Home Minda Presiden

UMNO diheret pemimpin bersama DAP dalam kerajaan

136
SHARE


Minda Presiden PAS
[Bil: 43 / 2023]
UMNO DIHERET PEMIMPIN BERSAMA DAP DALAM KERAJAAN


Kerana hendak menyelamatkan diri dan mengejar jawatan, maka prinsip asasi parti tidak dipedulikan dengan meninggalkan perjuangan yang menjadi asal penubuhan UMNO. Ahli-ahli yang menjadikan UMNO sebagai bahtera perjuangan mereka dahulunya mengikut hala tuju perjuangan agama dan bangsa yang ditempikkan, kini dialih arah perjalanannya demi menjaga kepentingan beberapa orang tertentu. Bukan lagi ahli-ahlinya dan umat yang menjadi keutamaan, tetapi semata-mata ingin menyelamatkan diri dan memburu jawatan yang diumpankan.

Merujuk kepada Perlembagaan UMNO:

FASAL 3 ASAS DAN TUJUAN

“UMNO adalah sebuah parti politik yang berjuang mendukung cita-cita Agama Islam, Kebangsaan Melayu, Bumiputera, Anak Negeri Sabah dan Orang Asli serta perpaduan Malaysia demi kemakmuran dan kestabilan Negara.

3.1 Menegak, mempertahan dan mengembangkan Islam sebagai Agama Persekutuan serta menghormati prinsip kebebasan beragama seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.”

Tidak banyak perbezaan antara PAS dengan UMNO, hanya pendekatan dan bagaimana meletakkan keutamaan yang berlainan sahaja menimbulkan ketegangan. Maka, apabila ada masalah yang besar dan penting, PAS dengan mudah dapat bekerjasama dengan UMNO.

PAS merupakan kesinambungan perjuangan kemerdekaan menentang penjajah sejak awal kedatangan mereka pada tahun 1511, iaitu tahun kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka. Perjuangan jihad menentang penjajah berterusan, sehingga diikuti penubuhan Jemaah Ulama Tanah Jawi di Pulau Penyengat, Kepulauan Riau lebih 200 tahun yang lalu

Kemudian, diikuti dengan penubuhan Sarekat Islam (Syarikat Islam) lebih 100 tahun yang lalu bagi menghadapi Syarikat Hindia Timur Inggeris dan Syarikat Hindia Timur Belanda yang datang menjajah bertopengkan perniagaan. Apabila Sarekat Islam di Semenanjung Tanah Melayu diharamkan oleh British, maka Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) ditubuhkan. PKMM telah menghimpunkan kumpulan agama, nasionalis, dan aliran kiri, diketuai oleh Dr. Burhanuddin al-Hilmi, Yang Dipertua Agung PAS ketiga, yang juga merupakan seorang tokoh agama dan tokoh politik yang disenangi oleh semua pihak.

Apabila PKMM diharamkan dan setelah Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) ditubuhkan pada tahun 1946, maka ramai kumpulan Islam menyertai UMNO sehingga menguasai Biro Agama UMNO. Kumpulan Islam di luar dan di dalam UMNO menubuhkan badan bukan kerajaan (NGO) Islam, Persatuan Islam Se-Tanah Melayu (PAS) yang sama-sama berjuang kemerdekaan tanah air.

Apabila UMNO menerima jus soli (memberikan kerakyatan yang sangat mudah kepada warga asing) yang dibawa masuk oleh British, maka kumpulan Islam yang menentangnya menukarkan PAS menjadi sebuah parti politik (Parti Islam Se-Malaya). Seterusnya, menyertai Pilihan Raya Umum (PRU) Pra-kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu 1955 bagi menentang UMNO bersama komponen Parti Perikatan iaitu MCA dan MIC.

UMNO pula bergabung dengan MCA dan MIC yang tidak ekstrem dalam gagasan yang dinamakan Perikatan. Gabungan ini menang besar dalam pilihan raya tersebut, sebaliknya PAS hanya mendapat satu kerusi (Kerian Laut, Perak), satu-satunya kerusi pembangkang.

Namun, PAS bersama UMNO dalam memorandum yang meletakkan beberapa perkara tambahan dalam Perlembagaan Persekutuan yang digubal oleh Suruhanjaya Reid di bawah pengaruh penjajah British sepenuhnya, khususnya meletakkan kedudukan Islam sebagai agama bagi Persekutuan (agama negara). Kebersamaan ini kemudiannya diikuti oleh MCA dan MIC. Apabila Perlembagaan Persekutuan juga memberikan hak beragama dan berbudaya kepada bukan Islam, perkara ini tidak menjadi masalah kepada PAS kerana konsep Islamnya yang menyeluruh.

