Olen NAZIRUL MUNIR
TAMPIN, 5 Ogos : Jabatan Amal Malaysia atau sinonim dengan panggilan ‘Semut Merah’ penuhi Negeri Sembilan dengan program kebajikan.
Amal Day For Charity (AD4C) dianjurkan serentak ke seluruh 5 DUN di Negeri Sembilan hari ini.
Menurut Pengarah Jabatan Amal Malaysia Negeri Sembilan, Mohd Shahril Zainuddin AD4C diadakan bagi menunjukkan Jabatan Amal prihatin dengan kebajikan.
“Kerja-kerja AD4C ini melibatkan aktiviti pembersihan tanah perkuburan serta kawasan masjid.
“Jutaan terima kasih diucapkan kepada Jabatan Amal Malaysia Negeri Johor di atas kerjasama menganjurkan program AD4C”, ujar beliau.
Sementara itu, Ketua Pemuda PAS Negeri Johor, Ahmad Nawfal Dato’ Mahfodz menyatakan, AD4C berjaya memupuk kerjasama dan kerja-kerja kebajikan khususnya anak muda.
“Program hari ini berjaya melibatkan lebih 200 anak muda dengan kerja kebajikan juga bantuan khidmat warga emas dan asnaf.
“Ini adalah asas pentarbiyahan yang diajarkan dalam jemaah PAS agar ahmi dan khususnya anak muda menjadi ringan tulang”, ujarnya.
Tambah Nawfal lagi, program sebegini dapat merendahkan diri untuk saling bantu membantu sesama masyarakat.
“Hasilnya hari ini kita melihat ramai kepimpinan PAS serta calon-calon PAS tidak kekok malah berlumba-kumba melakukan kebajikan”, katanya.