Kinabatangan: PAS Kawasan Kinabatangan telah menganjurkan program Ibadah Korban bersama masyarakat tempatan dan pedalaman yang memerlukan di Dun Lamag pada hari Jumaat dan Sabtu lepas.
Atas kesedaran orang ramai, sebanyak 6 ekor lembu adalah hasil daripada penyertaan mereka dalam bahagian ibadah korban tahun ini. Manakala 2 ekor kerbau disumbangkan oleh NGO luar untuk masyarakat pedalaman di Ladang Morning Glory.
Program yang berlangsung selama 2 hari berturut-turut itu mendapat perhatian Ahli Jawatankuasa masjid tempatan untuk menyertai bersama dengan menyediakan kawasan dan peralatan bagi memastikan program pada hari pertama itu berjalan dengan lancar.
Daging korban yang telah selesai disembelih dan dilapah kemudiannya akan diagihkan kepada golongan-golongan asnaf yang berada di kawasan Kinabatangan ini tanpa mengira politik kepartian.
Tidak melepaskan peluang, mereka yang menyertai dengan niat akikah juga diraikan. Daging bahagian mereka akan dimasak oleh ahli jawatankuasa program sendiri dan dihidangkan kepada semua masyarakat yang hadir. Turut bersama dalam program tahunan ini adalah Sairin Bin Muyang, Yang Dipertua PAS Kawasan Kinabatangan bagi memeriahkan majlis dan beramah mesra.
Pengurus program, Innah Tuton mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua yang terlibat baik secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan program korban bagi tahun ini.
Beliau juga selaku Setiausaha PAS Kawasan Kinabatangan berharap semoga kerjasama yang padu ini dapat diteruskan dan dikekalkan demi kebaikkan masyarakat Dun Lamag khususnya dan parlimen Kinabatangan keseluruhannya. {jathumbnail off}