Home Berita PAS Pahang

Perarakan sempena merdeka eratkan ukhuwah ahli PAS

82
SHARE

Oleh : HABSAH ALI

INDERA MAHKOTA, 2 Sept ♦ “Segala apa yang kita usaha dan lakukan pada hari ini menjadi satu tanda bahawa kita sama-sama meraikan kemerdekaan di samping menunjukkan kekuatan kita.”

Begitulah ucapan dari Ketua Dewan Muslimat PAS kawasan Indera Mahkota Salwani Saleh semasa program Sambutan Hari Kemerdekaan di Balok Pantai di sini kelmarin.

Program yang julung kali diadakan itu bertujuan menyemarakkan semangat patriotik di kalangan ahli PAS, di samping mengeratkan lagi ukhuwah sesama ahli.

“Kita akan jadikan program ini sebagai acara tahunan, dengan harapan supaya ahli-ahli PAS semua keluar meraikannya,” tambah beliau lagi.

Program ini adalah anjuran bersama PAS Kawasan Indera Mahkota (PASKIM) dengan Dewan Muslimat PAS kawasan Indera Mahkota (DMPIM).

Sementara itu Pengarah Program yang juga Ketua Lajnah Kesenian, Kebudayaan dan Rekreasi PASKIM Salbiah Seeni Abdul berkata seramai 300 orang peserta lelaki dan wanita, meliputi dewasa, warga emas dan kanak-kanak.

Perarakan sejauh lebih satu kilometer bermula dari PASTI Al-Hidayah Balok Pantai melalui jalan-jalan kampung di sekitarnya mengambil masa selama satu jam.

Turut memeriahkan perarakan adalah Konvoi ARC (Alternative Riding Club), lori berhias dengan membawa warga emas dan kanak-kanak serta motosikal berhias mendahului perarakan menarik perhatian umum.

Program juga diisi dengan solat hajat, zikir munajat oleh team As-Sabiqat Indera Mahkota, deklamasi sajak oleh Puteri Nur Farhana Mohd Nur Firdaus dan persembahan silat dari Persatuan Seni Silat Gerak Pusaka Alam Pahang.