Home Berita PAS Pahang

Perginya seorang srikandi DUN Semambu

3444
SHARE

 

Oleh : HABSAH ALI

SEMAMBU 31 Dis – “Kak Mun ni memang sakit, tapi demi memastikan kerja-kerja yang diamanahkan perlu dibereskan, Kak Mun usaha dengan sebaik-baiknya.

“Itulah kata-kata yang sehingga hari ini masih lagi saya tidak lupa,” kata Pengarah Jentera Pilihanraya DUN Semambu Kasdi Kosnim yang menziarahi keluarga al-marhumah Hamimun Dahaman di Taman Singa Emas Bukit Setongkol Kuantan kelmarin.

“Ketangkasan, kepetahan, ketaatan dan tidak menunjukkan riak wajah mengeluh sewaktu melaksanakan tugasan, menunjukkan beliau amat serius melaksanakan kerja-kerja yang diberikan.

“Arwah merupakan seorang muslimat yang amat-amat baik dan terlalu mudah membantu dalam hal-hal kerja kebajikan terutama di DUN Semambu,” ujarnya lagi.

Al-marhumah mula bergerak aktif semasa Pilihanraya ke-13, dan telah berjaya memperkasakan jentera muslimat di cawangan-cawangan DUN Semambu.

Di sebalik kekuatan dan semangat yang ada pada diri al-marhumah adalah sokongan yang padu dari suaminya Razali Abdul Rahim.

Razali sentiasa membantu sebagai pemandu setia untuk al-marhumah melaksanakan kerja-kerja di lapangan termasuk hadir mesyuarat pada hari cuti mahupun waktu malam.

“Sememangnya perlu diberikan kredit yang besar kepada arwah dan suaminya, semoga Allah SWT merahmatinya dan sekaligus menempatnya di kalangan orang-orang yang beriman,” ujar Kasdi dengan nada yang sayu.

Al-marhumah adalah kakitangan awam yang baru bersara pada awal Disember tahun ini dan telah meninggal dunia pada 26 Disember di rumahnya akibat sakit jantung.