Home Rencana PAS Pahang

10 Tips Hidup Energetik Untuk Insan Berjaya

181
SHARE

Oleh: FARIDAH KAMARUDDIN

DALAM dunia perniagaan, masa adalah wang. Setiap minit yang berlalu dan setiap perkara yang tergendala mengakibatkan kerugian besar, bukan untuk usahawan sahaja tapi bagi semua orang yang ingin berjaya.

Berikut adalah 10 tips bagaimana menggunakan masa anda sepenuhnya:

1. Buat jadual untuk esok:

Luangkan masa beberapa minit setiap petang atau awal pagi untuk membuat jadual harian. Rancang jadual yang fleksibel dan dapat disesuaikan dengan perubahan sepanjang hari. Digital atau jurnal  adalah pilihan yang paling popular. Penggunaan papan putih juga satu kaedah yang sangat baik mengikut keperluan anda.

Mulakan dengan meletakkan tugasan yang utama dan seterusnya. Buat jadual aktiviti sepanjang hari dan patuhi jadual tersebut. Ubah jadual, sekira tidak berkesan, tidak selesa atau meletihkan.

2. Sebaik-baiknya, bangun 30 minit lebih awal atau lebih awal lagi dari itu, sebelum solat subuh. Manfaatkan masa ini untuk solat, berdoa, berzikir, membaca Quran dan muhasabah diri. Anda tentu akan terkejut dengan impak amalan ini. Ia menyediakan anda satu kekuatan secara fizikal dan mental untuk menghadapi kehidupan harian kehadapan anda yang lebih energetik.

3. Kumpul semua bahan atau dokumen yang anda perlukan untuk melakukan sesuatu tugas. Anda akan kehabisan banyak masa dan hilang konsentrasi jika terpaksa mencari dokumen hilang atau membuat panggilan telefon semasa anda sedang tekun bekerja. Susun meja anda supaya kemas dan senang mencapai apa-apa yang yang anda perlukan. Pastikan anda tahu kedudukan barang-barang di atas meja itu.

4. Buat kerja sukar di masa yang paling sesuai. Jika anda rasakan anda paling aktif dan cergas di waktu pagi, gunakan masa itu untuk menyudahkan kerja-kerja paling sukar kerana anda waktu itu pasti lebih fokus dan efisien. Buat kerja rutin di masa yang kurang produktif. Terselesainya kerja yang sukar itu akan memberi anda rangsangan positif yang mungkin akan mempermudahkan kerja-kerja lain sepanjang hari.

5. Tulis laporan mesyuarat atau perbincangan penting sebaik saja perkara itu selesai kerana ia masih kuat di ingatan anda. Buat salinan bahan-bahan bacaan/rujukan yang penting dan simpan di dalam fail yang sudah disenaraikan. Jangan sekali-kali menulis nota atau nombor telefon di atas kertas kecil yang mungkin hilang dari meja anda. Jika anda terpaksa menggunakan buku nota, pindahkan maklumat itu ke dalam fail yang berkenaan secepat mungkin.

6. Siapkan tugas yang sedang anda lakukan sebelum memulakan yang baru. Orang cenderung melakukan banyak kerja dalam satu masa, menyebabkan mereka tidak berupaya menyelesaikan semuanya dengan baik kerana keletihan dan kurang penumpuan kerja. Akhirnya kerja tidak ikut KPI yang telah ditetapkan, mungkin mendorong kegagalan dan putus asa. Jangan suka menangguh kerja. Ikut jadual tugas dengan teratur.

7. Usah buang masa terlalu lama di telefon, di facebook, di tiktok dan apa sahaja MEDSOS. Hanya, jadikan hubungan dan komunikasi dengan orang tersayang sebagai rutin pagi. Komunikasi dengan orang tersayang adalah penting. Cari masa untuk bersarapan pagi dengan keluarga atau bersenam/beraktiviti bersama. Curi masa untuk brisk walk. Keluarkan peluh, fikiran anda akan lebih tenang dan badan rasa bertenaga.

8. Apabila hendak membuat perancangan mesyuarat, projek atau program mulakan dengan bismillah. Pastikan anda sudah bersedia awal, apakah perkara-perkara yang perlu untuk di bincangkan, ada gambaran cadangan-cadangan, siapa yang terlibat dan sebagainya. Masa kejadian, semua dapat fokus tanpa ada cakap-cakap remeh temeh. Cukup masa, boleh bersurai.

9. Fikir sebelum bertindak. Gunakan beberapa minit setiap hari untuk menilai dan menganalisis apa yang anda telah lakukan pada siang tadi. Tanya soalan-soalan:

– Bolehkah saya menyelesaikan projek X dengan cara lain?

– Bagaimana cara saya memperbaiki kelancaran kerja saya?

– Bagaimana cara saya menjalankan tugas dengan lebih baik?

– Bagaimana cara saya meningkatkan prestasi atau jati diri saya?

– Dan lain-lain

10. Tinggalkan orang yang banyak memberi alasan dan suka salahkan orang lain atau mempunyai sifat futur (lemah dan malas, enggan dan tidak bersemangat dalam melakukan kebaikan). Usah letihkan diri anda dengan sikap negatif ini. Orang yang bermotivasi pun boleh lemah semangat kalau selalu dengar cakap orang negatif dan tidak bersemangat. Apabila kita cuba menggembirakan semua orang, jangan sampai kita  menjadi orang yang paling tidak gembira.

Demikianlah sepuluh tips yang boleh anda amalkan. Lakukan mana yang sesuai, mana yang dapat. Buat satu demi satu, secara konsisten – ini adalah lebih baik daripada hangat-hangat tahi ayam buat semua sekali tetapi tidak dapat bertahan.

Semoga anda berjaya meningkatkan diri menjadi pemimpin dan insan yang hebat.

Wallahu’lam.