Home Minda Presiden

Mempergunakan harta dan kuasa

100
SHARE

Minda Presiden PAS
[Bil: 96 / 2023]
MEMPERGUNAKAN HARTA DAN KUASA


Al-Quran merupakan petunjuk kepada seluruh manusia sepanjang zaman. Al-Quran membawa cerita yang pasti berulang peristiwanya supaya menjadi iktibar.

Allah SWT berfirman menceritakan pengaduan Nabi Musa AS yang menghadapi kezaliman Firaun. Firaun menggunakan kuasa dan harta dengan menjadikannya sebagai rukun kerajaan yang berkuasa mutlak, menggunakan jenteranya dengan pangkat dan bayaran harta, serta mempengaruhi rakyat dengan tekanan, ugutan, dan rasuah.

Firman Allah SWT:

﴿وَقَالَ مُوسَىٰ رَبَّنَآ إِنَّكَ ءَاتَيۡتَ فِرۡعَوۡنَ وَمَلَأَهُۥ زِينَةٗ وَأَمۡوَٰلٗا فِي ٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَا رَبَّنَا لِيُضِلُّواْ عَن سَبِيلِكَۖ رَبَّنَا ٱطۡمِسۡ عَلَىٰٓ أَمۡوَٰلِهِمۡ وَٱشۡدُدۡ عَلَىٰ قُلُوبِهِمۡ فَلَا يُؤۡمِنُواْ حَتَّىٰ يَرَوُاْ ٱلۡعَذَابَ ٱلۡأَلِيمَ ٨٨ قَالَ قَدۡ أُجِيبَت دَّعۡوَتُكُمَا فَٱسۡتَقِيمَا وَلَا تَتَّبِعَآنِّ سَبِيلَ ٱلَّذِينَ لَا يَعۡلَمُونَ ٨٩﴾

Musa berkata, ‘Ya Tuhan kami, sesungguhnya, Engkau telah memberi Firaun dan pemuka-pemuka kaumnya perhiasan dan harta kekayaan dalam kehidupan dunia. Ya Tuhan kami – akibatnya mereka menyesatkan (manusia) dari jalan Engkau. Ya Tuhan kami, binasakanlah harta benda mereka dan kunci matilah hati mereka, maka mereka tidak beriman hingga mereka melihat azab yang pedih.’ (88) Allah berfirman, ‘Sesungguhnya, telah diperkenankan permohonan kamu berdua. Oleh sebab itu, beristiqamahlah (tetaplah kamu berdua di jalan yang lurus) dan janganlah sekali-kali kamu mengikuti jalan orang-orang yang tidak mengetahui.’ (89)” [Surah Yunus: 88–89]

Nabi Musa AS berdoa dan Nabi Harun AS pula mengaminkan doanya yang merupakan pengaduan kepada Allah.

Firaun menggunakan harta kekayaan dengan bantuan hartawan Qarun dan lain-lain. Qarun pada masa itu merupakan seorang hartawan paling kaya yang mengumpulkan harta haram melalui riba, penipuan, dan kemudahan yang diberikan melalui rasuah dan lain-lain saluran tanpa mengira pengharamannya.

Qarun dan orang-orang sepertinya mendapat kemudahan mengumpulkan harta dengan sebanyak-banyaknya dan bersekongkol bersama mereka yang berkuasa melakukan kezaliman. Firman Allah SWT:

﴿۞إِنَّ قَٰرُونَ كَانَ مِن قَوۡمِ مُوسَىٰ فَبَغَىٰ عَلَيۡهِمۡۖ وَءَاتَيۡنَٰهُ مِنَ ٱلۡكُنُوزِ مَآ إِنَّ مَفَاتِحَهُۥ لَتَنُوٓأُ بِٱلۡعُصۡبَةِ أُوْلِي ٱلۡقُوَّةِ إِذۡ قَالَ لَهُۥ قَوۡمُهُۥ لَا تَفۡرَحۡۖ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُحِبُّ ٱلۡفَرِحِينَ ٧٦﴾

