Home Minda Presiden

Mengapa Islam mewajibkan mengundi?

387
SHARE

Minda Presiden PAS
[Bil: 48 / 2023]
MENGAPA ISLAM MEWAJIBKAN MENGUNDI?


Kini, kita menghadapi kejahilan dalam kalangan penganut Islam yang salah faham terhadap ajaran Islam yang sempurna. Mereka berpendapat bahawa tidak wajib mengundi, alasannya kerana tidak terdapat nas daripada al-Quran dan ia tidak diamalkan pada zaman Rasulullah SAW.

Katanya amalan demokrasi berasal daripada Barat, bukan daripada Islam. Lalu mereka tidak peduli untuk pergi mengundi tanpa mereka menyedari akibat tidak mengundi. Tiba-tiba, perbuatan mereka itu menyebabkan negara diambil alih oleh musuh Islam tanpa disedari, apabila golongan musuh itu keluar mengundi melalui pilihan raya bagi merampas kuasa negara. Sebaliknya kita pula hanya menggigit jari kerana menyesal yang tidak berguna lagi.

Apabila hilangnya kuasa politik, umat Islam terpaksa menjadi pelarian yang hina dan hidup merempat, serta menyerah kalah. Bukan berhijrah dan berjuang, tetapi menumpang di negara lain.

Keadaan ini seperti yang berlaku kepada umat Islam di Sepanyol, walaupun Islam pernah bertapak selama 800 tahun dan wujud banyaknya masjid, tempat belajar, dan ramainya ulama’, namun mereka tidak menegakkan hukum Allah SWT dan mempertahankannya. Segalanya yang berkait dengan Islam, daripada rakyat sehinggalah raja-raja disapu bersih, malah masjid-masjid sehingga tanah perkuburan dilenyapkan.

Umat Islam pula berpecah belah kerana takhta dan harta. Ada yang mengambil langkah melampau sehingga berperang sesama penganut Islam tanpa mempedulikan sebahagian besar umat yang jahil terhadap agamanya. Bahkan, ada yang hanya duduk beribadat, berzikir dan bertarekat, sehingga tidak bangkit mempertahankan Islam.

Dalam pada itu, ada juga yang meninggalkan kewajipan melaksanakan jihad, amar ma‘ruf dan nahi munkar. Malah, ada yang bersikap liberal sehingga hanyut dan tersesat jalannya. Termasuklah juga ada kalangan mereka yang membenci politik kerana hilang kepercayaan kepada orang politik yang menipu, lalu bertindak laksana membakar kelambu kerana marahkan nyamuk, sedangkan rumahnya juga terbakar.

Perkara ini berlaku dalam keadaan musuh Islam bersatu dan merancang untuk mengambil alih kuasa politik untuk memerintah negara dengan sokongan daripada kalangan liberal. Tambahan lagi, dengan kecuaian orang Islam sendiri yang bertindak menyerah kalah dengan mendiamkan diri sahaja.

Islam ialah petunjuk Allah yang sempurna sepanjang zaman. Maka, Islam wajib dijadikan petunjuk sepanjang kehidupan dunia sebelum menghadapi kematian dan menemui alam akhirat, walaupun dalam perkara yang tidak ada nas yang nyata, namun mempunyai dasar yang umum. Ia kekal menjadi petunjuk yang tidak tamat tempohnya, termasuk dalam semua urusan dunia yang akan dihisab pada Hari Akhirat. Firman Allah SWT:

﴿وَوُضِعَ ٱلۡكِتَٰبُ فَتَرَى ٱلۡمُجۡرِمِينَ مُشۡفِقِينَ مِمَّا فِيهِ وَيَقُولُونَ يَٰوَيۡلَتَنَا مَالِ هَٰذَا ٱلۡكِتَٰبِ لَا يُغَادِرُ صَغِيرَةٗ وَلَا كَبِيرَةً إِلَّآ أَحۡصَىٰهَاۚ وَوَجَدُواْ مَا عَمِلُواْ حَاضِرٗاۗ وَلَا يَظۡلِمُ رَبُّكَ أَحَدٗا٤٩﴾

