Oleh: Akif Danisya
TAMBUN: Anak muda hari ini hendaklah mempunyai tekad yang tinggi dalam urusan mempertahankan tanah air dan Islam, demikian seru Yang DiPertua PAS Tambun, Af Ustaz Salleh Said.
Beliau berkata demikian ketika hadir menyampaikan taujihat di program Kejohanan Futsal Ukhuwah anjuran Dewan Pemuda PAS Tambun dan DACS Tambun yang berlangsung di Extreme Park baru-baru ini.
Dalam ucapannya, Ustaz Salleh mengajak umat Islam khususnya anak muda untuk menyelami semangat para pejuang di Palestin khususnya tentera Briged Al-Qassam.
“Mereka yang mempertahankan Islam dan Masjidil Aqsa di Palestin antaranya (adalah) terdiri daripada golongan pemuda. Mereka hebat, lahir daripada kesedaran dan kefahaman hasil tarbiyah golongan ulamak.
“Tentera Israel ada pertahanan yang kuat. Pertahanan langit (contohnya), mereka ada senjata hebat (dan) kereta kebal terbaik dunia. Namun Briged Al-Qassam ini tidak pernah gentar,” ulasnya.
Ustaz Salleh dalam ucapannya turut mengingatkan agar anak muda pada hari ini terus berwaspada dengan musuh Islam atau mana-mana kumpulan yang cuba merosakkan jiwa anak muda.
Oleh itu, cadangnya agar anak muda terus berada dalam kelompok masyarakat yang berilmu antaranya dengan aktiviti usrah seperti yang dilaksanakan dalam Dewan Pemuda PAS.
Dalam pada itu, Ustaz Salleh merakamkan jutaan tahniah kepada Dewan Pemuda PAS Tambun dan DACS Tambun atas penganjuran program yang bermanfaat ini.
Katanya melalui program ini, ukhuwah sesama pemuda di Tambun dapat diperkukuh kerana masing-masing adalah saudara seagama melalui sebuah akidah dan keyakinan yang sama.
“Islam tidak hanya fokus pada ibadah, tapi dalam Islam juga ada perkara-perkara yang kita lakukan pada hari ini antaranya bersukan.
“Bahkan ia juga digalakkan sebagaimana Hadis Nabi SAW, yang bermaksud seseorang yang sihat dan kuat lebih dikasihi oleh Allah SWT berbanding mereka yang lemah dan sakit,” ulasnya.
Turut hadir beberapa pimpinan PAS Tambun antaranya Timbalan Yang DiPertua; Mohd Aidil Abdul Aziz; Ketua Pemuda, Ustaz Hafez Sabri; Timbalan Ketua Dewan Ulamak; Ustaz Khiril Anuar Zulkarnain dan Ketua Lajnah Kebajikan; Ishak Ahmad Sani.