PAS bertelagah dengan UMNO kerana kecuaian UMNO terhadap Islam serta kepentingan Melayu Islam dan bumiputera, di samping tidak melakukan perubahan bagi membebaskan negara daripada pengaruh agenda penjajah British terhadap Islam dan penganutnya. Suara yang sama seperti PAS juga ada dalam UMNO. Negeri-negeri majoriti Melayu dan bumiputera di pantai timur, utara Semenanjung, dan Malaysia Timur yang dipinggirkan oleh penjajah dahulu, tidak dilakukan perubahan yang besar walaupun sudah merdeka dan sudah berkuasa.

Dalam keadaan begitu, PAS tetap menyokong Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana bertujuan untuk menentang komunis dan kalangan ekstrem sepertinya, dengan kebijaksanaan bertindak dengan adil yang menjadi keperluan politik. PAS menentangnya semula kerana ISA disalahgunakan terhadap parti pembangkang yang tidak ekstrem, khususnya PAS.

Kesan daripada zaman penjajahan dan serangan pemikiran melalui pendidikan secara khusus menyebabkan berlaku kejahilan agama serta kejahilan fiqh dakwah dan fiqh siasah dalam UMNO. Hal ini menimbulkan ketegangan lagi antara PAS dengan UMNO.

Walau bagaimanapun, masalah dapat diselesaikan dalam isu yang tegang secara pendekatan ilmu. Di sini menunjukkan bahawa tidak ada masalah dasar yang membezakan antara PAS dengan UMNO, sebaliknya hanyalah masalah pendekatan. Apabila UMNO menjadi parti yang berkuasa memimpin negara dalam tempoh masa yang lama, maka banyaklah kelemahan yang berlaku dalam partinya dan kerajaannya.

Adapun PAS dan DAP dapat dilihat perbezaan prinsip atau dasar antara aqidah yang dipegang oleh PAS dengan ideologi yang dibawa oleh DAP. DAP yang ditubuhkan kemudian menunjukkan sifat ekstremnya terhadap Islam dan kepimpinan Melayu Islam yang dipertahankan oleh PAS.

Perlembagaan Parti Tindakan Demokratik (DAP) dinyatakan dalam mukadimahnya:

FASAL II

MATLAMAT-MATLAMAT

Mukadimah:

“Perlembagaan Merdeka merupakan satu dokumen sekular yang mendukung prinsip-prinsip demokrasi, kebebasan, kedaulatan undang-undang, dan penghormatan kepada hak-hak asasi manusia serta merangkumi ideal-ideal kebertanggungjawaban, kesaksamaan, keadilan dan pemeliharaan martabat manusia.”

DAP menetapkan kedudukan Islam mengikut kehendak Suruhanjaya Reid dengan tafsiran sekular yang tidak menepati ajaran Islam yang sebenar. Di samping itu, mereka juga mentafsirkan hak asasi manusia mengikut agenda Barat yang liberal.

Perjuangan DAP ke arah Malaysian Malaysia juga menjadikannya bercanggah dengan dasar yang dipertahankan oleh PAS. Maka, kerjasama PAS dan DAP tidak boleh melampaui sempadan prinsip dan konsep asas dalam perjuangan PAS.

Adapun kerjasama dan hubungan dengan DAP hanya dalam titik persamaan yang bukan dasar, tidak melibatkan dasar parti. Antaranya adalah seperti pemulihan demokrasi, konsep federalisme yang tidak dihormati terhadap kerajaan negeri di bawah PAS, dan lain-lain.

Meneruskan agenda penjajah British melalui Perlembagaan Persekutuan ialah perkara yang menyentuh dasar PAS. DAP secara terbuka menentang pelaksanaan Islam yang berkait dengan penganut Islam sahaja dan di bawah bidang kuasa negeri mengikut Perlembagaan Persekutuan. Malah DAP menentang secara terbuka usaha melaksanakan syariat dengan kerjasama PAS dan UMNO dalam perkara Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) atau RUU 355 yang berkait dengan penganut Islam sahaja.

Mereka mahu melakukan perubahan mengikut teori Barat yang bercanggah dengan naluri kemanusiaan yang masih menjadi budaya masyarakat timur pelbagai bangsa dan agama yang masih beragama, padahal teori Barat itu tidak beragama.

PAS wajib memutuskan hubungan kerjasama apabila DAP yang bertindak secara ekstrem menyentuh dasar Islam serta kepentingan dan keutamaan kepimpinan Melayu Islam, bumiputera, dan lain-lain secara terbuka. PAS juga berpendapat, sepatutnya UMNO juga mempertahankan prinsip dan konsep yang sama dalam perlembagaannya.