“Dan dibentangkan kitab-kitab (catatan amalan), lalu kamu akan melihat orang yang bersalah (berdosa) ketakutan terhadap sesuatu yang (tertulis) di dalamnya, dan mereka berkata, ‘Aduhai, celaka kami! Kitab apakah ini yang tidak meninggalkan (catatan amalan) yang kecil dan tidak (pula) yang besar, melainkan ia mencatat semuanya,’ dan mereka mendapati apa-apa yang telah dilakukan mereka ada (tertulis di dalamnya). Dan Tuhanmu tidak menganiaya seorang jua pun.” (Surah al-Kahf: 49)

Islam ialah petunjuk Allah SWT yang sempurna dalam semua perkara. Kewajipan menegakkan Islam yang sempurna dan memenangkannya adalah sangat besar, maka jangan ditinggalkan sekali-kali. Firman Allah SWT:

﴿يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱدۡخُلُواْ فِي ٱلسِّلۡمِ كَآفَّةٗ وَلَا تَتَّبِعُواْ خُطُوَٰتِ ٱلشَّيۡطَٰنِۚ إِنَّهُۥ لَكُمۡ عَدُوّٞ مُّبِينٞ٢٠٨﴾

“Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhan, dan janganlah kamu turuti langkah-langkah syaitan! Sesungguhnya, syaitan itu musuh yang nyata bagimu.” (Surah al-Baqarah: 208)

Ayat di atas menegaskan larangan Allah SWT terhadap kalangan mereka yang tidak beramal dengan Islam yang sempurna, sehingga dikira mengikut langkah syaitan yang sesat.

Hadis Rasulullah SAW menegaskan berlakunya tajdid dan islah apabila menghadapi perubahan masa atau berlakunya perkara baharu yang tidak pernah berlaku sebelumnya. Hal ini demikian kerana, Islam sentiasa menghadapi cabaran yang berubah dan musuh yang berbeza.

Sebab yang besar berlakunya kelemahan ialah tidak bertafaqquh (faham) dalam urusan agama yang sempurna dan tidak berhikmah dalam melaksanakannya mengikut panduan al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW dalam semua perkara. Sesungguhnya, al-Quran ialah cahaya petunjuk yang berkekalan, dan al-Sunnah pula ialah kebijaksanaan yang menjadikan al-Quran itu petunjuk yang berkekalan.

Mereka tidak sedar tentang wajibnya ada para ulama’ yang menerima pusaka nabi, lalu mendalami agama dengan bertafaqquh (faham dan mampu mentafsirkan hukum dan berijtihad) dan menetapkan kaedah hukum dalam masalah semasa. Golongan ulama’ tetap tidak terpesong daripada petunjuk Allah SWT, bukan sahaja dalam perkara hukum yang telah berlalu, bahkan tetap memelihara Islam yang menjadi pusaka para anbiya’. Merekalah kalangan yang disebutkan oleh firman Allah SWT:

﴿وَمَا كَانَ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ لِيَنفِرُواْ كَآفَّةٗۚ فَلَوۡلَا نَفَرَ مِن كُلِّ فِرۡقَةٖ مِّنۡهُمۡ طَآئِفَةٞ لِّيَتَفَقَّهُواْ فِي ٱلدِّينِ وَلِيُنذِرُواْ قَوۡمَهُمۡ إِذَا رَجَعُوٓاْ إِلَيۡهِمۡ لَعَلَّهُمۡ يَحۡذَرُونَ١٢٢﴾

“Dan tidak sepatutnya bagi orang yang beriman itu keluar semuanya berjihad. Oleh itu, hendaklah sebahagian sahaja daripada mereka keluar (berperang) supaya mereka (yang tinggal) itu memperdalam ilmu pengetahuan tentang agama dengan bertafaqquh (memahami urusan agama Islam) supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila mereka itu pulang. Mudah-mudahan, mereka itu dapat menjaga diri mereka (daripada melakukan perkara-perkara yang dilarang Allah).” (Surah al-Tawbah: 122)

Masalahnya bertafaqquh (belajar agama dengan faham menghadapi masalah semasa) ialah perkara fardu kifayah yang bertujuan menjaga agama Islam dengan sempurna. Bukan belajar sembarangan ilmu fiqh yang menjelaskan perkara pada zaman dahulu sahaja, tetapi termasuk juga hukum perkara baharu yang mendatang yang belum pernah berlaku lagi pada zaman dahulu.