“Sesungguhnya, Qarun termasuk kaum Musa, maka ia berlaku zalim terhadap mereka. Dan Kami telah menganugerahinya perbendaharaan harta yang kunci-kuncinya sungguh berat dipikul oleh sejumlah orang yang kuat-kuat. (Ingatlah) ketika kaumnya berkata kepadanya, ‘Janganlah kamu terlalu bangga. Sesungguhnya, Allah tidak menyukai orang-orang yang terlalu membanggakan diri.’” [Surah al-Qasas: 76]

Pengaduan Nabi Musa dan Harun AS yang memimpin kaum mereka yang beriman bukan sekadar bagi menghadapi kekuasaan yang zalim, bahkan jua bagi mendepani tekanan harta yang haram. Hal ini demikian kerana, ujian harta lebih menggoda daripada tekanan kezaliman. Maka, mereka berdua berdoa supaya orang yang zalim itu dibinasakan harta dan kekuasaan mereka.

Doa Nabi Musa dan Harun AS diperkenankan Allah, lalu Allah memerintahkan supaya mereka terus beristiqamah dengan aqidah perjuangan dan jangan terpengaruh dengan kalangan orang jahil yang tidak sabar dan tidak istiqamah. Hal ini demikian kerana, golongan yang jahil merasakan Firaun yang berkuasa dan Qarun yang kaya itu tidak mungkin dapat dikalahkan.

Terdapat mereka yang terpengaruh memperoleh peluang daripada pihak yang berkuasa dan berharta. Hal ini disebabkan mereka merasakan kemenangan Islam adalah mustahil untuk berjaya, lalu mereka mengambil peluang duniawi dengan kadar yang segera.

Allah menjanjikan kemenangan-Nya dengan dua syarat: (1) Beristiqamah bersama aqidah perjuangan dan (2) jangan terpengaruh dengan kalangan yang jahil terhadap kekuasaan Allah serta mahu akan kemenangan percuma secara cepat dan dapat dilihat. Kalau kemenangan itu tidak dapat dilihat, maka mereka akan menganggapnya adalah suatu perkara yang mustahil.

Ujian yang sama ini turut dihadapi oleh Rasulullah SAW bersama generasi awal, khususnya semasa Marhalah Makkiyyah ketika umat Islam masih belum berkuasa. Bahkan, ujian ini juga dilalui setelah umat Islam berkuasa dan dikepung oleh bala tentera Ahzab serta kuasa besar dunia, di samping kumpulan munafiq yang bergerak dalam masyarakat Islam semasa Marhalah Madaniyyah.

Al-Quran membawa cerita pada zaman silam walaupun telah berlaku sejak ribuan tahun dahulu, kisah-kisah itu tetap menjadi Sunnah Allah yang berkekalan dan terus berlangsung.

Allah SWT mengulangi janji-Nya kepada umat Islam dengan firman-Nya:

﴿… وَلَوۡلَا دَفۡعُ ٱللَّهِ ٱلنَّاسَ بَعۡضَهُم بِبَعۡضٖ لَّهُدِّمَتۡ صَوَٰمِعُ وَبِيَعٞ وَصَلَوَٰتٞ وَمَسَٰجِدُ يُذۡكَرُ فِيهَا ٱسۡمُ ٱللَّهِ كَثِيرٗاۗ وَلَيَنصُرَنَّ ٱللَّهُ مَن يَنصُرُهُۥٓۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَقَوِيٌّ عَزِيزٌ ٤٠ ٱلَّذِينَ إِن مَّكَّنَّـٰهُمۡ فِي ٱلۡأَرۡضِ أَقَامُواْ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتَوُاْ ٱلزَّكَوٰةَ وَأَمَرُواْ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَنَهَوۡاْ عَنِ ٱلۡمُنكَرِۗ وَلِلَّهِ عَٰقِبَةُ ٱلۡأُمُورِ ٤١﴾

