Home Berita PAS Pahang

Lima pasang pengantin nikah serentak dalam walimah perdana

35
SHARE

OLEH : ZAITON ABDUL HALIM

PEKAN, 13 Okt ♦ PAS Kawasan Pekan telah merealisasikan hasrat lima pasangan bergelar raja sehari dalam program Walimah Perdana 3.0 yang berlangsung di Dewan Sekolah Rendah Islam Tahfiz Integrasi Sempurna (SRITIS) dekat sini Ahad lalu.

Lima pasangan pengantin yang diraikan ialah Nurul Husna Zulkefli dan Muhammad Amierul Asyraf Aminor Rashid, Nurwani Hashim dan Nazirul Azre Abu Samah, Muhamad Faiz Izam dan Nurien Nadhira Yusli, Khairul Nurfitri Abdul Rahman dan Nurdarlina Hafiza Jamil serta Wan Abdul Rahman W. Yuslan dan Nurul Salwana Anang.

Majlis dihadiri Ahli Dewan Negeri Pulau Manis, Mohammad Rafiq Khan Ahmad Khan, Yang Dipertua dan Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Pekan, Ustaz Abu Kassim Manaf dan Ustaz Mohd Fadhil Noor Abdul Karim.

PAS Kawasan Pekan meneruskan semula kesinambungan program yang bersifat kebajikan dan kemasyarakatan ini setelah beberapa tahun tertangguh disebabkan oleh pandemik Covid-19.

Menurut Ustaz Fadhil Noor, program walimah perdana ini merupakan salah satu cara untuk menzahirkan kepada masyarakat bahawa PAS juga adalah sebuah parti kebajikan dan dakwah.

“PAS berkidmat dan menyumbang kepada masyarakat dengan membantu pasangan yang nak buat majlis tapi kurang kemampuan,” ujarnya.

Beliau yang juga Pengarah program besar ini telah menasihati pasangan pengantin dan juga kepada yang bakal berkahwin agar mempelajari ilmu selain berkursus berkaitan alam perkahwinan.

“Suami bertanggungjawab menafkahkan isteri, isteri kena taat dan jagalah etika-etika dalam berpakaian dan perbuatan sebab suami syurga kepada isteri,” jelas beliau.

Bagi menjadikan program ini lebih bermakna kepada kelima-lima pasangan mempelai, mereka telah dipersembahkan dengan persembahan silat daripada pasukan Perguruan Silat Gerak Langkacitra selain mereka turut menerima cenderahati daripada PAS Kawasan Pekan.

Majlis ini turut diserikan dengan kehadiran Pesuruhjaya dan Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang, Ustaz Rosli Abdul Jabar dan Andansura Rabu serta Ahli Dewan Negeri Panching, Mohd Tarmizi Yahaya.