Apabila UMNO menghadapi kekalahan bersama Barisan Nasional (BN) dalam PRU ke-14, kerajaan Pakatan Harapan (PH) pula didominasi oleh DAP yang bergerak dengan strategi yang tidak boleh disembunyikan menjadi ancaman kepada Islam dan kepimpinan Melayu Islam. Mereka tidak dapat menyembunyikan kegelojohan bersama dengan kalangan liberal, oportunis Melayu, dan golongan jahil murakab yang dijadikan topeng. Maka, PAS bersama BERSATU mengajak UMNO dalam gerakan mengambil alih kerajaan secara demokrasi berparlimen.

PAS membawa agenda perpaduan umat Islam dan masyarakat majmuk ketika kepimpinan UMNO dipangku oleh Timbalan Presiden UMNO. Tiba-tiba, Presiden UMNO mengambil alih dengan menganjurkan himpunan bersama PAS di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

PAS tidak menolak, bahkan meraikan dan menerima cadangan UMNO supaya Muafakat Nasional (MN) ditubuhkan, dengan syarat melibatkan semua parti Melayu yang tidak ekstrem, khususnya BERSATU yang juga parti Melayu Islam dan bumiputera. Seterusnya, MN digabungkan dengan Perikatan Nasional (PN) bagi menangani perpaduan masyarakat majmuk bukan Islam dan bukan Melayu yang tidak ekstrem.

UMNO yang dimasuki anai-anai politik yang merosakkan perjuangannya terus membarah dengan politik wang yang masuk ke dalam perebutan menjadi pimpinan parti di semua peringkat. Akhirnya, mereka menerima padah mengalami kelemahan yang ketara sehingga tumbang bersama kerajaannya dalam PRU ke-14 dan berikutnya.

UMNO masih kemaruk kuasa dalam masa peralihan, malah tidak sedar diri dalam keadaan perlu dipulihkan semula kepada asas perjuangan Islam dan Melayu. Akan tetapi, mereka sibuk memberikan keutamaan kepada kerakusan mendapat jawatan dalam kabinet, sehingga PAS mengambil pendirian untuk mengalah kerana menjaga keutamaan agenda perpaduan umat.

PAS menolak dengan tegas pendekatan penyatuan antara UMNO dengan PAS sahaja yang hanya berkonsepkan kemaruk kuasa parti tanpa berpakat dengan BERSATU. UMNO mendedahkan kegelojohan nafsu yang mahu akan jawatan dan menyelamatkan diri secara percuma tanpa mahkamah atau campur tangan dalam urusan mahkamah, bagi melepaskan beberapa orang pemimpin yang terpalit sehingga menjadi kluster mahkamah.

PAS ialah sebuah parti yang berprinsipkan aqidah dan mempertahankannya tanpa berganjak, diikuti pula kalangan UMNO yang berpegang kepada prinsip yang datang bersama PAS, BERSATU, atau PN bagi menghadapi PRU ke-15, seterusnya berjaya mencapai kejayaan yang besar walaupun tidak mencukupi majoriti bagi menubuhkan kerajaan. UMNO pula banyak kehilangan kerusi dan pengaruh di beberapa buah negeri.

PAS mengajak Ahli Parlimen (MP) UMNO supaya kembali kepada prinsip Islam memimpin bagi mencukupkan jumlah majoriti. Malangnya, pihak UMNO itu meninggalkan prinsip perjuangan mereka dan memilih jawatan yang ditawarkan oleh PH yang dikuasai oleh DAP, seperti tawaran menjadi Menteri, Menteri Besar, Exco, jawatan-jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC), dan sebagainya.

Seterusnya, UMNO secara terbuka bersama PH yang didominasi oleh DAP yang berada di belakang namun menjadi penggerak yang paling berpengaruh. UMNO yang mempunyai masalah boleh diterima oleh PH yang mendedahkan pembohongan perjuangan reformasi yang dilaungkan secara menipu. Maka, berkumpullah pemimpin UMNO yang menipu ahli dan pengikutnya bersama kumpulan PH yang menipu rakyat.

Para ahli UMNO yang setia kepada perjuangan, yang masih berada di atas bahtera UMNO yang telah diubah hala tujunya oleh para pemimpin yang menguasai UMNO, kini diheret ke arah yang lain daripada perjuangannya selama ini. Selagi masih berada di atas bahtera yang tidak berjaya diubah pemandunya yang mengikuti kompas DAP dan rakan-rakannya, maka bahtera UMNO menuju ke arah tujuan yang salah dan sesat daripada perjalanan perjuangan asalnya.