Sewaktu Rasulullah SAW hendak menghantar Mu‘az bin Jabal RA ke negeri Yaman, lalu Baginda bertanyakan kepadanya:

كَيْفَ ‌تَقْضِي؟

“Bagaimana cara kamu menetapkan sesuatu hukum?”

Mu‘az menjawab:

أَقْضِي بِمَا فِي كِتَابِ اللَّهِ؟

“Dengan Kitab Allah (al-Quran).”

Baginda SAW bertanya lagi:

فَإِنْ لَمْ يَكُنْ فِي كِتَابِ اللَّهِ؟

“Kalau tiada dalam Kitab Allah?”

Mu‘az  menjawab:

فَبِسُنَّةِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.

“Dengan Sunnah Rasulullah SAW.”

Kemudian, Baginda bertanya lagi:

فَإِنْ لَمْ يَكُنْ فِي سُنَّةِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ؟

“Kalau tiada dalam Sunnah Rasulullah?”

Mu‘az menjawab:

أَجْتَهِدُ رَأْيِي.

“Aku akan berijtihad dan tidak menyimpang.”

Sabda Rasulullah SAW sambil menepuk Mu‘az:

الحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي وَفَّقَ رَسُولَ رَسُولِ اللَّهِ.

“Segala puji  bagi Allah (bersyukur) kerana telah memberikan petunjuk kepada utusan Rasulullah apa yang diredainya.” (Riwayat al-Tirmizi, No. 1327)

Berijtihad itu ialah mengkaji dengan penuh kebijaksanaan daripada petunjuk Allah SWT dan Rasul-Nya dalam perkara yang tidak jelas atau tiada nas. Perkara ini hanya boleh dilakukan oleh mereka yang mendalami ilmu Islam dalam semua lapangannya yang tetap ada sepanjang zaman. Jika tidak boleh dilakukan secara bersendirian, maka dilakukan secara berjemaah (al-ijtihad al-jama‘i).

Sunnah Nabawiah dan amalan para sahabat mengambil apa-apa kebijaksanaan daripada sesiapa sahaja bagi beramal dengan Islam dan mempertahankannya, selagi ia tidak terpesong daripada dasar dan tidak terkeluar daripada perkara rukun dalam agama. Hal ini sebagaimana firman Allah SWT:

﴿يُؤۡتِي ٱلۡحِكۡمَةَ مَن يَشَآءُۚ وَمَن يُؤۡتَ ٱلۡحِكۡمَةَ فَقَدۡ أُوتِيَ خَيۡرٗا كَثِيرٗاۗ وَمَا يَذَّكَّرُ إِلَّآ أُوْلُواْ ٱلۡأَلۡبَٰبِ٢٦٩﴾

“Dia (Allah) memberikan hikmah (kefahaman yang dalam tentang al-Quran dan al-Sunnah) atau ilmu yang berguna kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Maka, sesungguhnya yang dianugerahi hikmah, dia benar-benar telah mendapat kurnia yang banyak. Dan hanya orang-orang yang berakal yang dapat mengambil pengajaran (daripada firman Allah).” (Surah al-Baqarah: 269)

Sifat bijaksana juga disebutkan sebagai fatanah yang merupakan sifat wajib bagi para rasul bersama sifat-sifat siddiq (benar), amanah, ‘ismah dan tabligh. Maka, mereka yang mentadbir urusan agama wajib mengambil contoh daripada semua sifat tersebut.

Kebijaksanaan yang dirakamkan dalam Sunnah Rasulullah SAW banyak diriwayatkan, antaranya apabila Rasulullah SAW mahu melakukan hijrah ke Madinah, Abu Bakar RA diizinkan menggunakan khidmat seorang bukan Islam Musyrik yang tidak bermusuh terhadap Islam bernama ‘Abdullah bin Uraiqit. Beliau ditugaskan menjadi pemandu untuk melalui jalan rahsia supaya dapat berhijrah ke Madinah dengan selamat. Ini adalah kebijaksanaan Abu Bakar RA yang diterima oleh Rasulullah SAW.

Apabila Rasulullah SAW mengarahkan supaya ditulis surat kepada raja-raja kuasa besar dunia iaitu kerajaan Parsi, Rom, Mesir, Habsyah, Masqat, Oman dan lain-lain, para sahabat memberitahu bahawa raja-raja tidak menerima surat yang tidak mempunyai tanda rasmi, iaitu khatam (seal). Maka, Rasulullah SAW memerintahkan supaya dibuat khatam yang ditulis Muhammad Rasulullah (محمد رسول الله).

