Home Berita PAS Selangor

ISU KALIMAH ALLAH: KERAJAAN PERSEKUTUAN PERLU MENGHORMATI TITAH DYMM SULTAN SELANGOR SELAKU KETUA AGAMA ISLAM DI NEGERI BERDAULAT INI

87
SHARE

PAS Negeri Selangor merujuk kenyataan media YAB Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bertarikh 17 Mei 2023 berkenaan keputusan kerajaan Persekutuan menarik balik rayuan keputusan Mahkamah Tinggi pada 17 Mac 2021 berhubung penggunaan kalimah Allah dalam kes Jill Ireland dan mengecam tindakan kerajaan persekutuan yang dilihat membelakangkan titah DYMM Sultan Selangor selaku Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) agar rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi bagi kes Jill Ireland dilakukan bagi memelihara kemuliaan kalimah Allah dan kesucian agama Islam selaras dengan Kes Titular Roman Catholic Archbishop of Kuala Lumpur melawan Menteri Dalam Negeri 2014.

Titah DYMM Sultan Selangor yang dikeluarkan pada 23 Mac 2021 turut mempertahankan peruntukan undang-undang di Negeri Selangor melalui Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan Di Kalangan Orang Islam) 1988 yang jelas menghalang penggunaan 25 perkataan tertentu antaranya Allah, Ibadah, Kaabah dan Mubaligh daripada digunakan oleh agama lain di Negeri ini.

Pada 18 April 2023, ketika umat Islam sedang menjalani ibadah puasa lalu, kerajaan persekutuan melalui Menteri Dalam Negeri, Datuk Saifuddin Nasution telah menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi dalam kes rampasan bahan penerbitan yang mengandungi kalimah Allah milik Jill Ireland di LCCT Sepang, Selangor, yang dijadualkan untuk dibicara pada 19 Mei ini atas alasan percanggahan pentadbiran berkenaan keputusan Kabinet pada 19 Mei 1986 dan arahan KDN pada 5 Disember 1986.

Keputusan yang dibuat tanpa merujuk kepada pemegang taruh itu menunjukkan pengurusan Kerajaan Persekutuan yang didokong oleh parti DAP sebagai gagal melindungi kesucian Agama Islam melalui proses perundangan dan pengadilan mahkamah yang bebas seterusnya dibimbangi akan mencetuskan suasana tegang dan merosakkan perpaduan kaum di negara ini dan negeri Selangor khususnya.

PAS juga menggesa pegawai penguatkuasa Kastam Diraja Malaysia untuk terus memperketatkan pemeriksaan bahan penerbitan yang mengandungi kalimah Allah di semua pintu masuk laluan laut dan udara di Negeri Selangor termasuk di Terminal 1 dan Terminal 2 KLIA dan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang.

PAS dan rakan-rakannya di Selangor komited memelihara kesucian dan memartabatkan Agama Islam seterusnya mengembalikan kegemilangan dan kemakmuran di Negeri Selangor ini khususnya.

DATO DR. AHMAD YUNUS BIN HAIRI

Pesuruhjaya

Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor

Khamis 18 Mei 2023/ 28 Syawal 1444