Dapat disaksikan kehilangan kewibawaan dan maruah para pemimpin yang mengheret UMNO bersama DAP, apabila himpunan bersama PH di dalam rumah kepunyaan UMNO, iaitu di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) yang dihadiri oleh para pemimpin PH khususnya DAP, tiba-tiba gambar para pemimpin UMNO yang disanjung menjadi pejuang kemerdekaan dibuang atau ditutup dengan kehadiran kawan baharu.

Mereka melakukan apa yang tidak diminta oleh PAS ketika himpunan bersama MN di tempat yang sama, kerana PAS mengakui tokoh-tokoh besar UMNO juga ialah pejuang menuntut kemerdekaan bersama PAS juga. Peristiwa ini menunjukkan para pemimpin UMNO sudah kehilangan izzah (keperkasaan) mereka setelah meninggalkan prinsip perjuangan.

Ada anggapan bahawa UMNO akan dibunuh oleh PAS sekiranya UMNO bersama PAS. Ini merupakan satu sangkaan yang tidak berasaskan dasar perjuangan bersama. Percayalah UMNO akan menjadi semut yang mati dalam gula yang ditaburkan oleh PH dan penyumbang rasuah yang mendukungnya.

Khalifah ‘Umar RA pernah memberikan amaran:

نَحنُ ‌قَوْمٌ ‌أَعَزَّنَا ‌اللهُ ‌بِالإِسْلَامِ، فَمَهمَا ابتَغَينَا العِزَّةَ بِغَيرِ مَا أَعَزَّنَا اللهُ أَذَلَّنَا اللهُ.

“Kita ialah umat yang dikurniakan oleh Allah kemuliaan dan keperkasaan bersama Islam. Maka, apa sahaja langkah mencari kemuliaan selain daripada Islam, nescaya Allah akan menimpakan ke atas kita kehinaan.” (Al-Hakim, al-Mustadrak ‘ala al-Sahihain, Jld. 1, Hlm. 61)

Mari bersama menegakkan Islam yang berwawasan dunia dan akhirat. Melayu selamat dan masyarakat majmuk selamat di bawah konsep adil petunjuk Allah kepada seluruh alam. Cukuplah kegagalan ideologi ciptaan manusia yang sedang meragut sesama manusia, berslogankan ‘rahmah’ ciptaan manusia yang banyak kelemahannya dan bersama penipuannya.

Allah SWT mendedahkan apabila penipu besar mengaku salah, maka pengakuan itu sudah tidak berguna lagi. Firman Allah SWT:

﴿وَقَالَ ٱلشَّيۡطَٰنُ لَمَّا قُضِيَ ٱلۡأَمۡرُ إِنَّ ٱللَّهَ وَعَدَكُمۡ وَعۡدَ ٱلۡحَقِّ وَوَعَدتُّكُمۡ فَأَخۡلَفۡتُكُمۡۖ وَمَا كَانَ لِيَ عَلَيۡكُم مِّن سُلۡطَٰنٍ إِلَّآ أَن دَعَوۡتُكُمۡ فَٱسۡتَجَبۡتُمۡ لِيۖ فَلَا تَلُومُونِي وَلُومُوٓاْ أَنفُسَكُمۖ مَّآ أَنَا۠ بِمُصۡرِخِكُمۡ وَمَآ أَنتُم بِمُصۡرِخِيَّ إِنِّي كَفَرۡتُ بِمَآ أَشۡرَكۡتُمُونِ مِن قَبۡلُۗ إِنَّ ٱلظَّٰلِمِينَ لَهُمۡ عَذَابٌ أَلِيمٞ٢٢﴾

“Lalu berkatalah syaitan tatkala perkara (hisab) telah diselesaikan, ‘Sesungguhnya, Allah telah menjanjikan kepada kamu janji yang benar, dan aku pun telah menjanjikan kepada kamu tetapi aku telah memungkirinya. Tidak sekali-kali ada kekuasaan bagiku terhadap kamu melainkan (sekadar) aku menyeru kamu lalu kamu mematuhi seruanku. Oleh sebab itu, janganlah kamu mencerca aku tetapi cercalah diri kamu sendiri. Aku sekali-kali tidak dapat menolong kamu dan kamu pun sekali-kali tidak dapat menolongku. Sesungguhnya, sejak dahulu aku telah kufur ingkar (perintah Tuhan) yang telah kamu sekutukan aku dengannya.’ Sesungguhnya, orang yang zalim itu mendapat seksaan yang pedih.” (Surah Ibrahim: 22)

ABDUL HADI AWANG

Presiden PAS
Bertarikh: 7 Zulqa‘dah 1444 / 27 Mei 2023