Dalam semua kitab Sirah Nabawiah juga diceritakan bahawa Rasulullah SAW menerima pandangan Salman al-Farisi RA supaya meniru taktik tentera Parsi menggali parit menjadi kubu pertahanan. Perkara ini berlaku ketika umat Islam menghadapi bala tentera Ahzab yang menyerang Madinah dengan jumlah yang sangat besar.

Apabila wafatnya Rasulullah SAW, para sahabat berhimpun di Saqifah Bani Sa‘idah bagi bermesyuarat memilih seorang ketua negara yang dinamakan sebagai Khalifah. Hanya sebahagian kecil sahaja yang terlibat menguruskan pengebumian jenazah Rasulullah SAW yang mulia. Adapun sebahagian besar daripada mereka datang berhimpun, lalu memilih Abu Bakar RA daripada kalangan kaum Quraisy yang paling kuat dan berpengaruh daripada suku kaum bangsa Arab, berpandukan sabda Rasulullah SAW:

الْأَئِمَّةُ ‌مِنْ ‌قُرَيْشٍ.

“Para pemimpin dipilih daripada kalangan Quraisy.” (Riwayat Ahmad, No. 19777 dan Abu Dawud, No. 968)

Para ulama’ membuat kesimpulan daripada hadis ini bahawa orang Islam mestilah memilih pemimpin daripada kalangan kaum yang paling berpengaruh. Maka, Abu Bakar RA dipilih daripada tiga calon yang dicadangkan.

Contoh yang lain, apabila ramainya para huffaz al-Quran gugur syahid kerana memerangi golongan murtad, Abu Bakar RA dan para pemimpin sahabat mengarahkan agar al-Quran dikumpulkan secara bertulis dalam bentuk mushaf. Kemudiannya, tugas itu disempurnakan pada zaman Khalifah ‘Uthman RA.

Manakala pada zaman Khalifah ‘Umar bin al-Khattab RA pula, beliau mengubah sistem pembahagian ‘ato’ (imbuhan, gaji atau sara hidup) daripada sistem asal iaitu taswiyah al-‘ato’ (تسوية العطاء) yang membuat pembahagian sama rata tanpa mengira kedudukan, menilai pengorbanan dan kedudukan jawatan yang penting.

Apabila beliau didedahkan bagaimana negara-negara besar yang banyak sumber hartanya melakukan penyusunan kewangan dan sistem imbuhan, maka Khalifah ‘Umar RA mengubah sistem itu kepada konsep taqsim al-‘ato’ (تقسيم العطاء) iaitu pembahagian yang dilakukan mengikut sistem kedudukan seseorang.

Kini, jemaah haji pula diwajibkan mengadakan pasport dan visa untuk mengawal sesiapa yang datang ke Makkah dan Madinah. Kelebihan ini tidak diizinkan kepada bukan Islam dan orang-orang yang melakukan kejahatan di tanah suci. Asal usul diwajibkan mengadakan pasport dan visa juga bermula daripada Barat, tiada pada zaman Nabi Muhammad SAW dan sebelumnya.

Perkara ini termasuk dalam aspek Siasah Syar‘iyyah yang wajib ditunaikan, walaupun tidak termasuk dalam syarat dan rukunnya yang dinaskan dalam al-Quran dan Hadis Rasulullah SAW. Hal ini disebabkan para ulama’ telah menyatakan satu kaedah fiqh sebagaimana mafhumnya:

مَا لَا يَتِمُّ الوَاجِبُ إِلَّا بِهِ فَهُوَ وَاجِبٌ.

“Apa-apa yang tidak dapat menyempurnakan yang wajib melainkan dengannya, maka ia menjadi wajib.”

Menjaga nyawa hukumnya wajib, maka mencari makanan dan minuman untuk menyelamatkan nyawa diri dan keluarga juga diwajibkan. Oleh itu, wajib disediakan senjata pertahanan mengikut keadaan semasa, sebagaimana firman Allah SWT:

﴿وَأَعِدُّواْ لَهُم مَّا ٱسۡتَطَعۡتُم مِّن قُوَّةٖ…٦٠﴾

“Dan buatlah persediaan untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) dengan segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan…” (Surah al-Anfal: 60)

Seperti wajib adanya pakaian untuk menutup aurat, air untuk bersuci dan berwuduk kerana kewajipan solat, maka perbelanjaan dan bekalan menyediakan kenderaan kerana menunaikan kewajipan haji dan perkara yang wajib adalah diwajibkan juga.