“…Dan sekiranya Allah tiada menolak (kezaliman) sebahagian manusia dengan sebahagian yang lain, tentulah telah dirobohkan biara-biara Nasrani, gereja-gereja, rumah-rumah ibadat orang bukan Islam, dan masjid-masjid yang di dalamnya banyak disebut nama Allah. Sesungguhnya, Allah pasti menolong orang yang menolong (agama)-Nya. Sesungguhnya, Allah benar-benar Maha Kuat lagi Maha Perkasa. (40) (Iaitu) orang-orang yang jika Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi (menang memerintah negara), nescaya mereka mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, menyuruh berbuat ma‘ruf, dan mencegah perbuatan yang mungkar. Dan kepada Allahlah kembali segala urusan. (41)” [Surah al-Hajj: 40–41]

Ayat ini menyatakan perancangan atau strategi (road map), yakni diwajibkan berjuang sehingga Islam berkuasa memimpin masyarakat majmuk yang memberikan hak dan keadilan terhadap semua. Berjuang menegakkan negara hidayah (negara yang berasaskan petunjuk Allah) bukannya negara jibayah (negara yang menjadikan cukai dan kekayaan harta sebagai rukun negara).

Harta pasti datang dengan keberkatan bertaqwa kepada Allah dan berlaku adil mengikut petunjuk-Nya. Firman Allah SWT:

﴿وَلَوۡ أَنَّ أَهۡلَ ٱلۡقُرَىٰٓ ءَامَنُواْ وَٱتَّقَوۡاْ لَفَتَحۡنَا عَلَيۡهِم بَرَكَٰتٖ مِّنَ ٱلسَّمَآءِ وَٱلۡأَرۡضِ وَلَٰكِن كَذَّبُواْ فَأَخَذۡنَٰهُم بِمَا كَانُواْ يَكۡسِبُونَ ٩٦﴾

“Sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertaqwa, pastilah Kami akan melimpahi mereka berkat dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat Kami) itu. Maka, Kami seksa mereka disebabkan perbuatan mereka.” [Surah al-A‘raf: 96]

Malangnya, perkataan ‘berkat’ tidak diyakini, lalu mereka mencari jalan yang mudah dicapai bagi mengejar habuan dunia yang segera dan cepat, sehingga ada yang menjadi musuh Islam atau alat kepada musuh Islam.

Allah memberikan amaran kepada mereka yang lemah dan bersedia menjadi alat sehingga mati bersama musuh Islam, tetapi mengaku bersama Islam. Firman Allah SWT:

﴿إِنَّ ٱلَّذِينَ تَوَفَّىٰهُمُ ٱلۡمَلَـٰٓئِكَةُ ظَالِمِيٓ أَنفُسِهِمۡ قَالُواْ فِيمَ كُنتُمۡۖ قَالُواْ كُنَّا مُسۡتَضۡعَفِينَ فِي ٱلۡأَرۡضِۚ قَالُوٓاْ أَلَمۡ تَكُنۡ أَرۡضُ ٱللَّهِ وَٰسِعَةٗ فَتُهَاجِرُواْ فِيهَاۚ فَأُوْلَـٰٓئِكَ مَأۡوَىٰهُمۡ جَهَنَّمُۖ وَسَآءَتۡ مَصِيرًا ٩٧﴾

“Sesungguhnya, orang-orang yang diwafatkan malaikat dalam keadaan menzalimi diri sendiri, (kepada mereka) malaikat bertanya, ‘Dalam keadaan bagaimana kamu ini?’ Mereka menjawab, ‘Kami ialah orang-orang yang tertindas di negeri (Makkah).’ Para malaikat berkata, ‘Bukankah bumi Allah itu luas, sehingga kamu dapat berhijrah di bumi itu?’ Orang-orang itu tempatnya Neraka Jahanam, dan Jahanam itu seburuk-buruk tempat kembali.” [Surah al-Nisa’: 97]

Ayat ini memaksudkan mereka yang mengaku percaya kepada Rasulullah SAW dengan lidah mereka, tetapi tidak bersedia untuk berhijrah bersama Baginda ke Madinah. Namun, apabila mereka dikerah untuk menentang Islam, mereka keluar bersama pula. Tiba-tiba, ada yang terbunuh atau mati dalam keadaan bersama dengan musuh. Maka, berlakulah dialog antara mereka dengan malaikat yang mencabut nyawa mereka.

