mencari ilmu keagamaan dari sumber yang dipercayai dan terus berpegang kepada Al Quran dan As Sunnah sebagai pegangan hidup. Semoga kita terhindar dari golongan yang sesat lagi menyesatkan.
Sesungguhnya Rasulullah SAW pernah bersabda : “Aku telah meninggalkan pada kamu sekalian dua perkara yang kamu tidak akan sesat selama kamu berpegang teguh kepada keduaya, yaitu : Kitab Allah dan sunnah Rasul-Nya” Hadis Riwayat Malik.
“Muslimat Memacu Kemenangan”
USTAZAH SALAMIAH MOHD NOOR
Naib Ketua,
Dewan Muslimat PAS Malaysia
26 Ramadan 1438H
21 Jun 2017