Bulan Ramadan sudah hampir ke penghujungnya yang mana di situ Allah SWT telah menjanjikan satu malam yang penuh keistimewaan. Dalam kerancakan itu satu lagi kewajipan yang wajib ditunaikan oleh umat Islam iaitu zakat fitrah.
Dalam kesibukan bekerja di samping melakukan amal ibadat, janganlah kita lupa untuk menunaikan kewajipan ini sekalipun masa yang lebih afdal melakukannya sebelum solat Aidilfitri. Kita digalakkan melakukannya lebih awal.
Kalau bercakap waktu yang lebih afdal itu, pada masa yang sama, kita harus memahami dalam kesibukan agak sukar kerana amil mungkin tidak berkesempatan untuk menguruskan penerimaan zakat fitrah pada waktu itu.
Yang paling baik, adalah ketika kita teringat maka lakukanlah dengan segera mungkin. Memang ada kes orang yang terlupa bayar zakat fitrah kerana kesibukan, jadi ini adalah satu kesalahan yang besar.
Setiap umat Islam harus ingat zakat fitrah adalah pelengkap kepada ibadat puasa yang dilakukan sepanjang Ramadan.
Adalah lebih afdal seseorang itu membayar zakat fitrah di tempat tinggalnya supaya mereka memahami dan mengambil berat masyarakat sekelilingnya.
Daripada Ibnu Abas, Rasulullah s.a.w. bersabda, “Difardukan zakat fitrah untuk membersihkan jiwa orang yang berpuasa daripada perkara yang sia-sia dan bersifat dusta, ia juga sebagai makanan dan kelazatan kepada fakir miskin. Bagi sesiapa yang menunaikannya sebelum solat Aidilfitri maka zakatnya diterima dan barangsiapa yang menunaikannya selepas daripada itu, ia hanyalah sedekah.”
Riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah.
Ustazah Hjh.Sharifah Hanim
Petra Jaya, Kuching.
Rabu – 21 Jun 2017
26 Ramadan 1438 H.