Al-Quran ialah petunjuk yang kekal. Ceritanya tidak habis menjadi cerita yang berlalu, malah ceritanya akan tetap berulang dan bertukar-tukar tangan yang melakukannya.

Demikianlah adanya pihak yang berkuasa seperti Firaun dan pihak yang berharta seperti Qarun saling bekerjasama untuk menguasai dan mempengaruhi rakyat dengan kuasa dan harta tersebut, sama ada pada masa Rasulullah SAW mahupun selepasnya.

Walaupun namanya berbeza, pendekatannya adalah sama sahaja dalam berperanan menentang Islam atau boleh memperalatkan sesiapa sahaja bagi menentang Islam melalui kuasa dan harta.

Harta juga dijadikan senjata bagi menentang Rasulullah SAW. Firman Allah SWT:

﴿هُمُ ٱلَّذِينَ يَقُولُونَ لَا تُنفِقُواْ عَلَىٰ مَنۡ عِندَ رَسُولِ ٱللَّهِ حَتَّىٰ يَنفَضُّواْۗ وَلِلَّهِ خَزَآئِنُ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِ وَلَٰكِنَّ ٱلۡمُنَٰفِقِينَ لَا يَفۡقَهُونَ ٧﴾

“Mereka orang-orang yang mengatakan (kepada orang-orang Ansar), ‘Janganlah kamu memberikan perbelanjaan kepada orang-orang (Muhajirin) yang ada di sisi Rasulullah supaya mereka bubar (meninggalkan Rasulullah).’ Padahal kepunyaan Allahlah perbendaharaan langit dan bumi, tetapi orang-orang munafiq itu tidak memahami.” [Surah al-Munafiqun: 7]

Kini, ternyata di Malaysia yang menjadi medan gerakan Islam pasti menghadapi cabaran yang sama. Pihak yang berkuasa mendapat bantuan kekayaan para Qarun pada zaman kini walaupun gerakan Islam dituduh mendapat bantuan tauke judi dan penyumbang rasuah. Suatu tuduhan dengan hujah yang bodoh, apabila pihak yang mahu mengharamkan dan menghapuskan judi serta rasuah dibantu supaya kuat dan menang.

Semua orang boleh berfikir siapa yang menegakkan negara dengan harta yang melimpah-ruah yang datang dari luar dan dalam, perkara ini tidak boleh dinafikan sekali-kali. Mereka membentuk kerajaan melalui kerusi minoriti dengan cara membeli parti dan wakil rakyat dengan bantuan Qarun-Qarun yang mengumpulkan kekayaan melalui pengaruh kekuasaan mereka.

Ternyata DAP yang jelas menentang Islam pada dasarnya, medianya, dan pergerakan politiknya bersama dengan para tauke yang berharta, kini tidak perlu lagi bekerja sendiri.

Hal ini demikian kerana, mereka sudah dapat menggunakan khadam-khadam mereka, termasuk daripada yang berwajah Islam untuk bercakap, menulis, menjadi calon, dan sebagainya, bagi menembusi kekuatan Islam yang dinamakan ‘gelombang hijau’ dan ditasawurkan (digambarkan) dengan suatu ketakutan jika Islam berkuasa memerintah negara.

Perkara itu menjadi sebahagian daripada agenda Islamofobia yang dicipta menjadi senjata baharu bagi menentang Islam.

Islamofobia itu terkoyak topengnya dengan tindakan ganas Israel terhadap Gaza, dengan bantuan negara Barat yang diketuai oleh Amerika Syarikat yang dikuasai oleh Zionis. Keadaan ini menjadikan penyokongnya di Malaysia berada dalam keadaan gelabah dan serba salah.