Adapun soal mengundi pula berkait dengan khilafah (politik berkuasa memerintah negara) yang diwajibkan oleh Allah SWT kepada manusia sejak diciptakan Nabi Adam AS. Tugas ini wajib dipimpin oleh para rasul supaya melaksanakannya dan wajib diteruskan oleh umat Nabi Muhammad SAW.

Khilafah itu ialah mentadbir urusan dunia berpandukan kepada agama Islam yang disebutkan siasah atau politik. Amanah terbesar ialah melaksanakan hukum Allah yang adil, maka ia tidak boleh dilaksanakan melainkan ada kuasa politik memerintah negara. Rasulullah SAW bersabda bahawa antara sebab berlakunya kiamat besar yang menghancurkan dunia:

إِذَا ‌وُسِّدَ ‌الْأَمْرُ ‌إِلَى ‌غَيْرِ ‌أَهْلِهِ ‌فَانْتَظِرِ ‌السَّاعَةَ.

“Apabila diserahkan urusan umat kepada orang yang tidak layak, tunggulah berlakunya kiamat.” (Riwayat al-Bukhari, No. 59)

Mendapat kedudukan berkuasa mentadbir urusan agama adalah syarat penting bagi melaksanakan Islam dengan sempurna. Rasulullah SAW berjuang bagi mendapatkan kuasa memerintah negara yang meletakkan Islam itu berkuasa mentadbir. Hal ini sebagaimana perintah Allah SWT melalui firman-Nya:

﴿ٱلَّذِينَ إِن مَّكَّنَّٰهُمۡ فِي ٱلۡأَرۡضِ أَقَامُواْ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتَوُاْ ٱلزَّكَوٰةَ وَأَمَرُواْ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَنَهَوۡاْ عَنِ ٱلۡمُنكَرِۗ وَلِلَّهِ عَٰقِبَةُ ٱلۡأُمُورِ٤١﴾

“(Iaitu) orang-orang (Islam) yang jika Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi, nescaya mereka mendirikan solat, menunaikan zakat, menyuruh berbuat ma’ruf dan mencegah daripada perbuatan yang mungkar; dan kepada Allah kembali segala urusan.” (Surah al-Hajj: 41)

Ayat di atas menyebutkan ciri-ciri mereka yang layak diberikan kuasa pemerintahan iaitu sentiasa bersolat (sentiasa berhubung dengan Allah), berkebajikan, mempunyai kuasa perundangan dan berwawasan akhirat.

Firman Allah SWT:

﴿إِنَّآ أَنزَلۡنَآ إِلَيۡكَ ٱلۡكِتَٰبَ بِٱلۡحَقِّ لِتَحۡكُمَ بَيۡنَ ٱلنَّاسِ بِمَآ أَرَىٰكَ ٱللَّهُۚ وَلَا تَكُن لِّلۡخَآئِنِينَ خَصِيمٗا١٠٥﴾

“Sesungguhnya, Kami telah menurunkan al-Kitab (al-Quran) kepada kamu (wahai Muhammad) dengan membawa kebenaran, supaya kamu mengadili manusia dengan apa-apa yang telah Allah diwahyukan Allah kepadamu, dan janganlah kamu menjadi pembela orang-orang yang khianat.” (Surah al-Nisa’: 105)

Rasulullah SAW menolak tawaran untuk menabalkan Baginda menjadi raja atau dilantik menjadi pemimpin, apabila tidak meletakkan Islam itu berkuasa memerintah negara. Sebaliknya, Baginda memilih berhijrah apabila kalangan Ansar memberikan baiah untuk menegakkan negara bersama Baginda SAW.

