Oleh: Laila Ismail
20 April 2023
BATU SAPI : Lajnah Tarbiah Dewan Muslimat PAS Kawasan Batu Sapi mengisi 10 hari terakhir bulan Ramadan ini dengan melaksanakan Majlis Khatam Al-Quran bersama Muslimat Cawangan Kampung Gelam di Surau Kampung itu dekat sini kelmarin.
Menurut Naib Yang Dipertua PAS Kawasan Batu Sapi, Norsah Bongsu, majlis seperti ini sememangnya menjadi sebuah pengorbanan antara kesibukan para suri rumah dengan ganjaran pahala berganda yang disediakan oleh Allah.
Tambahnya, sekiranya kita melihat ganjaran yang Allah sediakan ini maka hilanglah kerisauan kita dalam urusan dunia malah sentiasa rasa dipermudahkan dalam setiap urusan kehidupan.
“Saya berharap ibu-ibu tidak jemu bersama-sama kami dalam menghadiri program-program tarbiyah yang di laksanakan oleh Muslimat PAS Kawasan Batu Sapi nanti” ujarnya dalam majlis tersebut.
Majlis tadarus Al-Quran yang dilaksanakan setiap hari dalam waktu dhuha ini telah berlangsung sejak hari pertama bulan Ramadan pada tahun ini sehinggalah berakhir semalam.
Turut hadir, Ketua Dewan Muslimat PAS Batu Sapi, Lisa Surihani Hariono serta beberapa ahli jawatankuasa Dewan Muslimat PAS Kawasan Batu Sapi yang bersama-sama menjayakan majlis ini.