Home Kenyataan Media PAS Kedah

KEDAH BUKAN MUSUH PUTRAJAYA

227
SHARE

PMX dilihat sangat terganggu dengan saingan politik yang diberikan oleh Ketua Pengarah Jabatan Pilihanraya Perikatan Nasional, YAB Dato’ Seri Muhammad Sanusi bin Md Noor.

Kegagalan PMX untuk memberikan fokus dalam melaksanakan fungsi Perdana Menteri Malaysia serta Menteri Kewangan Malaysia secara profesional adalah bukti yang nyata PMX hilang pertimbangan untuk membezakan antara seteru politik kepartian dan tanggungjawab sebagai pentadbir negara.

Berkali-kali YAB Dato’ Seri Haji Muhammad Sanusi bin Md Noor menegaskan bahawa perbezaan pendirian politik serta isu saman antara beliau dengan PMX adalah hal peribadi dan bersifat hubungan antara parti politik dengan parti politik yang lain.

Perkara ini tidak sepatutnya menjejaskan hubungan antara kerajaan negeri dan persekutuan sehingga memangsakan rakyat dan masa depan negeri Kedah.

Permohonan YAB Dato’ Seri Menteri Besar Kedah untuk bertemu dengan PMX bagi menyelesaikan isu nilai pajakan Pulau Pinang serta projek KXP melalui 3 pucuk surat rasmi yang digambarkan sebagai biadab itu adalah bahan bukti sejarah bahawa PMX tidak adil kepada negeri dan rakyat Kedah dalam melaksanakan tugas sebagai Perdana Menteri Malaysia.

Tindakan PMX yang lemah akal budi ini sangat bercanggah dengan salah satu nilai MADANI iaitu, “Hormat: Perilaku budi bahasa kepada kekayaan tradisi, merayakan kemajmukan dan meraikan perbezaan pandangan dunia”.

Sikap serta budaya politik lapuk PMX ini akan menjadikan PH serta BN berada dalam zon krisis ‘defisit kepercayaan’ khususnya dalam kalangan anak muda yang terdedah kepada akses maklumat yang pantas serta tanpa sempadan.

PMX perlu akur dan tundukkan ego bahawa Hasrat DYMM Sultan Kedah serta YAB Menteri Besar Kedah dalam isu nilai pajakan Pulau Pinang dan projek KXP ini adalah semata-mata demi kepentingan masa depan negeri dan rakyat Kedah.

Titah DYMM Sultan Kedah dalam Majlis Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah Darul Aman Ke-81,

“Amatlah rugi sekiranya projek pembangunan ini tidak dilaksanakan hanya disebabkan oleh perbezaan pandangan dan pemahaman politik antara pemimpin-pemimpin di peringkat negeri dan persekutuan.”

Menjunjung kasih Tuanku atas keprihatinan dan kebersamaan bersama pentadbiran kerajaan negeri Kedah.

Kami menggesa agar PMX segera memperbetulkan keadaan yang yang tidak teratur ini terutamanya dalam perkara yang melibatkan konsep feudalisme antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Kedah.

Sekian.

Mardhiyyah Johari

Ketua Penerangan Dewan Muslimat PAS Negeri Kedah

Bertarikh: 20 Jun 2023