Rasulullah SAW juga dilarang berwala’ kepada musuh yang menentang Islam bagi mencapai kemenangan. Firman Allah SWT:

﴿يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَا تَتَّخِذُواْ عَدُوِّي وَعَدُوَّكُمۡ أَوۡلِيَآءَ تُلۡقُونَ إِلَيۡهِم بِٱلۡمَوَدَّةِ وَقَدۡ كَفَرُواْ بِمَا جَآءَكُم مِّنَ ٱلۡحَقِّ يُخۡرِجُونَ ٱلرَّسُولَ وَإِيَّاكُمۡ أَن تُؤۡمِنُواْ بِٱللَّهِ رَبِّكُمۡ إِن كُنتُمۡ خَرَجۡتُمۡ جِهَٰدٗا فِي سَبِيلِي وَٱبۡتِغَآءَ مَرۡضَاتِيۚ تُسِرُّونَ إِلَيۡهِم بِٱلۡمَوَدَّةِ وَأَنَا۠ أَعۡلَمُ بِمَآ أَخۡفَيۡتُمۡ وَمَآ أَعۡلَنتُمۡۚ وَمَن يَفۡعَلۡهُ مِنكُمۡ فَقَدۡ ضَلَّ سَوَآءَ ٱلسَّبِيلِ١﴾

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil musuh-Ku dan musuhmu menjadi teman-teman setia sehingga kamu menyampaikan kepada mereka (rahsia orang beriman), kerana hubungan baik antara kamu dengan mereka; padahal sesungguhnya mereka telah ingkar kepada kebenaran yang datang kepadamu! Mereka mengusir Rasul dan (mengusir) kamu (dari tanah suci Makkah) kerana kamu beriman kepada Allah, Tuhanmu. Jika kamu benar-benar keluar untuk berjihad pada jalan-Ku untuk mencari keredaan-Ku (janganlah kamu berbuat demikian). (Tidak ada sebarang faedahnya) kamu mengadakan hubungan kasih mesra dengan mereka secara rahsia sedangkan Aku lebih mengetahui apa yang kamu sembunyikan dan apa yang kamu zahirkan. Dan (ingatlah) sesiapa antara kamu yang melakukannya, maka sesungguhnya dia telah tersesat daripada jalan yang lurus.” (Surah al-Mumtahanah: 1)

Kewajipan ini diteruskan oleh para sahabat RA selepas kewafatan Rasulullah SAW kerana wajib mengikut panduan daripada nas al-Quran, hadis yang mutawatir dan ijmak para ulama’ sahabat RA dan ijmak para ulama’ tabiin yang bertali arus memelihara ilmu Islam.

Adapun fahaman yang menyatakan politik bukan daripada agama adalah suatu ajaran sesat,  bukan daripada ajaran agama Islam. Ideologi ini dimasukkan oleh penjajah melalui Kitab Injil yang diselewengkan bagi menghapuskan kuasa Islam.

Sejarah menunjukkan bahawa Rasulullah SAW menangguhkan umrah apabila pihak Musyrikin meletakkan syarat Perjanjian Damai Hudaibiyyah kerana perjanjian itu bersifat memberi pengiktirafan kepada politik negara Islam. Maka, umrah ditangguhkan pada tahun berikutnya, kerana kewajipan menunaikan umrah itu wajib muwassa‘ (yang boleh ditangguhkan), adapun menerima Perjanjian Hudaibiyyah itu wajib mudayyaq (yang tidak boleh ditangguhkan). Rasulullah SAW sendiri menunaikan ibadat haji selepas berlakunya Fathu Makkah (Pembukaan Makkah).

Sistem pilihan raya ialah suatu proses memilih pemimpin secara damai iaitu pemimpin negara yang wajib menegakkan hukum Islam dan menyelamatkan kuasa negara bagi orang Islam terhadap tanah airnya. Oleh sebab itu, Islam mendahulukan pendekatan damai bagi menyelamatkan manusia seramai-ramainya.

