Home Berita PAS Selangor

DIALOG TERTUTUP PAS SELANGOR DENGAN MAHASISWA LUAR NEGARA DAN DIASPORA DI UK DAN IRELAND

160
SHARE

Lebih 100 mahasiswa luar negara dan diaspora yang kini menetap di United Kingdom dan Ireland menghadiri sesi dialog bersama Pesuruhjaya PAS Selangor, YB Dato’ Dr. Ahmad Yunus secara dalam talian semalam melalui aplikasi Skype.

Program ini diadakan bagi memastikan rakyat Malaysia yang kini berada diluar negara dapat mengakses dan menilai maklumat yang betul dan tepat daripada PAS Selangor secara langsung dengan memanfaatkan teknologi sedia ada.

Ketika program itu, Dr. Ahmad Yunus menerima 10 soalan utama berhubung pelbagai perkara termasuk isu air, gelombang rakyat terhadap PN, anak jati sebagai MB Selangor, kelewatan kertas undi, poster boy, tawaran untuk anak muda, undi protes penyokong PH dan sebagainya.

Berhubung permasalahan air yang telah dibangkitkan, peruntukan wajar diagihkan secara adil oleh pihak kerajaan pusat kepada negeri-negeri demi kemaslahatan rakyat tanpa sebarang bentuk diskriminasi.

Dalam pada itu, kelewatan menerima kertas undi juga turut dijawab dan pihak SPR wajar melihat kepada isu ini dan perlu dipertanggungjawabkan kerana hak untuk memilih bagi pengundi yang “tidak hadir” kerana berada diluar negara adalah dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

Turut dijawab mengenai gelombang rakyat yang dibangkitkan seperti yang berlaku di Parlimen Kuala Langat pada PRU15 yang lalu dimana wujud undi protes terutamanya dikalangan ahli DAP malahan ahli UMNO sendiri yang tidak dapat menerima tindak tanduk pemimpin mereka pada hari ini. Bekas pemimpin utama UMNO seperti Tan Sri Noh Omar, YB Dato’ Seri Shahidan Kassim dan Tan Sri Annuar Musa juga telah memberi komitmen untuk membantu memberi kemenangan kepada PN di negeri Selangor.

Program dialog tersebut telah dianjurkan oleh Kelab PAS UK dan Ireland dan yang pertama kali dibuat sejak PRU15 yang lalu. Hadir bersama adalah Haji Roslan Shahir bin Datuk Mohd Shahir, Setiausaha PAS Selangor yang juga turut mengulas berkenaan tawaran PN Selangor mencalonkan Menteri Besar dan barisan exco dikalangan anak jati negeri ini.

PAS bersama rakan-rakan di Selangor komited melahirkan generasi muda yang berilmu dan berpengetahuan tinggi bagi menjadikan negeri Selangor lebih bersih, stabil dan prihatin.

AIZUDDIN BIN ZAKARIA
Pegawai Khas Kepada Pesuruhjaya
Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor
29 Mei 2023/ 9 Zulkaedah 1444