KUALA TERENGGANU, 8 Jun – Kerajaan Negeri akan memberikan fokus yang penuh bagi meningkatkan pencapaian ekonomi Terengganu.
Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, komitmen dan kerjasama Kerajaan Negeri dan Pentadbiran Kerajaan akan terus diperkukuhkan.
Katanya, bagi menjamin kesejahteraan rakyat serta kelestarian pembangunan di Negeri Terengganu agar terus berdaya saing.
“Terima kasih kepada Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli yang telah meluluskan peruntukan sebanyak RM1.7 bilion bagi pelaksanaan 102 projek.
“Kesemua projek tersebut telah dipohon dalam Rolling Plan Ketiga Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12).
“Tinggi harapan saya agar dapat dipertimbangkan lagi untuk 10 permohonan senarai cadangan projek keutamaan dalam Rolling Plan Keempat,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika Sesi Libat Urus Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kedua Belas (KSP RMKe-12) bertempat di Dewan Konvensyen, Tingkat 2 Wisma Darul Iman di hari ini.
Tambah Ahmad Samsuri, projek-projek ini dipohon bukan sahaja dapat merancakkan pembangunan fizikal negeri bahkan untuk menjamin pertumbuhan ekonomi.
“Supaya lebih menyeluruh untuk jangka panjang, tidak lain hanyalah untuk kepentingan rakyat negeri Terengganu.
“Di samping, pihak kementerian juga telah memberikan pelbagai cadangan untuk penambahbaikan pembangunan ekonomi di negeri ini,” ujarnya.