Dalam keadaan yang sangat berbahaya apabila kalangan bukan Islam juga berusaha  untuk mendapat kuasa dalam tanah air Islam, maka para ulama’ menegaskan kewajipan mempertahankan hak Islam sudah menjadi fardu ‘ain yang wajib ke atas tiap-tiap orang Islam yang layak mengundi. Perkara ini termasuk dalam amaran Allah SWT dalam al-Quran:

﴿يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ مَا لَكُمۡ إِذَا قِيلَ لَكُمُ ٱنفِرُواْ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ ٱثَّاقَلۡتُمۡ إِلَى ٱلۡأَرۡضِۚ أَرَضِيتُم بِٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَا مِنَ ٱلۡأٓخِرَةِۚ فَمَا مَتَٰعُ ٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَا فِي ٱلۡأٓخِرَةِ إِلَّا قَلِيلٌ٣٨ إِلَّا تَنفِرُواْ يُعَذِّبۡكُمۡ عَذَابًا أَلِيمٗا وَيَسۡتَبۡدِلۡ قَوۡمًا غَيۡرَكُمۡ وَلَا تَضُرُّوهُ شَيۡـٔٗاۗ وَٱللَّهُ عَلَىٰ كُلِّ شَيۡءٖ قَدِيرٌ٣٩﴾

“Wahai orang-orang yang beriman! Mengapakah apabila dikatakan kepada kamu, ‘Berangkatlah kamu (untuk berjihad) pada jalan Allah!’, kamu berasa keberatan (dan lebih suka tinggal meni‘mati kesenangan) di tempat masing-masing? Adakah kamu berasa lebih suka akan kehidupan di dunia sebagai ganti kehidupan di akhirat? Padahal keni‘matan hidup di dunia ini (dibandingkan dengan kehidupan) di akhirat kelak hanyalah sedikit. (38) Jika kamu tidak berangkat (untuk berjuang pada jalan Allah bagi membela agama-Nya), nescaya Allah akan menyeksa kamu dengan azab seksa yang tidak terperi sakitnya dan Dia akan menggantikan kamu dengan kaum yang lain, dan kamu tidak akan dapat mendatangkan kemudaratan kepada-Nya sedikit pun. Dan (ingatlah) Allah Maha Berkuasa atas segala sesuatu. (39)” (Surah al-Tawbah: 38-39)

Contoh yang menyedihkan ialah kejatuhan Islam di Sepanyol sebagaimana yang telah disebutkan di atas. Walaupun Islam sudah bertapak selama 800 tahun, pengaruh Islam telah dihilangkan apabila umat Islam berpecah belah dan meninggalkan kewajipan menegakkan kerajaan Islam. Akhirnya, masjid bertukar menjadi gereja dan muzium untuk menjadi tempat kunjungan pelancong, sehingga perkuburan Islam juga dihapuskan.

Kejatuhan Kerajaan ‘Uthmaniyyah berlaku disebabkan perpecahan umat Islam yang mengundang penjajahan, menyebabkan terlepasnya tanah suci Palestin, Masjid al-Aqsa dan lain-lain dari tangan umat Islam. Rasulullah SAW memberikan amaran dengan sabdanya:

لَتُنْقَضَنَّ ‌عُرَى ‌الْإِسْلَامِ ‌عُرْوَةً ‌عُرْوَةً، فَكُلَّمَا انْتَقَضَتْ عُرْوَةٌ تَشَبَّثَ النَّاسُ بِالَّتِي تَلِيهَا، وَأَوَّلُهُنَّ نَقْضًا الْحُكْمُ وَآخِرُهُنَّ الصَّلَاةُ.

“Ajaran Islam yang disimpul dengan ikatan yang teguh akan dirungkai satu demi satu. Setiap satu dirungkai para penganutnya berpegang dengan yang masih ada. Pertama yang dirungkai ialah kuasa pelaksanaan hukum Islam (politik) dan yang terakhir ialah solat.” (Riwayat Ahmad, No. 22160 dan Ibn Hibban, No. 4866)

Di Malaysia, kita berada dalam keadaan paling berbahaya kerana diperintah oleh golongan yang mendapat pengaruh bukan Islam. Keadaan ini berlaku apabila kita berpecah, sehingga dikuasai oleh kerajaan yang didominasi oleh bukan Islam, kerana ramai orang Islam yang tidak keluar mengundi.