Mereka berdemonstrasi kononnya bersimpati dengan Palestin, tetapi dilaksanakan tanpa takbir, takut akan kanak-kanak yang membawa replika senjata, lalu demonstrasi dibuat semula dengan takbir pula.

Padahal mereka menyokong pendekatan pembentukan dua negara (two-state solution) dan normalisasi yang dirancang oleh Zionis dengan naungan Amerika Syarikat yang menjadi pengelola. Perkara ini laksana melantik pencuri dan perompak menjadi penjaga untuk menipu, bagi memberikan masa kepada negara Israel meneruskan kemasukan pendatang Yahudi Zionis yang dilatih menggunakan senjata serta merampas rumah dan penempatan asal rakyat Palestin.

Hal ini setelah mereka mengisytiharkan Bait al-Maqdis menjadi ibu negara besar Israel serta merancang untuk merobohkan Masjid al-Aqsa. Oleh sebab itu, Hamas di Gaza bertindak pantas dengan melancarkan serangan Taufan al-Aqsa terlebih dahulu.

Malaysia juga dipengaruhi oleh perkembangan politik antarabangsa yang menghalang kebangkitan semula Islam. Beberapa peristiwa yang menyekat kemenangan kumpulan Islam telah berlaku, sejak pengharaman Partai Majelis Syuro Muslimin Indonesia (Masyumi) yang memerintah Indonesia sehinggalah menjatuhkan semua kemenangan parti Islam di negara lain, sama ada secara demokrasi menipu, politik merasuah rakyat, ataupun rampasan kuasa tentera.

Terkini, serangan dilancarkan ke atas Gaza yang dimenangi oleh Hamas secara pilihan raya, setelah mereka gagal membeli dengan kekayaan harta bagi menubuhkan negara Palestin di luar tanah airnya, termasuk menyerahkan Bait al-Maqdis kepada Zionis.

Di Malaysia kini, kita sedang menghadapi usaha membeli wakil rakyat oleh para Qarun dengan bayaran yang mahal setelah ditekan dengan menafikan peruntukan kepada wakil-wakil rakyat pembangkang, khususnya daripada Perikatan Nasional (PN). Bukan sahaja menafikan hak hasil negeri kepada negeri yang diperintah oleh PAS secara khusus, malah termasuk yang wajib mengikut Perlembagaan Persekutuan dan perjanjian yang wajib ditunaikan, menggunakan pendekatan yang sama mengikut cerita al-Quran.

Benarlah firman Allah SWT:

﴿۞لَتُبۡلَوُنَّ فِيٓ أَمۡوَٰلِكُمۡ وَأَنفُسِكُمۡ وَلَتَسۡمَعُنَّ مِنَ ٱلَّذِينَ أُوتُواْ ٱلۡكِتَٰبَ مِن قَبۡلِكُمۡ وَمِنَ ٱلَّذِينَ أَشۡرَكُوٓاْ أَذٗى كَثِيرٗاۚ وَإِن تَصۡبِرُواْ وَتَتَّقُواْ فَإِنَّ ذَٰلِكَ مِنۡ عَزۡمِ ٱلۡأُمُورِ ١٨٦﴾

“Kamu sungguh-sungguh akan diuji terhadap harta kamu dan diri kamu. Dan (juga) kamu sungguh-sungguh akan mendengar daripada orang-orang yang diberikan Kitab sebelum kamu dan daripada orang-orang yang mempersekutukan Allah, gangguan yang banyak yang menyakitkan hati. Jika kamu bersabar dan bertaqwa, maka sesungguhnya, yang demikian itu termasuk urusan yang patut diutamakan.” [Surah Ali ‘Imran: 186]

ABDUL HADI AWANG

Presiden PAS
Bertarikh: 1 Jumada al-Ula 1445 / 15 November 2023