OLEH: KHAULAH AL AZWAR
BENTONG, 13 Okt – Tindakan kejam rejim Zionis Israel terhadap rakyat Palestin meninggalkan kesan mendalam buat umat Islam seluruh dunia, ibarat cubit peha kanan, peha kiri terasa.
Yang Dipertua PAS (YDP) Kawasan Bentong, Khairuddin Abdullah berkata, tindakan tidak berperi kemanusiaan regim Zionis terhadap Palestin tidak boleh dibiarkan berterusan kerana segores luka yang dialami rakyat Palestin, kesakitannya turut dirasai umat Islam seluruh dunia.
“Palestin dan negara Islam lain di seluruh dunia adalah bersaudara ibarat cubit peha kiri, peha kanan turut terasa.
“Masyarakat dunia tidak boleh berdiam diri. Pembunuhan dan pembersihan etnik yang dilakukan oleh zionis Israel adalah satu jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan.
“Kami menuntut agar mereka yang bertanggungjawab diseret ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa supaya rakyat Palestin mendapat hak keadilan,” tegas Khairuddin.
Beliau berucap pada Himpunan Aman Solidariti Bersama Rakyat Palestin peringkat Zon Pahang Barat bertempat di perkarangan Masjid Sultan Abu Bakar, Raub, usai solat jumaat petang tadi.
Himpunan aman bertema putih tersebut diadakan serentak seluruh negara dimulai dengan solat hajat, pidato pimpinan dan wakil-wakil NGO daripada Raub, Lipis serta Cameron Highland dan dihadiri lebih 200 orang peserta.
Pada subuh 7 Oktober lalu, dunia dikejutkan dengan tindakan pasukan pejuang Palestine, Hamas melakukan serangan besar-besaran dari segenap sudut terhadap rejim zionis Israel.
Serangan ini dilakukan bagi menamatkan penindasan rejim itu terhadap tanah dan rakyat Palestin yang diceroboh dan dirampas secara haram oleh mereka sejak 1947.