Home Berita PAS Sabah

PAS cakna kebajikan amilin

120
SHARE

Oleh: Nur Marlyannah Umar
17 April 2023

LAHAD DATU: PAS Cawangan Aman Jaya memperuntukan RM4,000 hasil sumbangan orang ramai kepada amilin sebagai inisiatif menjaga kebajikan mereka.

Ketua Pemuda PAS Lahad Datu, Landari Labobo berkata, seramai 41 amilin yang terdiri daripada guru PASTI, SRITI termasuk pembantu guru menerima sumbangan barangan keperluan harian dan duit raya.

“Sumbangan ini diharap dapat meringankan beban perbelanjaan mereka terutamanya dengan kenaikan harga barang.

“Kami juga berharap, dengan sumbangan ini dapat memberi kegembiraan kepada mereka bagi menyambut Hari Raya Aidilfiri nanti,” ujarnya ketika ditemui selepas penyerahan sumbangan di sini, kelmarin.

Sementara itu, menurut Ketua Dewan Ulamak PAS Lahad Datu, Zaki Ibrahim, sumbangan tersebut adalah salah satu bentuk penghargaan dan motivasi kepada amilin yang bersama PAS sepenuh masa.

Beliau yang juga Ketua Cawangan PAS Aman Jaya, telah menyampaikan sumbangan di sekitar Pangsapuri, Taman Warisan, Kampung Burung, Kampung Wawasan dan Palm Height.

Turut hadir bersama Ketua Lajnah Politik PAS cawangan merangkap Ahli Majlis Daerah Lahad Datu, Kanizam Kamis.