Umat Islam dalam kedudukan yang sangat lemah untuk melaksanakan kewajipan amar ma‘ruf dan nahi munkar yang menjadi tonggak penting kepada kedaulatan Islam. Kegagalan untuk melaksanakan kewajipan ini pernah membawa akibat yang buruk terhadap Bani Isra’il. Firman Allah SWT:

﴿لُعِنَ ٱلَّذِينَ كَفَرُواْ مِنۢ بَنِيٓ لِّبَنِىٓ إِسْرَآءِيْلَ عَلَىٰ لِسَانِ دَاوُۥدَ وَعِيسَى ٱبۡنِ مَرۡيَمَۚ ذَٰلِكَ بِمَا عَصَواْ وَّكَانُواْ يَعۡتَدُونَ٧٨ كَانُواْ لَا يَتَنَاهَوۡنَ عَن مُّنكَرٖ فَعَلُوهُۚ لَبِئۡسَ مَا كَانُواْ يَفۡعَلُونَ٧٩﴾

“Orang kafir Yahudi daripada kalangan Bani Isra’il telah dilaknat (dalam kitab Zabur dan Injil) melalui lisan Daud dan ‘Isa putera Maryam. Hal yang demikian itu, disebabkan mereka derhaka dan selalu melampaui batas. (78) Mereka tidak pernah menegah (antara sesama mereka) tindakan munkar yang dilakukan oleh mereka. Sesungguhnya, amatlah buruk apa yang selalu mereka lakukan itu. (79)” (Surah al-Ma’idah: 78-79)

Bahkan, Rasulullah SAW juga memberikan amaran yang keras kepada umatnya:

لَتَأْمُرُنَّ بِالْمَعْرُوفِ، وَلَتَنْهَوُنَّ عَنِ الْمُنْكَرِ أَوْ لَيُسَلِّطَنَّ اللَّهُ عَلَيْكُمْ شِرَارَكُمْ، فَلَيَسُومُنَّكُمْ سُوءَ الْعَذَابِ، ثُمَّ يَدْعُو خِيَارُكُمْ فَلا يُسْتَجَابُ لَهُمْ.

“Kamu hendaklah menyuruh kepada yang baik  dan mencegah kemungkaran atau (kalau kamu meninggalkannya), nescaya Allah akan menjadikan orang-orang yang jahat berkuasa memerintah kamu, lalu kamu ditimpa azab yang seburuk-buruknya. Kemudian, orang-orang yang baik dalam kalangan kamu berdoa, maka Allah tidak memperkenankan doanya.” (Riwayat al-Suyuti dalam al-Jami‘ al-Kabir, Hlm. 254 dan diriwayatkan juga oleh al-Tirmizi, no. 2169 dengan lafaz yang sedikit berbeza)

Kita sedang menyaksikan kerajaan campuran daripada kalangan mereka yang tidak beriman dan tidak berakhlak, terdiri daripada banduan, perasuah, dan penipu yang tidak beraqidah dan tidak berakhlak, dikelilingi pula oleh syaitan-syaitan bisu yang mendiamkan diri terhadap kemungkaran yang berlaku di hadapan mereka. Hal ini berlaku akibat daripada meninggalkan kewajipan memilih pemimpin yang beriman dan berakhlak. Berilmu sahaja tidak mencukupi sekiranya tidak bertafaqquh, tidak beriman dan tidak berakhlak.

Malangnya, dipilih mereka yang menipu dan ditipu, malah ada juga yang benci lalu memilih untuk tidak mengundi. Mereka seakan-akan menyerah diri kepada musuh untuk sama-sama mendapat kehinaan dunia sebelum mendapat kehinaan di akhirat kerana tidak menunaikan kewajipan yang besar dalam Islam.

Imam al-Ghazali RH pernah menegaskan:

الدِّينُ ‌أُسٌّ ‌وَالسُّلْطَانُ ‌حَارِسٌ وَمَا لَا أُسَّ لَهُ فَمَهْدُومٌ وَمَا لَا حَارِسَ لَهُ فَضَائِعٌ.

“Agama itu asas, kuasa pemerintahan (politik) itu pengawas. Apa yang tidak ada asasnya akan runtuh dan apa yang tidak ada pengawasnya akan hilang.” (Al-Ghazali, al-Iqtisad fi al-I‘tiqad, Hlm. 128)

Janganlah memikul dosa yang menghilangkan kedaulatan Islam apabila Islam tidak mempunyai kuasa (politik) memerintah negara, dan hukum Islam dihilangkan satu demi satu. Adapun mereka masih meneruskan dasar sekularisme warisan penjajah, di bawah payung Malaysian Malaysia yang menghapuskan peranan bangsa yang menganut Islam.

ABDUL HADI AWANG

Presiden PAS
Bertarikh: 24 Zulqa‘dah 1444  1444 / 13 Jun 2023